Wednesday, May 22, 2013

Pilihan Tok Ketua



Bila Tok Ketua diajak berpesta
(A ‘no-action’ is an action)


Pengerusi JKKK (Tok Ketua), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung adalah ketua, orang nombor satu yang bertanggungjawab untuk memimpin organisasinya, iaitu kampungnya.  Sebagai seorang ketua dia membuat pelbagai keputusan.  Ada keputusan yang mudah dan popular, misalnya memberikan surat sokongan untuk memohon dermasiswa.  Ada pun keputusan yang serupa tetapi lebih ‘besar’ impaknya seperti menghulurkan bantuan kewangan, biasanya dia hanya layak jadi Pak Pacak saja.  Bantuan yang gah seperti itu mesti disampaikan oleh pemimpin Parti; paling lekeh Ketua Bahagian.


Jika ada sesuatu isu yang secara perbandingannya sedikit ‘berat’ dan tidak popular misalnya ‘pesta’ turun beramai-ramai ke Pejabat Beras tempatan untuk membantah harga padi yang tak juga naik-naik walaupun pelbagai permohonan dan desakan agar harga padi dinaikkan, sudah beribu-ribu kali dibuat,  biasanya Tok Ketua akan fikir banyak kali, berulang-ulang kali sebelum memutuskan tindakannya.  Dalam konteks membuat keputusan ini, apakah bentuk keputusan yang dapat Tok Ketua lakukan.  Ya,  apabila berdepan dengan persoalan yang lebih ‘berat’ seperti turun berdemonstrasi, apakah ruang yang ada untuk Tok Ketua bertindak?


Kita ketahui bahawa Tok Ketua boleh:


A) Menyokong penuh gesaan untuk ‘berpesta’ di Pejabat Beras iaitu untuk berdemonstrasi.  Ertinya apabila sampai saat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Turun Ke Jalan Raya,  Tok Ketua betul-betul turun ke tempat yang telah ditetapkan.  Ini namanya sokong dengan tindakan.

B) Tok Ketua boleh membuat pengumuman ke seluruh negeri,  waima sampai ke Bangsa-Bangsa Bersatu, UN bahawa dia akan turun apabila sampai saatnya untuk turun. Ini namanya menanam tebu di bibir mulut, lip service kata orang putih, sehinggalah dia benar-benar turun.

C) Tok Ketua boleh saja mencari segala bidalan, tamsil atau peribahasa silam sebagai responsnya.  Jika nasibnya lagi mujur, dia teringat ayat-ayat suci atau pun hadis bahawa haram membantah kerajaan. 

D) Tok Ketua boleh memilih untuk TIDAK pernah mendengar  apa-apa pun berita tentang bantahan penduduk kampung menuntut supaya harga padi dinaikkan.   Kata orang putih, he couldn’t careless.

Sekarang mari kita teliti satu lagi fasa proses membuat keputusan oleh Tok Ketua ini.  Apakah mesej tersurat, terbongkang, terkangkang atau tersirat dan tersorok yang telah dihantar oleh Tok Ketua ini?


Percayalah inilah yang dilihat, diamati, direnungi dan yang disimpan baik-baik dalam hati sanubari para penduduk kampung.  Percayalah,  segala tindak tanduk Tok Ketua sama ada A, B, C atu pun D diperhatikan kerana itu adalah keputusannya sebagai Tok Ketua.     

Percayalah Tok Ketua dapat melihat bahawa rakyat juga mengamati tindak tanduknya sebagai Tok Ketua.   

Memetik kata-kata seorang pembaca Malaysiakini:

"A nice speech is like a flower without fragrance. It's only fit for the bin. That is what I read in a Buddhist leaflet."


(Sebuah ucapan muluk-muluk itu seperti kembang tanpa harumnya.  Bakul sampah adalah tempat paling layak buatnya. Kubaca itu dalam pamplet Buddhist.)




 

No comments: