HEBAHAN MEDIA GATERA 3, Mei 21, 2013
PILIHAN RAYA UMUM
KE-13 YANG DIPERSOALKAN RAKYAT
GATERA mencatatkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sekian
lama dan kini sedang menghadapi serangan rakyat
terhadap peranan dan tanggungjawab serta perjalanan pilihan raya di negara kita. Kemuncaknya ialah siri demonstarasi BERSIH
1 dan 2.0 masing-masingnya dua tahun
lepas dan pada tahun 2012 sehingga tercetusnya senarai lapan tuntutan
“pembersihan” peranan institusi tersebut dalam penggendalian pilihan raya
negara ini. Dua daripada perkara besar
tuntutan itu ialah pembersihan senarai pengundi
(peniadaan “pengundi hantu”) dan senarai pengundi berulang. Tidak syak
lagi, SPR dengan sikapnya yang sentiasa menolak tuntutan BERSIH tetap mengambil
langkah-langkah yang nampaknya positif seperti “pengundian awal” dan “pemakaian
dakwat kekal”.
Malangnya “pemakaian dakwat kekal” ternyata gagal mencapai tujuannya
setelah puluhan pengundi (termasuk ahli GATERA sendiri) mendakwa dan
setengahnya membuat laporan polis (yang terkenalnya oleh Karpal Singh dan Dr. Harun Din) tentang betapa mudahnya dakwat itu hilang
dengan hanya menggunakan sabun sahaja. Apa
pun, GATERA percaya sebahagian besar
rakyat tetap percaya “dakwat kekal” itu memang mudah hilang dan oleh itu
SPR sepatutnya meminta maaf atas
kegagalannya mendapat dakwat yang benar-benar mencapai matlamat asalnya.
Isu kedua yang kini jauh lebih besar daripada isu “dakwat kekal” itu ialah
adanya tuduhan-tuduhan yang begitu banyak terhadap tidak telus, tidak adil, dan
wujudnya penipuan dalam penentuan bilangan undian pada malam 5 Mei hingga 6 Mei
itu. Pertama, SPR perlu menjelaskan
sebab-sebab lambatnya hasil pilihan raya itu untuk kawasan-kawasan dimenangi
oleh PR (parti lawan BN) hingga para pengulas pilihan raya di TV sendiri
(saluran AWANI) yang memang terkenal juga dengan sikap memihaknya kepada BN itu
sekalipun, begitu berani mempersoalkan keadaan yang tidak telus ini. Tidak syak
lagi inilah yang memberi banyak spekulasi rakyat terhadap penipuan hasil pilihan
raya itu. Persepsi ini semakin menjadi hipotesis besar rakyat tentang adanya
penipuan hasil pilihan raya ini dengan adanya laporan-laporan berikut,
setengahnya GATERA difahamkan, sudah dilaporkan kepada pihak polis, dan yang
lainnya GATERA difahamkan, sedang diperoleh bukti-buktinya untuk dibawa ke
pengadilan:
1. Adanya puluhan keputusan yang dianggap rasmi oleh SPR diasaskan pada
laporan yang tidak disahkan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan atau
diamanahkannya.
2. Adanya puluhan tempat pengiraan undi dimasukkan kotak-kotak undi yang
disangsikan kerana lambat tibanya.
3. Beberapa tempat dilaporkan ada pihak menemui bungkusan atau kotak undi
yang disangsikan asalnya dan disorok berhampiran dengan tempat pengiraan undi
atau dibawa ke pusat pengundian undi oleh pihak yang disangsikan.
4. Beberapa tempat ada nama pengundi tiada dalam senarai di tempat yang
sepatutnya dia membuang undi tetapi ada jauh di tempat lain.
5. Ada tempat dilaporkan bilangan pengundinya kurang daripada yang pernah
disiarkan sebelum hari pengundian.
6. Bilangan pengundi yang hadir mengundi berdasarkan peratusan yang
mengundi mengikut SPR tidak sama dengan bilangan pengundi yang membuang undinya
di semua Parlimen seluruh negara.
7. Bilangan pengundi di beberapa kawasan parlimen luar biasa penambahannya
sehinggakan ada yang mengatasi bilangan pengundi kawasan parlimen lain yang
biasanya lebih tinggi bilangan pengundinya seperti dalam PRU12 yang lalu.
8. Adanya laporan individu yang mengundi lebih drp sekali, dan ada pula
yang tidak dapat mengundi kerana kononnya beliau telah mengundi.
9. Adanya kejadian “api elektrik” terpadam ketika pengiraan undi sedang berjalan.
Ada kemungkinan senarai “penipuan” seperti yang disenaraikan di atas adalah
“tidak benar”. Namun oleh sebab senarainya begitu banyak dan sumbernya daripada
pelbagai (bukan internet sahaja) maka maka rakyat
terbanyak berhak menuntut penjelasan SPR secepat mungkin dan tidaklah memadai bagi
pihak SPR dengan hanya menegaskan hanya mahkamah
sahaja yang boleh menentukannya, kerana jika penjelasan SPR dapat
meyakinkan mereka ini, mungkin (sekurang-kurangnya sebahagian daripada senarai
di atas) penyelesaian di mahkamah tidak perlu dilakukan dan sekali gus
menyelamatkan wang, tenaga dan masa.
Pada masa yang sama GATERA
berharap pihak PR juga perlu secepat mungkin mendapatkan bukti-buktinya dan
seterusnya mendakwanya di mahkamah. Pada masa yang sama, mana-mana “tuduhan
penipuan” di atas yang ternyata tiada buktinya pihak PR juga perlu membuat
pernyataan yang jelas akan tidak benarnya tuduhan itu.
Ketua
Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA)
21 Mei 2013
No comments:
Post a Comment