Friday, July 12, 2013

Ceramah dakwah Bob Lokman berbeza



Dinsman (Artikel 389, 12/7)
Ceramah dakwah Bob Lokman berbeza

Masih dalam konteks perkara yang telah dua kali saya wacanakan dalam dua keluaran yang lalu – mengenai dakwah kita melalui ceramah yang melimpah-limpah dan penuh kelakar itu dan kesannya yang hampir tiada, yang saya anggap sebagai “persembahan hiburan bentuk baru”.

Kebetulan saya mendengar ceramah Bob Lokman baru-baru ini, di laman Masjid Nurul Iman, Rawang. (Malam sebelumnya saya mengikuti Kelas Aqidah di rumahnya di Sg Buloh, disampaikan oleh Ust Ridwan Ismail). Ada beberapa hal menarik dalam ceramahnya itu, menjadikannya berbeza daripada kebanyakan ceramah dakwah yang saya maksudkan dalam dua wacana lalu itu.

Bob Lokman dikenali juga dengan sifat-sifat lawak dan kelakarnya. Memang. Tetapi bukan itu yang menjadikan ceramahnya menarik dan berbeza. Yang menjadikan ceramahnya menarik ialah inti ceramahnya. Apa inti ceramahnya? Keikhlasan dalam bercerita.

Bagaimana saya tahu dia ikhlas bercerita? Kerana dia bercerita mengenai proses menuntut ilmu yang dia sendiri sedang lalui. Dia tidak melebih-lebih dalam bercerita. Dia bercerita seadanya. Dia tidak sekadar bercerita hal yang hebat-hebat di kalangan para sahabat Rasulullah saw agar sedap didengar oleh khalayak yang hadir, sedangkan dia sendiri pun tidak pernah bercita-cita untuk meneladani cerita sahabat yang diceritakannya itu (seperti yang banyak di kalangan penceramah dakwah kita).

Pernah saya bersama-sama dengan dia di suatu pentas, dan ada seorang lagi penceramah. Seperti biasa, penceramah itu pun berceritalah perihal hebatnya seorang sahabat Rasulullah saw berkorban. Habis segala harta bendanya dikorbankan untuk jihad fisabilillah, tanpa ada keraguan dan kebimbangan untuk hidupnya di esok hari.

Mendengar itu, di luar pentas selepas itu Bob Lokman berbisik kepada saya. “Inilah masalah kita. Bercerita bukan main sedap didengar. Tetapi apakah dia yang bercerita itu sendiri mempraktikkannya? Sejauh mana dia sendiri telah berkorban, atau sanggup berkorban demi untuk perjuangan? Atau sekadar sedap bercerita sahaja?”

Dia tidak tahu bahawa apa yang dibisikkannya ke telinga saya pada malam itu, di Johor Bahru, rupa-rupanya begitulah juga yang selalu saya bisikkan ke telinga kawan-kawan, atau kawan-kawan membisikkannya ke telinga saya, sejak sekian lama.

Para penceramah-pendakwah kita berlumba-lumba untuk bercerita yang sedap-sedap didengar, supaya mereka digemari ramai dan menjadi popular sebagai pendakwah yang menghibur, dan dengan itu demand terhadap mereka pun semakin hot dan toplah di pasaran. Manakala cerita-cerita yang mereka ‘jual’kan kepada khalayak itu pula, mengikut Dr Asri Zainul Abidin bekas Mufti Perlis itu, banyak yang diragui kesahihannya, bahkan banyak juga yang sahih tidak benarnya.

Sebaliknya saya tidak merasai kesan yang sedemikian ketika mendengar ceramah Bob Lokman. Dia menceritakan betapa perlunya kita berusaha menuntut ilmu, untuk mengetahui dan memahami amalan kita sendiri sebagai orang Islam. Dan betapa bahayanya kalau kita beramal tanpa ilmu. Dan dia merujuk kepada diri dia sendiri. Dia tidak ‘mengata orang’, seperti yang selalu menjadi bahan lawak jenaka kebanyakan penceramah-pendakwah kita.

Dia bercerita mengenai proses yang dilalui oleh dirinya sendiri. Dia menceritakan kelemahan dan kejahilannya, dan bagaimana dia berusaha mengatasi kelemahan dan kejahilan itu. Bagaimana dia belajar ilmu agama. Dengan siapa dia belajar. Dan apa-apakah amalan agama yang dahulu dilakukannya dalam kejahilan tetapi kini dia sudah tahu dan faham setelah belajar.

Memang dia ada bakat jenaka semulajadi itu, maka sesekali dia pun membawa cerita yang boleh menimbulkan gelak ketawa hadirin. Tetapi itu tidak dijadikannya modal untuk melariskan demand terhadap dirinya.

Yang penting perlu kita fikirkan bukanlah semata-mata bagaimana hendak menarik orang ramai datang ke majlis ceramah agama. Penting kita fikirkan ialah kesannya, yakni bagaimana untuk melahirkan masyarakat yang menghayati ajaran dan akhlak Islam.

Cukuplah dengan pelbagai jenis dan bentuk hiburan yang ada dalam masyarakat kita sekarang. Jangan kita pula jadi keliru hendak bersaing dengan hiburan-hiburan yang ada itu, kononnya hendak menarik orang ramai ke majlis agama maka kita juga perlu ada hiburan. Maka berpindahlah orang ramai dari satu jenis hiburan kepada satu jenis hiburan yang lain. Tidakkah itu satu kekeliruan?

Sejak bilakah alim ulamak Islam mengajarkan bahawa sesuatu majlis ilmu itu harus dihiasi dengan cerita-cerita kelakar dan cerita-cerita hebat yang memukau khalayak, supaya dapat menarik orang ramai datang menuntut ilmu?

Saya tidak fikir begitu. Maka kadang-kadang apabila penceramah-pendakwah menceritakan perihal kelebihan orang yang hadir di majlis ilmu, (ya tentunya merujuk kepada majlisnya yang sedang berlangsung itu), saya terasa ragu-ragu apakah benar majlis seperti ini yang dimaksudkan majlis ilmu yang akan mendapat ganjaran pahala sedemikian besar itu? (lebih daripada pahala sembahyang sunat seribu rakaat?).

Di sini saya menyebutkan ceramah Bob Lokman itu hanya sekadar satu contoh sahaja. Tentunya ramai lagi penceramah yang mungkin lebih baik lagi daripada Bob Lokman, yang mungkin saya tak tahu dan tak pernah berjumpa.

Dan saya pun tak bermaksud bahawa ceramah dakwah yang baik itu semestinya bercerita hal yang benar dari pengalaman diri sendiri sahaja. Saya menyebutnya demikian itu sekadar contoh. Asalkan ceramah itu tidak menjadi “hiburan bentuk baru” yang saya perhatikan banyak terjadi sekarang; dan asalkan “majlis ilmu” itu memang benar-benar “majlis ilmu”. Supaya masyarakat kita yang sedang keliru sekarang ini tidak ditambahkan lagi kekeliruannya. Wallahu ak’lam!

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)  





No comments: