Friday, May 10, 2013

(MU)sang Penjaga



(Mu)Sang Penjaga dan Hikayat Reban Lawan Sekian Sekian.


Sekian lama kita (A dan B) telah sama-sama bersetuju, bisnes kita ialah usahasama memelihara ayam.  Bentuk@format bisnes serta perjanjian yang mengikat tatakelola bisnes kita memang agak unik.  Contohnya ― ayam dipelihara di dalam reban dan diberikan hak dan kebebasan untuk memilih siapakah pemiliknya.  Ertinya ayam-ayam di reban berhak memilih sama ada A ataupun B sebagai tuannya.  Ertinya keuntungan bisnes kita ialah jumlah ayam yang memilih dan memihak ―  sama ada kepada A atau pun B. 

Untuk memastikan ‘ayam’ peliharaan kita sentiasa selamat,  lama dulu kita telah sama-sama bersetuju untuk melantik Sang Penjaga.  Maka kita pun melantik Sang Penjaga reban. Bertahun-tahun, semuanya kelihatan berjalan lancar sehinggalah ketahuan dan terbukti Sang Penjaga telah curang.  Ternyata (Mu)Sang Penjaga telah memihak dan melanggar peraturan dan perjanjian tatakelola zaman silam.

Kini segala ayam sereban ketahui sudah bahawa dalam memilih Sang Penjaga, mereka dinafikan haknya untuk membuat pilihan yang adil lagi saksama.  Maka membantahlah segala ayam setelah sedar dan ketahui bahawasa dalam proses pemilihan mutakhir ―  babi, anjing, beruk dan siamang juga dibawa untuk memilih siapakah (Mu)Sang Penjaga.  Kata mereka lagi, “Rupanya telah tiba saatnya,  demi memenangkan (Mu)Sang Penjaga,  reban kita kini disumbat dengan segala macam binatang ― babi, anjing, siamang dan beruk dan kera di hutan.”

Mereka pun akhirnya memutuskan, “Sekarang ini tiada lagi daya upaya kita kecuali bangun melawan.”

“Ayuh, kita LAWAN!”

“AYUH, kita LAWAN!!”

Sejak itu segala reban di seluruh negeri terkenal dan dikenali sebagai Reban LAWAN ― Reban Lawan Sekian Sekian.




No comments: