Thursday, June 6, 2013

Berhala yang mana satukah yang dikejar?



Berhala


(Kepada sesetengah pengamat seni yang tekun, 'sebongkah' patung kayu yang dicokohkan di ruang tamu, mungkin saja diamati sebagai sebuah karya yang sangat indah.  Mungkin ada yang sampai meleleh air mata dan air liurnya melihat sebuah karya seni yang sedemikian hebat kehalusannya.  Itu salah satu sudut pandangan perihal patung kayu di ruang tamu).

Dalam syarah-syarah di surau, masjid dan di tempat-tempat lain tentang iman dan akidah, kita selalu diperingatkan tentang betapa besarnya azab bahaya syirik dosa yang tidak akan diampun itu.  Makanya dalam masyarakat Melayu, ibu-ibu dan bapa-bapa selalu diingatkan supaya berhati-hati dengan segala bentuk ‘patung’ di dalam rumah.  Oleh itu ada yang membuang atau menyimpan jauh-jauh patung ukiran yang seni dan menarik kerana takut kalau-kalau ini membawa bala dosa syirik.  Takut-takut ia ‘disembah’ dan menduakan penciptanya.  Isti’adzah. (kata puteri saya, mohon perlindungan).    

2.

Ramai yang sangat berhati-hati dengan kemantapan akidahnya,  melihat ukiran patung kayu di ruang tamu itu sesuatu yang mungkin membawa seseorang itu tergelincir syirik.  Ya, patung yang tercokoh di ruang tamu adalah berhala yang boleh membuat seseorang Muslim itu syirik.  Ia (patung itu) secara fizikal wujud di ruang tamu.  Dan Tuhan Maha Pencipta itu tidak boleh disamakan dengan segala yang baharu, maka patung mestilah dinyahkan jauh-jauh. 

Ertinya di sudut akidah bergantung harap dan menagih ehsan,  apa lagi meminta-minta selain daripada Maha Pencipta adalah perbuatan yang salah.  Jangan lupa seorang manusia Muslim sejati tidak boleh menduakan Tuhannya kerana itu adalah dosa besar yang tidak diampun.    Malangnya dalam dunia yang sentiasa dan semakin kencang dilanda ribut taufan kebendaannya, apakah manusia Muslim itu sentiasa waspada dan sentiasa menjaga kehadiran segala bentuk berhala patung dalam dirinya?   

Ah, sudah jadi khutbah!

3.

Apabila seorang Muslim itu membuang patung di sudut ruang tamu, apakah dia sudah benar-benar bebas dan merdeka daripada pelbagai berhala yang lain?  Di sudut hatinya,  apakah tidak tersimpan dan tidak disembahnya wang ringgit, harta, pangkat, darjat dan kuasa?  Siapakah yang mengingatkan siapa,  apabila seorang Muslim itu secara terang-terangan berbohong, menipu dan menfitnah demi merebut berhala?    

Dalam konteks ini,  saya tabik hormat apabila orang-orang yang kerap sekali dicop sebagai anti-Islam dan anti-Melayu seperti Lim Kit Siang itu tidak peduli bahawa kartu namanya sejak dulu lagi sentiasa saja polos@bogel@kosong.  Sejak sekian lamanya dia muncul sebagai LIM KIT SIANG.  Dia tak perlu menunggu gelar dan darjat pada hari-hari tertentu.  Adakah berhala-berhala lain dalam dirinya?  Itu hanya dalam ilmu Yang Maha Kuasa.  Wallahuaklam.


Maaf, terlanjur berkhutbah.



No comments: