Thursday, July 11, 2013

PENANGKAPAN PEMIMPIN IKHWAN MESIR DIARAH OLEH US DAN ISRAEL




PENANGKAPAN PEMIMPIN IKHWAN MESIR DIARAH OLEH  US DAN  ISRAEL


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM
Setiausaha Agung Sekretariat Himpunan Ulama Asia (SHURA)


Seperti yang dijangka kuasa Barat terutama US dan Israel akan bertindak untuk mengguna tentera Mesir melakukan "sweeping operation" untuk menahan semua pimpinan Ikhwan Muslimin Mesir.

Kelmarin pihak berkuasa Mesir sudah mengeluarkan arahan menahan Mursyidul Am Ikhwan Dr Muhammad Badie dan seluruh kepimpinan Ikhwan atas dakwaan menghasut rakyat sehingga berlaku tragedi pembunuhan 51 orang Ikhwan oleh tentera walaupun mereka sedang solat.

Baru-baru ini 5 pimpinan Ikhwan telahpun dipenjarakan termasuk Timbalan Mursyidul Am Khairat el-Shaiter . Seorang lagi timbalan  Mahmoud Ezzat, ahli senior Ikhwan , Mohammed El-Beltagy dan pendakwah tersohor Safwat Hegazy juga sudah ditangkap .

Bermakna tindakan ke atas Ikhwan Muslimin kini jauh lebih keras kerana dizaman Mubarak, pihak tentera tidak berani mengeluarkan tangkapan ke atas Mursyidul Am Ikhwan.

Ini bukan suatu yang mengejutkan kerana pemimpin Ikhwan sangat berpengaruh dan mampu mengugat agenda Barat yang mahu Mesir terus tunduk kepada telunjuk mereka.

Rampasan kuasa di Mesir digerakkan oleh pakatan dikalangan kelompok liberal, fundamentalis sekular, anggota penyokong Mubarak yang digelar  "deep state", pemimpin Kristian Koptik serta elemen-elemen dalam perisikan, tentera, agensi sekuriti, syarikat-syarikat besar, kehakiman dan mafia . Semua kelompok ini bergabung di bawah dokongan US dan Israel dan bersatu untuk mengekang kemaraan Ikhwan Muslimin di seluruh negara Arab. Tidak dilupakan juga Saudi Arab dan UEA yang merupakan sekutu rapat US turut membiaya demonstrasi anti Morsi.

US sudah memastikan semua ketua dan kerajaan negara Arab yang menjadi sekutunya bersama menghalang Ikhwan dari bertapak menerajui pemerintahan di mana berlaku Arab Spring. Sebab itu Arab Saudi, Kuwait, UEA,  menyokong rampasan kuasa di Mesir dan berjanji memberi bantuan berbilion USD untuk kerajaan tentera Mesir.

Tidak ketinggalan Syria juga menyuarakan sokongan kepada rampasan kuasa Mesir kerana tidak mahu Ikhwan semakin bertapak kukuh dalam pemerintahan negara tersebut.

Setelah Perjanjian Kem David 1978, Angkatan Tentera Mesir bukan lagi institusi yang patriotik kepada Mesir tetapi menjadi budak suruhan US dan Israel yang dengan sebab itu ia telah mendapat bantuan tahunan dari US sebanyak USD 1.3 bilion.

Pegawai tinggi Mesir dilatih di US dan tentara Mesir sentiasa mengadakan perhubungan dengan ketenteraan US.  Malah tentera Mesir berkolusi dengan Israel dan Fatah untuk menindas pejuang Palestin dan menjayakan penaklukan Israel ke atas semua kawasan Palestin.

Dengan yang demikian US dan Israel tidak punya pilihan.  Konspirasi  digerakkan untuk menghalang kemaraan kekuatan Ikhwan yang semakin mengukuh.

Kemuncak kepada rampasan kuasa di Mesir adalah penangkapan pimpinan Ikhwan dan mengistiharkan sekali lagi Ikhwan Muslimin sebagai organisasi yang diharamkan.

Mesir kini jelas kembali kepada zaman diktator yang mengharamkan Ikhwan Mulsimin sejak era Jamal Abdul Nasser.

Penangkapan pemimpin Ikhwan itu adalah siri penghapusan sebarang gerakan yang berani menentang agenda Barat di mana-mana negara Arab yang selama ini menjadi alat kepada hegemoni Barat.

Kuasa Barat sangat maklum bahawa sejak Arab Spring 2011, Ikhwan merupakan gerakan yang paling tersusun dan mampu menjadi kekuatan untuk mengambilalih  kerajaan diktator seperti di Tunisia, Libya, Yemen dan Mesir.

Sebab itu kebangkitan rakyat Arab dilihat oleh kuasa Barat US dan Israel akan menguntungkan Ikhwan Muslimin yang dilihat mempunyai potensi alternatif kepada pimpinan boneka Arab yang disokong oleh Barat.

Barat melihat kebangkitan gerakan Ikhwan Muslimin yang semakin diterima rakyat untuk mengurus negara.  Malah sejak 1980 an lagi pencapaian Ikhwan dalam politik beberapa negara Arab sangat memberangsangkan . Ini termasuk di Kuwait, Jordan, Bahrain dan Iraq.  Juga fenomena yang sama berlaku di Sudan pada 1989 .

Sebab itulah pengembangan Ikhwan di negara-negara Arab sangat merisaukan kuasa Barat US dan Israel kerana jika tidak dibendung, gugatan seterusnya adalah untuk membebaskan Palestin dan Masjid Al Aqsa.

Di peringkat negara-negara dimana Ikhwan bergerak cergas,  agenda Islamisasi yang dibawa oleh mereka sememangnya difahami oleh majoriti rakyat dan rakyat mendokong cita-cita Ikhwan.

Perlembagaan yang telah disemak dan digubal semula pada ketika Morsi menjadi Presiden yang sah,  kini digantung oleh Presiden boneka tentera, iaitu Adli Mansour, yang cuba merombak dan membatalkan segala elemen Islam dalam perlembagaan tersebut.  Mesir mahu sekali lagi bergerak ke arah negara sekular walaupun 77 % rakyat menerima perubahan yang mahu di bawa oleh Morsi dengan cara menghapuskan peruntukan dalam Perlembagaan yang memberi legitimasi kepada Islam untuk menjadi dasar kepada negara Mesir.



No comments: