Saturday, May 25, 2013

'Haram melawan Kerajaan yang sah'







Apakah memprotes penipuan itu anarki?

(Membelek-belek ungkapan:  Tolak kekerasan, pilih demokrasi, tolak penggulingan kerajaan dll)


Harakah cetak halaman N11 (Bil. 1434,  24-26 Mei 2013) yang dirampas oleh KDN di pelbagai negeri memuatkan berita di bawah ini:

Ulama PAS tolak kekerasan


KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Harun Taib tidak bersetuju dengan cara kekerasan bagi menggulingkan kerajaan. 

Kata Harun, kaedah itu (mengambil kuasa) hanya akan mendorong merosakkan keamanan negara. 

Tambahnya, PAS memilih cara demokrasi sebagai wadah perjuangan untuk menegakkan cita-cita membentuk sebuah negara Islam di Malaysia.

PAS katanya menolak kaedah kekerasan, sebaliknya memilih jalan demokrasi untuk melaksanakan amanat rakyat dalam melihat sebuah negara Islam tertegak di bumi Malaysia. 

Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh juga menolak sebarang usaha menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan kerana cara tersebut akan menghumban negara ke kancah ketidakstabilan.


2.

Kata-kata kunci berita di atas ialah: tolak kekerasan, pilih demokrasi, tolak penggulingan kerajaan, mengambil alih kuasa.


Pertama sekali,  mari kita lihat latar (belakang) atau pun konteks peristiwa yang menyebabkan terpaculnya ungkapan-ungkapan di atas.  Ramai tahu bahawa ungkapan-ungkapan di atas ditujukan khusus kepada siri Jelajah “Suara Rakyat Suara Keramat”, SRSK iaitu protes rakyat terhadap perjalanan PRU13 pada 5 Mei 2013 yang lalu.  Pakatan Rakyat mendakwa dan katanya yakin bahawa SPR telah menipu dan menyebelahi Umno.  


Oleh kerana tidak berpuas hati dengan peranan dan perangai Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR Malaysia (tuan punya@pemilik  proses pilihan raya di negara kita),  rakyat khususnya para penyokong Pakatan Rakyat telah bangun menentang.  Sayugia diingat bahawa rakyat Malaysia telah sekian lama berdepan dengan SPR dalam pelbagai protes perihal urusan pilihan raya ini.  Terserlah ialah siri protes BERSIH dan 8 tuntutan masyhur yang tidak begitu dipedulikan oleh SPR itu. 

Kita percaya salah satu sebab utama yang memuncakkan lagi kemarahan ialah ‘bukti’ betapa dakwat yang kekal itu sesungguhnya tidak kekal.  Rakyat merasakan betapa mereka telah ditipu hidup-hidup oleh SPR.  Hakikat ini rata-rata diketahui umum dan ini telah meyakinkan lagi rakyat bahawa ada hal-hal yang sangat tidak beres dengan pengurusan PRU kita.  Ya, pendek kata mereka yakin ada banyak lagi perkara lain yang tidak beres dengan pengurusan pilihan raya di negara kita ini.  Tokoh yang telah mengangkat mesej bahawa SPR menipu ke merata negeri via siri Jelajah SRSK adalah Anwar Ibrahim, watak yang dikatakan bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi PRU13 yang lalu.  (Kata Anwar Ibrahim,  Pakatan Rakyat telahpun memenanginya).


3.  Seruan supaya diterima saja keputusan PRU13


‘Spin’ paling besar yang diputar oleh media Umno ialah jika menipu bagaimana Pembangkang boleh menang di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan?  

‘Spin’ lain yang tak kurang pentingnya ialah betapa besarnya kemaruk seorang Anwar Ibrahim itu untuk menjadi Perdana Menteri sehinggakan dia tidak mahu menerima ‘keputusan’ rakyat lantas turun ke jalan raya.

‘Spin’ yang diulang-ulangi ialah ‘sudahlah, cukuplah’ sampai di sini.  Bukankah kita sudah terlalu banyak membuang masa dan sudah terlalu lama berpolitik? Oleh itu marilah kita berdamai dan mara demi masa depan negara tercinta ini.  Ya, marilah kita lancarkan reconcilition (perdamaian)  demi nusa dan bangsa. Bukan main, bukan main lagi.   

Bagi mereka yang tebal darjat religiusnya, seruan mereka ialah segala yang berlaku di alam ini, termasuk kekalahan Pakatan Rakyat dalam PRU13 itu ada hikmahnya dan itulah ketentuanNya.  Oleh itu kita mesti bermuhasabah diri dan jangan sampai menolak takdir (?). 

Dalam tulisan ini, kita tidak bercadang untuk berhujah satu persatu ‘spin’ dan isu takdir yang dibentangkan oleh para agamawan kita.  Tuan boleh renungi dan hujah sendiri perkara-perkara yang dibangkitkan itu.


 4.  Kenapa kita perlu bangkit?  

Penulis termasuklah salah seorang individu@seorang rakyat Malaysia yang sah (bukan Kutty dan bukan juga Banglasia) yang menyampah dan meyumpah ‘spin-spin’ dan hujah takdir dan redha di atas (dan ini bukanlah pula bermaksud menolak rukun iman yang enam, na’nuzubillah).  Sebabnya cukup mudah.  Sekiranya kerajaan sedia ada itu sebuah pasukan bola sepak yang cukup jantan@gentleman dan punya harga diri, kenapakah tidak dipastikannya agar perlawanan bola sepak anjurannya itu tidak tercemar penggendaliannya?  Ertinya perlawanan itu berjalan penuh ‘dignity’ ― dengan adil, telus dan saksama?  Sebagai kerajaan sedia ada, kenapakah ia tidak membantu supaya pengadil pertandingannya benar-benar kelihatan adil dan betul-betul berlaku adil?  Jika kerajaan sedia ada itu masih punya secuil itu ― yang namanya harga diri ―  tentulah ia mahu memenangi pertandingan bola sepak itu dengan adil dan saksama, fair and square kerana ia tidak mahu sampai dicop dan digelar menang dengan menipu dan akhirnya menjadi sebuah Sang Penguasa yang haram.  Bukankah begitu? 


Dalam konteks pengadilan yang bersih ini, kenapakah memenuhi satu tuntutan BERSIH yang sangat mudah pun (misalnya dakwat kekal) SPR tidak becus?  Kenapakah begitu?  Lalu kenapakah kita mahu terima keputusan pertandingan yang sedemikian rupa tempangnya?  Apakah tidak terlalu pandir sekiranya meredhai penipuan dan rompakan hak rakyat yang sebegitu rupa?

Kita dengar mereka berhujah lagi, “Ayuh Saudara,  kita ada sistem, ada saluran yang sah, ada undang-undang dan ada peraturan untuk dibawa, untuk dipersembahkan dan diadukan segala kemusykilan itu.  Gunakanlah semua saluran yang sah itu.  Kenapakah mahu merampas kuasa via jalan raya??”  Aduhai dengan segala sistem dan segala institusi yang hancur itu, mahu kami andalkan sepenuh harapan dan kepercayaan kami?  Ya, walau apa pun keadaan saluran sedia ada yang sah itu, ia pasti digunakan tentunya dengan iringan doa.  Oleh itu usahlah kerajaan sedia ada,  yang haram ini bimbang dengan proses undang-undang sedia ada.  Percayalah,  kami bukan gerombolan histeris,  dan sangat mudah latah pabila dan sebaik saja mendapat cambuk kuasa.     


5.  Kamu bertanya lagi:  Apakah pilihan kamu sekarang?  Merusuh?


Yang jelas, kami tidak akan menyerah kepada takdir dan akur dengan tipu muslihat jerangkap perdamaian.   

Yang jelas, kamu harus tahu, kami marah kerana kamu menipu dan merompak hak rakyat memilih pemimpin.

Yang jelas, kami sudah lama melihat bagaimana nasib dan masa depan negara ini sudah terlalu banyak dijahanamkan.

Yang jelas, kami tidak akan berhenti menjelaskan kepada rakyat bahawa kami tidak terima keputusan PRU13 yang lalu.

Yang jelas, dari semasa ke semasa, di pelbagai tempat, kami berhimpun dengan pakaian serba hitam sambil memprotes.  Dan pada malam-malam tertentu,  kami berkumpul sambil menyalakan lilin dengan harapan ia dapat menyuluh roh legam sang penguasa dengan iringan doa semoga ia kembali ke pangkal jalan.  

Apakah ini tidak boleh dilakukan lagi?

Sekiranya,  ya jika semua yang disenaraikan di atas itu, tidak lagi dibolehkan kerana ia dibaca dan ditafsirkan sebagai ‘kekerasan, menidakkan demokrasi, usaha penggulingan kerajaan atau pun usaha yang durhaka mahu mengambil alih kuasa’, agaknya negara macam apa atau belentara apakah tempat tumpah darah kami ini?

Berdasarkan senario di atas, sila tunjukkan di manakah  kekerasannya, usaha penggulingan kerajaannya dan atau perbuatan durhaka mengambil alih kuasanya itu?

Akhir sekali, untuk mereka yang religius,  lihatlah apa yang telah terjadi kepada seluruh sistem yang ada, termasuk kehakiman.  Ya,  paling dekat tanyalah kezaliman sang kemaruk kuasa itu ke atas seorang anak Besut yang dibuang, dengan penuh kezaliman, kedudukannya sebagai Lord Presiden pada 8hb Ogos 1988.  Ketika itu ― ya ketika itu ― sekiranya yang namanya Salleh Abas itu (bukan kerana dia itu orang Besut) dipertahankan dengan segala kudrat yang dimiliki seluruh rakyat di seluruh pelosok negara, hari ini ― apakah begini keadaannya kehakiman kita?

Makanya kita berpendapat, menyerah bulat-bulat bukanlah takdir atau keredhaan tetapi sebenarnya berlaku curang dan tidak bertanggungjawab kepada anak-cucu-cicit kita.  Apakah layak kita yang religius bersikap dan berbuat demikian?


Wallahuaklam.



1 comment:

Anonymous said...

setuju haram menentang kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat seperti kerajaan negeri kelantan, kerajaan negeri selangor dan kalau imbas balik kerajaan negeri perak (PRU 12 dulu) negeri kedah, negeri Pulau Pinang.. dan sekiranya PRU 13 ini dijalankan secara telus dan adil tanpa penipuan tak mustahil bukan BN yang menjadi Pemerintah Kerajaan Pusat.. dan adakah ungkapan ini relevan lagi...