Dinsman (Artikel
391, 22/7)
Mahfuz dan ‘Kuasa Budaya Dunia’
Ada sebuah berita
kecil dalam Harakah 10 Ramadan (19
Julai), di muka surat F18 – Laporan Parlimen. Tajuknya “PAS cadang wujudkan
Institut Diplomasi Budaya”. Macam nak
terkejut juga saya baca tajuk itu. Eh, betul ke ni? Atau ada tersalah cetak?
“Institut Diplomasi Budaya”? Macam tak pernah dengar pun istilah macam itu.
Baca isinya.
“Dato’ Mahfuz Omar (PAS – Pokok Sena) berharap agar Kerajaan BN khususnya
melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mewujudkan Institut Diplomasi
Budaya bagi mewujudkan perpaduan masyarakat serta pembinaan tamadun daripada
pelbagai aspek bangsa dan budaya.
“Katanya, tidak
cukup jika kerajaan sekadar berbangga mahu mewujudkan Malaysia sebagai negara
yang berbudaya tetapi gagal mengangkat negara selama ini sebagai kuasa budaya
dunia.
“Beliau berkata,
untuk memulihkan ekonomi yang merudum mungkin agar sukar tetapi untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara yang menguasai budaya agak mudah, kerana
negara ini merupakan sebuah negara yang terkumpul tamadun besar dunia di
dalamnya.”
Lagi
memeranjatkan! “..sebagai kuasa budaya dunia” Hebat! Mahfuz Omar, Naib Presiden
PAS itu bercakap pasal “kuasa budaya dunia” – Malaysia patut diangkat menjadi
sebuah ‘kuasa budaya dunia’. Dan penjelasannya yang walaupun dilaporkan pendek
sahaja, satu para sahaja, tapi cukup menarik:
“..untuk
memulihkan ekonomi yang merudum mungkin agak sukar, tetapi untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara yang menguasai budaya, agak mudah.”
Setuju! Memang saya
setuju. Tapi sejak bila pula Mahfuz menjadi seorang tokoh politik yang berminat
dengan budaya ini? Ingatan saya segera menyemak beberapa rekodnya sebelum ini.
Ya, memang, waktu dia jadi Ketua Dewan Pemuda dulu ada beberapa program
berbentuk budaya pernah dianjurkannya, dan melibatkan saya juga dalam
program-program itu.
Tetapi selepas
itu sudah lama kita tak dengar berita dia buat apa-apa yang berhubungan dengan
seni-budaya. Barangkali ada, cuma saya yang tak dengar, tak tahulah. Tetapi
mengapa ditimbulkan itu? Kalau 15 Julai lalu dia membangkitkan isu budaya di
Parlimen, dan bercakap pula mengenai Malaysia yang sepatutnya diangkat menjadi
sebuah ‘kuasa budaya dunia’, tidakkah itu suatu yang sangat penting?
Pada saya itu
idea yang sangat penting. Idea mengenai ‘kuasa budaya dunia’ itu. Mengenai
Institut Diplomasi Budaya tadi agak kurang jelas. Kata kawan saya, ia agak
mengelirukan. Mengapa “diplomasi budaya”? Tidakkah Institut Pemikiran Budaya
atau Institut Pemahaman Budaya lebih sesuai dan tepat maksudnya? Apakah kita
hendak menggunakan budaya untuk tujuan berdiplomasi antara kaum?
Tak mengapalah.
Apa pun, di samping sekalung tahniah untuk Mahfuz, saya kira Dr Mujahid Yusoff
dan Dr Hatta Ramli juga patut kita ucap tahniah, kerana mereka juga telah bangun
menyokong idea Mahfuz itu, di Parlimen. Dr Mujahid malah mencadangkan supaya
rakyat Malaysia tidak lagi dipanggil dengan nama kaum atau keturunan
masing-masing, tetapi cukup dengan panggilan bangsa Malaysia, atau orang
Malaysia.
Dr Hatta Ramli
pula menimbulkan isu kerakusan pihak berkuasa Umno-BN yang telah, sedang dan
akan memusnahkan satu demi satu warisan budaya kita, kononnya kerana hendak
‘membangun’. Sahlah orang-orang Umno-BN dan konco-konco mereka itu tidak nampak
nilai tinggi warisan ‘budaya dunia’ yang ada di negara kita, seperti yang
Mahfuz telah nampak itu.
Okey, setelah
menyuarakannya di Parlimen, apa pula selanjutnya? Inilah persoalan yang penting
difikirkan, kalau kita menganggap isu yang disuarakan oleh Mahfuz itu satu
perkara yang penting. Yakni isu ‘kuasa budaya dunia’ itu.
Mengenai cadangan
penubuhan Institut Diplomasi Budaya itu, kerana ia dicadangkan kepada kerajaan
Najib, saya tidak fikir Najib akan menerimanya. Kalau diterima pun, kata
seorang lagi kawan saya dalam Paksi, sudah ada tokoh-tokoh budaya Gapena yang
sedang menunggu untuk menjawat jawatan Ketua Pengarahnya; dan seterusnya akan
jadilah institut budaya itu satu lagi komponen Umno-BN. (Fahamlah ‘kan!)
Maka kalau Mahfuz
serius hendakkan sebuah institut budaya itu, kata kawan saya, eloklah ditujukan
cadangan itu kepada pihak Pakatan Rakyat. Ya, mengapa tidak? Kalau kita mahu,
Pakatan Rakyat boleh menubuhkannya. Tidak perlu tunggu kita menguasai Putrajaya
baru kita hendak melakukan apa-apa yang perlu kita lakukan itu. Perkara seperti
institut budaya ini, misalnya, boleh kita tubuhkan sekarang.
Dan idea mengenai
‘kuasa budaya dunia’ itupun bolehlah diterapkan secara beransur-ansur melalui
institut tersebut.
Saya memang
tertarik dengan pandangan Mahfuz bahawa “untuk memulihkan ekonomi yang merudum
mungkin agak sukar, tetapi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang
menguasai budaya, agak mudah.” Saya pernah berhujah dengan jalur fikiran yang
hampir sama begitu ketika saya mengkritik formula pentadbiran Dr Mahathir dalam
buku saya “Gawat: Gagalnya Formula
Mahathir” (1998) dulu.
Kini,
alhamdulillah, kalau Mahfuz seorang Naib Presiden PAS berfikiran begitu, maka
perjuangan seni-budaya yang dibawa oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi) selama ini
nampaknya akan menjadi agak mudah.
Insya Allah, mari
kita ambil idea ‘kuasa budaya dunia’ oleh Mahfuz ini, untuk kita tekuni
bersama, untuk kita perkembangkannya, perjelaskannya, dan melihatnya dalam
pelbagai aspek dan pelbagai kemungkinan, dan kita jadikannya agenda penting
kita bersama. Harap-harap Mahfuz bersetuju, dan Mujahid serta Hatta Ramli juga
akan menyokong.
(Penulis boleh juga
dihubungi dengan sms 019-7172408)
No comments:
Post a Comment