Tuesday, May 21, 2013

Pengunduran Tok Guru Nik Aziz



Dinsman (Artikel 380, 20/5)
Memikirkan pengunduran Tok Guru Nik Aziz


Ada banyak perkara sekitar PRU13 yang menarik untuk ditulis.  Analisa keputusan PRU itu sendiri secara menyeluruh, misalnya. Atau menyorot sikap Anwar Ibrahim selaku pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) yang tidak mengiktiraf keputusan SPR. Atau mengenai penipuan di sekitar PRU, seperti dakwat kekal yang tidak kekal. Atau mengenai sikap sebagian orang Melayu yang masih mengundi BN. Atau kemelut pemilihan Menteri Besar Selangor dan sidang media Azmin Ali, dan sebagainya.

Namun semua itu berbanding cerita di negeri Kelantan, saya lebih tertarik dengan cerita di negeri Kelantan khasnya di sekitar keputusan Tok Guru Nik Aziz mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar. Saya sudah menulis mengenainya dalam keluaran lalu tetapi saya masih merasakan ada banyak lagi yang hendak ditulis.

Apapun, biarlah saya tidak menyentuh permasalahan Datuk Husam Musa yang tidak terlantik dalam kabinet baru kerajaan negeri itu. Biarlah permasalahan itu ditangani dengan sebijak-bijaknya oleh pihak mereka yang berkenaan. Kita percaya itu bukanlah masalah besar sangat. Dan kita berharap bakat dan kebolehan istimewa Datuk Husam tetap akan dimanfaatkan untuk pembangunan kerajaan Islam Kelantan seterusnya.

Sehingga ini Tok Guru Nik Aziz hanya mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar; dan dia menyatakan akan melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri juga, kerana jawatan itu selayaknya dipegang oleh Menteri Besar. Tetapi Presiden PAS sendiri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah berjumpa dengannya dan meminta beliau kekal memegang jawatan Pesuruhjaya itu, walau apapun alasannya untuk melepaskannya.

Manakala jawatan sebagai Mursyidul ‘Am PAS pula akan terus dipegangnya lagi buat masa ini. Dan itulah harapan kita. Janganlah TG Nik Aziz melepaskan jawatan Mursyidul ‘Am itu. Jawatan Mursyidul ‘Am itu penting. Sebelum ini pun, beberapa tahun lalu, saya pernah mencadangkan melalui sebuah tulisan agar TG Nik Aziz melepaskan jawatan Menteri Besar, supaya dia dapat menumpukan perhatian kepada parti, selaku Mursyidul ‘Am.

Kebijaksanaan kepemimpinannya cukuplah sudah dicurahkannya kepada negeri Kelantan. Dua puluh tiga tahun. Curahkanlah pula kebijaksanaan itu kepada parti dan ahli-ahli parti di seluruh negara.

Kita pun faham masalah kesihatannya dan umurnya yang lanjut. Dengan perletakan jawatan Menteri Besar itu rasanya tidaklah terlalu membebankan lagi kalau Tok Guru sekadar meneruskan tugas sebagai Mursyidul ‘Am. Itu pun sekadar yang diizinkan oleh kesihatan dirinya sahajalah. Kita pun tidaklah hendak membebankannya.

Dan ini pun sekadar kita menyatakan harapan sahaja. Namun kalau Tok Guru sendiri merasakan apa yang telah disumbangkannya kepada parti selama berpuluh tahun itu sudah mencukupi dan sekarang dia ingin menikmati sedikit lagi sisa hidupnya bersama dengan keluarganya, kita pun akur dan tidak akan mendesak. Ya sememangnya kita mengakui jasa dan sumbangannya selama ini pun sudah cukup besar.

Sekarang terpulanglah kepada dirinya. Sebenarnya kewujudan dirinya sebagai seorang Tok Guru Nik Aziz itu sahaja pun sudah mencukupi untuk melanjutkan impaknya kepada umat hari ini. Dirinya sudah mencapai ke peringkat sebuah institusi tersendiri. Dan sebagai seorang Tok Guru kita percaya dia sama sekali tidak akan menghentikan aktivitinya mengajar, memberi tazkirah dan berceramah; yang sudah menjadi sebati dengan dirinya itu.

Sebagai seorang Tok Guru dan pendakwah – itulah tugas dan peranan sejatinya Nik Aziz bin Nik Mat. Dia melaksanakan tugas dan peranan ini lama sebelum menjadi Menteri Besar, dan tugas/peranan ini diteruskananya dengan tidak dikurangkannya sedikit pun sewaktu menjadi Menteri Besar, dan tentunya tugas dan peranan ini akan diteruskannya walaupun setelah dia berundur daripada jawatan Menteri Besar.

Bercakap khusus mengenai jawatan Mursyidul ‘Am ini, seperti yang dilaporkan akhbar, TG Nik Aziz mengatakan ia suatu tugas dan tanggungjawab yang lebih berat, iaitu untuk melaksanakan pentadbiran Islam menguikut cara Nabi saw. Apakah yang dimaksudkannya? Mungkinkah ada pembaharuan-pembaharuan yang akan dilakukannya ke atas perjalanan parti PAS sebagai suatu organisasi dakwah dan politik?

Ini tentulah sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan perkembangannya. Mengenali peribadi dan perwatakan TG Nik Aziz, kita tidak berfikir pengundurannya dari kerusi Menteri Besar itu bererti dia akan mengundurkan diri sepenuhnya daripada arus perkembangan sosio-politik umat hari ini. Sebaliknya kita tetap menunggu sesuatu yang kita jangka penting dan menarik akan dilakukannya.

Sementara itu bekas-bekas yang telah ditinggalkannya kepada masyarakat, selaku seorang Tok Guru, semenjak dia mula mengajar hingga ke hari ini, sedemikian banyaknya di sana sini di merata tempat berserakan tidak terkumpul. Usaha untuk mengumpul pengajaran dan pemikirannya yang tercurah selama ini, pun akan mengambil masa yang lama dan tenaga yang banyak.

Maka kita menyambut baik pengumuman Datuk Ahmad Yaakob selaku Menteri Besar (baru) mengenai penubuhan sebuah Institut Pemikiran Tok Guru Nik Aziz itu. Sedemikian cepatnya pengumuman itu dibuat! Barangkali Ahmad Yaakob pun sudah lama memikirkan keperluan ini, maka sebaik sahaja menjadi Menteri Besar beliau pun segera menubuhkan institut tersebut.

Memang saya sangat bersetuju dan mengakui keperluan sebuah Institut Pemikiran Tok Guru Nik Aziz ini. Yang agak mengejutkan saya ialah sedemikian cepatnya Ahmad Yaakob bertindak menubuhkannya. Tentunya beliau mempunyai agenda tertentu yang sudah lama difikirkannya. Apakah agendanya itu? Ini pun juga membuatkan kita tertunggu-tunggu untuk menyaksikan ‘pembaharuan’ yang akan diperkenalkan oleh Menteri Besar baru ini.
 

Maka sudah ada dua perkara menarik yang boleh kita tunggu dari Kelantan sekarang. Ditambah satu lagi daripada Husam Musa, jadi tiga! Sama-samalah kita perhatikan. (Dan saya juga menunggu ‘pembaharuan’ yang akan dibawa oleh seorang exco barunya – Mumtaz Md Nawi).







No comments: