Saturday, June 8, 2013

"Siapa ajar kaum kencing berdiri?"



(Must it be the world of hate mongers? Why?)
Komentar pembaca sebagai cermin


Pernah ikuti komen-komen pembaca di hujung sesebuah tulisan (artikel, berita, ulasan, surat dan lain-lain) di laman-laman digital?  Komen-komen yang dapat kita baca misalnya di Harakahdaily, Detikdaily atau pun Malaysiakini versi Inggeris dan juga versi Melayunya.  Sebenarnya hampir semua akhbar digital memuatkan komen pembacanya.  Apakah betul jika kita katakan bahawa segala komen pembaca ini memberikan gambaran tentang tanggapan para pembaca berhubung isu yang dibicarakan dalam tulisan?


Apakah ciri-ciri umum komen-komen ini?  Kelihatannya salah satu aspek paling ketara ialah ramai sekali yang menggunakan nama samaran.  Hatta dalam Malaysiakini versi bahasa Inggeris pun,  kita temui hampir semua pembacanya berbuat demikian.  Ini bermakna secara umum, para pembaca yang menjadi ‘pengkomentar’ ini tidak mahu identiti mereka sebagai tukang komen diketahui umum.  Mereka lebih selesa berselindung, bersembunyi atau tidak dikenali umum.  Bukankah ini memberikan gambaran tentang ‘diri kita’  sebagai satu masyarakat?  Apakah benar kita adalah masyarakat yang sentiasa saja bimbang, takut-takut, cuak sekiranya batang tubuh kita sebagai sumber idea dan pandangan yang kontroversial itu diketahui umum?  Jika benar begitu, kenapa ya?   Adakah keadaan ini berkait rapat dengan sejarah didikan keluarga, sistem pendidikan kita pendidikan baik yang formal maupun yang bukan formal?  


2.


Dalam konteks ini apakah peranan dan tanggungjawab para penggendali laman-laman digital?  Kecuali kenyataan rasmi laman digital bahawa mereka tidak bertanggungjawab terhadap segala komen yang dibuat oleh para pembacanya, kita dapat merasakan komen-komen tersebut kelihatannya tidak diurus@di’moderate’.  Mungkin kerja untuk mengurus segala komen ini terlalu sulit, membebankan, tidak terbuat dan tidak memberikan faedah.  Mungkinkah begitu?  Apa benar segala komen ini tidak memberikan faedah? 


Sesungguhnya jika ruangan komen pembaca ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan sebaik-baiknya,  ia berfaedah sebagai satu wadah untuk para pembaca berhujah, bertukar-tukar pandangan, mengkritik, mendorong dan menghargai. Ertinya jika komennya diberikan dengan jujur, ikhlas dan terbuka, ia  bermanfaat kepada para pembaca semua.  Bagi kita inilah yang wajar dipupuk, digalakkan dan mungkin juga dihargai walaupun dalam bentuk yang sangat sederhana (misalnya hadiah sebuah buku bestseller terkini). 


3.

Sekarang ini apakah bentuk dan ‘isi’ komen yang kita kerap kita temui di laman-laman digital kita?  Kelihatannya jarang yang mahu berhujah dengan serius dan bersungguh-sungguh supaya buah fikiran mereka itu dipelajari, dihayati dan dimanfaatkan.  Ya, kita dapati jarang yang mahu membidas sesuatu idea atau pandangan yang tidak secocok dengan dirinya,  secara bersungguh-sungguh supaya manfaat hujahnya itu dapat dijadikan renungan oleh para pembaca lain.  
Kelihatannya,  masih terlalu ramai yang memilih cara, gaya, berloyar buruk dan berhentam keromo semasa ‘berhujah’.  Tidak kurang pula mereka yang memilih untuk tidak serius@main-main, gemar menghina, mencerca, dan kerap kali memilih menyerang peribadi penulis yang diketahui sosoknya daripada berhujah untuk mematahkan hujah yang mereka tidak setujuinya itu. Ya benar,  semasa ‘berhujah’  yang dicari ialah batang tubuh penulis bukannya hujahnya. 


4.


Jika kita renungi secara mendalam dan kita jadikan komen-komen pembaca itu kayu pengukur diri kita sebagai satu bangsa, apakah sosok yang kelihatan dalam ‘cermin diri’ kita itu?  Ya, sebagai satu kelompok manusia abad ke -21, sihatkah kita, jiwa dan rohnya?  Agaknya kenapakah demikian keadaan kita? 




No comments: