Dinsman (Artikel
381, 24/5)
Perlu Nasionalisme dilunturkan?
Nasionalisme
ialah semangat kebangsaan. Ia berhubungan dengan bangsa. Yakni semangat cinta
kepada bangsa sendiri. Manakala patriotisme pula ialah semangat cintakan
tanahair, iaitu berhubungan dengan tanahair (negara).
Dalam pelajaran
sejarah di sekolah kita belajar mengenai sejarah kebangkitan semangat
nasionalisme (atau semangat kebangsaan), yang kita anggap sebagai bermulanya
perjuangan kita menuntut kemerdekaan negara kita daripada cengkaman penjajah.
Jadinya terdapat
nilai yang kita sanjung tinggi dan kita muliakan di dalam istilah nasionalisme
atau semangat kebangsaan itu. Sering juga kita menghubungkan istilah
nasionalisme dengan istilah jatidiri. Seseorang yang tidak mempunyai semangat
nasionalisme biasanya dia juga tidak mempunyai jatidiri; atau sebaliknya
seseorang yang tidak mempunyai jatidiri itu dikatakan dia juga tidak mempunyai
semangat nasionalisme.
Demikianlah
nasionalisme atau semangat kebangsaan itu sudah tertanam di dalam jiwa dan
minda kita sebagai sesuatu yang bernilai mulia dan disanjung tinggi. Maka tidak
hairanlah apabila dikatakan bahawa kebanyakan orang Melayu yang masih percaya
atau menyokong Umno adalah disebabkan oleh semangat nasionalisme dan percayakan
bahawa jatidiri mereka adalah berhubungkait dengan nasionalisme itu; yang
tanpanya mereka akan kehilangan nilai yang mulia dan disanjung tinggi.
Itulah juga
sebabnya maka kebanyakan golongan penulis, sasterawan, budayawan dan
cendekiawan kita masih berpihak kepada Umno-BN dan tidak menyokong Pakatan
Rakyat (PR). Inilah rumusan beberapa orang ahli Gatera (Gerakan Intelektual
Rakyat) secara tidak rasmi sewaktu kami bercakap-cakap di malam ceramah
‘Gerakan Intelektual Rakyat’ di Sungai Merab Luar, Sepang, 3 Mei lalu. Antara
yang menimbulkan pandangan ini ialah Prof Shaharir Mohd Zain.
Memang, apabila
difikirkan dan direnungkan pandangan tersebut, ternyata ada kebenarannya.
Itulah yang menyebabkan ramai kawan-kawan kita ‘di sebelah sana’ itu masih
kukuh dengan pegangan dan pendirian mereka.
Kita bertanya apakah
mereka tidak nampak kejahatan dan kezaliman para penguasa Umno-BN, sepertimana
yang kita nampak. Yang sebenarnya bukan mereka tidak nampak. Yang sebenarnya
mereka ada faktor lain yang lebih penting, iaitulah faktor nasionalisme dan
jatidiri, yang dihubungkan pula dengan ‘ketuanan Melayu’. Faham yang membentuk
sikap ini begitu kuat di kalangan mereka, hingga kejahatan dan kezaliman para
penguasa Umno itupun menjadi kecil pada pandangan mereka.
Memang
nasionalisme dan faham atau semangat kebangsaan itu sudah kuat tertanam dalam
jiwa dan minda orang Melayu. Saya sendiri pun pernah mengalaminya, hingga
pernah saya menganggap Tok Guru Nik Aziz tidak faham makna
nasionalisme/kebangsaan apabila beliau berkata Umno menolak Islam apabila Umno
berpegang dengan faham nasionalisme/ kebangsaan. (Rujuk artikel “Nik Aziz tak
faham makna ‘kebangsaan’?” dalam buku Kelantan
22 Tahun Bukti Kejayaan, hal.93-96).
Apabila Prof
Shaharir dan kawan-kawan seolah-olah membuat rumusan seperti disebut di atas,
saya pun teringat kepada hujah TG Nik Aziz yang menolak faham kebangsaan/ nasionalisme
itu. Dan setahu saya hanya TG Nik Aziz sahaja yang pernah bercakap dan berhujah
begitu. Dan dia mengulangi hujah tersebut berkali-kali, hingga dia pernah juga
mengatakan Umno sebagai ajaran sesat (bagi memahamkan orang akan maksudnya
itu).
Sekarang siapakah
yang mampu berhujah kepada orang Melayu yang masih kuat berpegang kepada faham
kebangsaan/nasionalisme (juga faham jatidiri dan ketuanan Melayu) hingga tidak
nampak kejahatan dan kezaliman para penguasa Umno itu, termasuk kebanyakan
golongan penulis, sasterawan, budayawan dan cendekiawan kita ‘di sebelah sana’
itu? Atau apakah kita masih bergantung harap pada Tok Guru Nik Aziz juga untuk
melakukannya?
Saya timbulkan
soalan ini bukannya kerana apa, kerana memikirkan bahawa perkara ini adalah
suatu perkara yang besar, berat dan rumit untuk dilakukan. Anda fikirkanlah!
Seperti saya sebut tadi, perkara nasionalisme dan faham kebangsaan ini telah
tertanam kuat di dalam jiwa dan minda orang Melayu sebagai sesuatu yang
bernilai mulia dan di sanjung tinggi. Tiba-tiba kita hendak minta supaya
perkara ini dikesampingkan, dengan hujah bahawa ia tidak sesuai dengan ajaran
Islam.
Bukankah selama
ini kita beranggapan bahawa Islam dan faham kebangsaan (nasionalisme) itu tidak
bercanggah, dan boleh wujud bergandingan dalam diri seseorang? Apa salahnya
seorang Islam mempunyai semangat cintakan bangsanya?
Memang rumit
untuk menghujahkan hal tersebut. Seseorang harus terlebih dahulu dapat
menghayati dan mencintai Islam lebih daripada segalanya, maka barulah dia boleh
berhujah seperti yang dihujahkan TG Nik Aziz itu.
Tidak hairanlah,
sekian lama kita mendengar TG Nik Aziz berhujah supaya orang Melayu
meninggalkan nasionalisme/kebangsaan dan mengambil Islam sepenuhnya sebagai addeen atau cara hidup yang sempurna; tetapi
kita tidak pernah mendengar tokoh pimpinan lain berhujah demikian.
Memang tidak
mudah untuk menolak sesuatu yang sekian lama tertanam di jiwa dan minda sebagai
bernilai mulia dan disanjung tinggi dalam masyarakat. Tetapi itulah yang
diusahakan oleh TG Nik Aziz sekian lama. Mungkin tidak ramai orang
menyedarinya.
Saya berharap
para pimpinan PAS yang lainnya – ambillah perjuangan Tok Guru Nik Aziz ini, dan
teruskanlah berjuang mengikut jejak langkahnya itu. Hujahkanlah supaya faham
kebangsaan (nasionalisme) tidak lagi menjadi halangan kepada kita untuk
meletakkan Islam di tempatnya yang tinggi dan mulia!
No comments:
Post a Comment