Tuesday, July 30, 2013

Cikgu Azmi dan TT dalam wacana Kudeta Mesir



Wacana Kudeta Mesir: Pengajaran Buat Gerakan Islam


1.0 Pada 28 Julai 2013 (Ahad)/19 Ramadhan 1434, Madrasah Tarbiah, Jalan Gombak, Kuala Lumpur  telah menjadi tuan rumah sebuah lagi wacana politik, Wacana Kudeta Mesir: Pengajaran Buat Gerakan Islam.  Acara yang tidak terlalu akademik ini bermula sebaik saja selesai solat asar, kira-kira 5:15 petang sehinggalah beberapa minit sebelum waktu berbuka.  Wacana telah disiarkan secara langsung oleh RadioBangsarUtama – Berani Melanggar Laporan Jelas. (http://www.radiobangsarutama.blogspot.com/).   

2.0 Wacana anjuran bersama PAKSI, Seniman Paksi Rakyat dan Madrasah Tarbiah ini dimeriahkan dengan lontaran hujah, kupasan dan pandangan empat orang panelis; Cikgu Mohd Azmi Hamid (CAP, Teras, Mapim, Syura dll), Sdr Hisahmuddin Rais,  aktivis rakyat (antara lain Bersih, Penggerang, Lynas dll) ‘pemilik’ blog Tukar Tiub,  Sdr Hasni Abas, aktivis buruh, mantan Presiden Kesatuan Sekerja DBP,  Setiausaha GMP, Gerakan Mansuhkan PPSMI dan Sdr Ahmad Muhajir, pengusaha dunia ilmu/buku, kolumnis dan aktivis sosial.

3.0 Semasa wacana diadakan,  suasana di Mesir tegang dan ramai rakyat yang menentang regime tentera di bawah Si-Si telah gugur (Cikgu Azmi menyebut 170 orang tidak termasuk yang ditembak semasa sembahyang subuh) dan angkanya kian meningkat.  Jika kebangkitan rakyat di Tiananmen Square, Beijing itu jelas ― rakyat dihentam oleh tentera tapi di Mesir sekarang ini, terdapat kelompok yang anti-Morsi dan juga yang disokong oleh pihak tentera.  Yang menjadi mangsa tembakan peluru hidup tentera ialah para penyokong Morsi, khususnya Ikhwan Muslimin.  Dengan latar seperti inilah wacana anjuran Paksi dan Madrasah Tarbiah diadakan.

4.0 Cikgu Ishak Surin, YDP Pas Batu rakan seperjuangan almarhum Ahmad Boestamam telah menyatakan betapa syukurnya Madrasah kerana wacana seperti ini dapat diadakan di Madrasah Tarbiah Banda Dalam.  Beliau gembira kerana dapat bekerjasama dengan Paksi dalam program-program seperti ini.

Apa kata para pembentang

4.0 Hujah Cikgu Azmi Abd Hamid

Setiausaha MAPIM dan pelbagai NGO lain adalah seorang aktivis masyarakat yang sentiasa di depan dalam memperjuangkan pelbagai isu yang dihadapi ummah.  Misalnya beliau hadir untuk memperjuangkan nasib rakyat tertindas di Gaza dan Rohingya di Myanmar.  Dalam pembentangannya, Cikgu Azmi antara lain:

4.1 Menggariskan sepintas lalu,  susur galur sejarah moden Mesir sejak rampasan kuasa oleh pihak tentera di bawah Gamal Abdul Nesser dan seterusnya cengkaman para penggantinya; Anwar Sadat dan Hosni Mubarak.  Beliau memperingatkan bahawa sejarah penguasaan tentera telah bermula sejak tahun 1952 ―apabila raja dibuang, Mesir dijadikan republik ―  dan sejak itu cengkaman tentera Mesir tidak boleh disingkirkan lagi.    

4.2 Menjelaskan senario politik Mesir setelah Arab Spring meletus di Timur Tengah.  Beliau misalnya bercakap tentang ― komposisi undi yang diperolehi pelbagai kelompok dalam pilihan raya setelah Hosni Mubarak digulingkan, peranan golongan-golongan yang mempengaruhi politik Mesir seperti Ikhwan Muslimin, Natural Salvation Front, kelompok Al-Azhar, golongan Kristian Coptic sehinggalah kemunculan kelompok Tamarod (Rebellion) dan Egypt Change Movement ― panji-panji terbaru anak-anak muda.  Kata Cikgu Azmi mutakhir ini telah muncul pula kelompok baru anak-anak muda yang berkecuali iaitu Tajarud (Impartiality).  Di samping itu, beliau tidak lupa menyentuh peranan Amerika dan para sekutu kentalnya Arab Saudi, Qatar dan Kuwait yang tidak jelas sangat takut dan tidak mahu pengaruh Ikhwan Muslimin itu berkembang. 


4.3 Mengikut pemerhatian Cikgu Azmi, jika ditinjau dari sudut mana sekali pun tindakan penggulingan Morsi tidak boleh diterima sama sekali.  Pengajaran yang boleh dipelajari terlalu banyak tapi beliau tidak sempat mengupasnya dengan mendalam kerana terpaksa beredar ke Subang Jaya untuk satu lagi program yang telah diatur.


5.0 Hishamuddin Rais

5.1 Bagi blogger ini, bentrokan terbuka yang berlaku sekarang ini bertujuan untuk menghapuskan anak-anak muda yang katanya ‘teroris’ dan tentunya para penyokong Morsi.

5.2 Bagi tuan punya blog Tukartiub TT ini, persoalan asas, persoalan yang paling fundamental tentang apa yang sedang berlaku di Mesir itu perebutan sumber ekonomi.  Kata Hisham TT Rais,  di sana wujud pertempuran kelas untuk merebut nikmat ekonomi. 

5.3 Untuk memahami senarionya kita harus jelas kenapakah tentera Mesir itu begitu berpengaruh dalam politik dan kehidupan rakyat Mesir.  Tentera Mesir bukanlah sekadar bala tentera konvensional yang kita fahami di Malaysia; bala tentera profesional yang hanya dipertanggungjawabkan untuk menjaga keamanan negara. Tentera Mesir melebihi skop itu, mereka ada di mana saja dalam bidang ekonomi Mesir; mereka terlibat dalam industri pembinaan, perindustrian dan pelbagai bidang yang lain.  Oleh itu bolehkah dibayangkan Mesir tanpa tentera?   Apakah itu mungkin?

5.4  Dalam konteks ini kita tidak boleh lupa bahawa dalam Ikhwan Muslimin pun wujud juga taukeh-taukeh besar, para cukongnya.  Terdapat para pemimpin besar Ikhwan yang sebenarnya cukong-cukong besar.  Ini tidak mengherankan kerana, kata TT kehidupan ini berkisar sekitar poros ekonomi.  Sebagai perbandingan Hisham berhujah bahawa para cukong Ikhwan ini  bukanlah para pengikut parti Pas yang memiliki warung dan kiosk di tepai jalan.  Oleh itu mereka juga berebut-rebut untuk mendapat habuan ekonomi Mesir ini.  (Hujah ini dibantah Dinsman semasa dalam sesi soal jawab.  Mungkin Presiden Paksi ini akan mengupasnya dengan lebih lanjut dalam kolumn Wacana Budayanya.  Mungkin.)

5.5 Apakah yang dapat dipelajari dari tragedi berdarah Mesir ini?  Kata Hisham, salah satu masalah Morsi ialah sifatnya yang tidak inklusif.   Morsi ternyata telah gagal menjadi Presiden Mesir kerana lebih berminat untuk menjadi Presiden Ikhwan Muslimin sama seperti Pas di Kedah dan Terangganu semasa memegang tampuk pentadbiran dulu.  Sebagai perbandingan, sila bandingkan dengan ikrar KJ, menantu ayah sebaik saja diangkat menjadi Menteri penuh.  Menurut Hisham, KJ menantu Pak Lah itu, telah membuat pengisytiharan bahawa dia adalah menteri kebudayaan anak-anak muda Malaysia.  Inilah kenyataan orang yang cerdik ― satu  hebahan bahawa dia mahu jadi inklusif.    (Kenyataan bahawa Presiden Morsi tidak inklusif ini walau bagaimanapun telah disanggah oleh Cikgu Azmi kemudiannya.  Kata mantan Cikgu Maktab Salman, Sungai Petani ini adalah tidak benar, Morsi mementingkan Ikhwan Muslimin saja.  Beliau telah memberikan angka-angka dan komposisi mereka yang dilantik ke dalam kabinetnya).         


6.0 Apa kata Hasni Abas?


7.0 Apa pula kata Ahmad Muhajir?

(Insyallah, akan kita bentangkan nanti.  Sehubungan itu, mungkin terdapat aspek-aspek tertentu kefahaman yang diutarakan di atas tidak begitu tepat.  Mohon kritik dan betulkan.  Terima kasih.  Wallahuaklam.)




No comments: