Sumber:
http://gatera.my/trans-pacific-partnership-agreement-tppa-punca-kemelut-dan-penyelesaiannya/
Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA): Punca Kemelut
dan Penyelesaiannya
July 18, 2013 · oleh Prof. Mohd Nazari Ismail · dalam Artikel,
Penerangan
Sudut
Pandangan Ahli GATERA 3
Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA): Punca Kemelut dan Penyelesaiannya
Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA): Punca Kemelut dan Penyelesaiannya
Prof.
Mohd Nazari Ismail
Satu isu hangat yang sedang
dipedebatkan di negara kita dan beberapa negara lain adalah berkenaan
perjanjian perdagangan yang dikenali sebagai Trans Pacific
Partnership Agreement (TPPA), atau Perjanjian Kerjasama Transpasifik
(PKTP). Perjanjian ini yang dalam proses rundingan adalah satu bentuk
perjanjian perdagangan bebas dan melibatkan negara-negara berikut : Amerika
Syarikat, Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand,
Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun.
Kerajaan Malaysia telah membuat
keputusan untuk terus terlibat dalam rundingan ini kerana berkeyakinan bahawa
sebagai sebuah negara yang bergantung kepada kegiatan (aktiviti) perdagangan
antarabangsa, ia akan mendapat banyak manfaat hasil dari perjanjian perdagangan
bebas ini.
Namun demikian, terdapat beberapa pihak
di negara kita yang tidak bersetuju dengan perjanjian berkenaan dan mahukan
kerajaan menarik diri dari perjanjian tersebut atau menangguhkan
dari menandatanganinya. Walaupun begitu, terdapat juga pihak di
negara kita yang sangat-sangat menyokong perjanjian ini. Akibatnya ramai yang
agak keliru tentang adakah TPPA ini baik atau tidak untuk masa depan
Malaysia.
TPPA adalah satu bentuk perjanjian bebas yang para
penandatangannya (signatorinya) nanti akan berusaha untuk mewujudkan suasana
dalam keadaan kegiatan perdagangan dan pelaburan yang merentasi
sempadan negara akan dapat dijalankan oleh syarikat-syarikat
perniagaan di semua negara yang terlibat. Di samping itu, sekatan
kepada aktiviti pelaburan dan perdagangan bebas seperti cukai, syarat
pengimpotan dan pelaburan serta sekatan bukan tarif lain akan dihapuskan atau
diminimumkan.
Persoalannya sekarang ialah apakah
perspektif yang patut dilihat oleh seseorang Islam berkenaan perjanjian
perdagangan TPPA ini dan juga perjanjian-perjanjian perdagangan bebas
yang lain.
Kita semua tahu bahawa dari perspektif
Islam, aktiviti perdagangan dan pelaburan adalah dibenarkan. Perkara
ini telah diterangkan dengan jelas di dalam Suraht al-Baqaraht, ayat
275: yang bermaksud:
“Orang-orang
yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti
berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan
(Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa
sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah
menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. oleh itu sesiapa
yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia
berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum
pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada
Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka
itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Rasulullah SAW sendiri semasa
hayatnya adalah seorang ahli perniagaan. Bahkan beliau adalah ahli perniagaan
antarabangsa kerana pernah berdagang hingga ke negara Syams atau Syria.
Walaupun begitu, kita juga perlu
menyedari bahawa terdapat beberapa batasan yang dikenakan oleh Syariah terhadap
kegiatan perniagaan ini. Secara umumnya perniagaan yang melibatkan produk yang
boleh membawa keburukan kepada masyarakat adalah tidak dibenarkan. Begitu juga
jika kaedah perniagaan yang diamalkan adalah bertentangan dengan Islam, kaedah
itu juga haram.
Sebagai contoh, kita tidak dibenarkan
untuk berdagang barangan seperti minuman keras, dadah, dan majalah lucah serta
tidak boleh terlibat dalam perniagaan yang melibatkan kegiatan perjudian dan
pelacuran. Kontrak perniagaan juga tidak dibenarkan wujud jika terdapat keadaan
atau unsur yang tidak dibenarkan oleh Islam, seperti monopoli,
penindasan dan penipuan yang akan menzalimi mana-mana pihak yang berniaga.
Persoalannya sekarang, adakah TPPA
mempunyai unsur yang boleh membawa manfaat atau mudarat kepada masyarakat? Dari
satu aspek, oleh kerana TPPA berusaha untuk menghapuskan sekatan kepada
perdagangan sudah tentu terdapat unsur bermanfaat di
dalamnya. Apabila TPPA dilaksanakan, cukai kepada kebanyakan
barangan import akan dihapuskan dalam pelbagai kategori keluaran. Ini akan
menguntungkan rakyat yang akan memperolehi keluaran yang diimpot
pada harga yang lebih murah. Di samping itu, pengguna (konsumer) juga akan
dapat menikmati berbagai keluaran bermutu tinggi dari pelbagai negara.
Di bawah TPPA
akan berlaku peliberalan (liberalisasi) pelaburan. Oleh itu, pelabur asing akan lebih bebas untuk melabur
di negara yang mempunyai tenaga buruh yang mahir dan murah. Sudah tentu
ini termasuk Malaysia. Hasilnya akan wujud peluang pekerjaan yang
lebih banyak untuk golongan muda yang ramai sedang menganggur sekarang. Ini
semua adalah kebaikan yang boleh didapati untuk rakyat kecuali jika pelaburan
tersebut adalah dalam sektor yang boleh membawa banyak keburukan
seperti sektor perjudian, arak dan hiburan.
Namun demikian, terdapat juga
aspek-aspek TPPA yang berpotensi untuk menyusahkan masyarakat setempat.
Di antaranya adalah tempoh paten kepada keluaran seperti ubat-ubatan akan
ditambah jangka masanya dari 20 tahun menjadi 25 tahun. Akibatnya,
ubatan-ubatan yang generik yang jauh lebih rendah harganya tidak akan dapat
dibekalkan kepada pesakit sehingga pesakit akan terpaksa membayar kos yang
tinggi untuk mendapatkan ubat-ubatan yang telah dipaten oleh syarikat-syarikat
luar ini.
Di samping itu juga, syarikat-syarikat
pelabur akan mempunyai hak untuk menyaman kerajaan yang mengadakan
peraturan atau undang-undang yang merugikan pelabur asing dan proses
perbicaraan akan dilakukan di luar negara oleh pihak yang berkecuali dan bukan
di dalam mahkamah sesebuah negara yang menerima pelaburan itu.
Ini akan merugikan masyarakat dalam
beberapa hal. Sebagai contoh, kerajaan negara yang menerima pelabur asing
tersebut akan disekat dari memperkenalkan peraturan atau undang-undang yang
bertujuan untuk menjaga kesihatan ahli masyarakatnya seperti dalam pelaburan
oleh syarikat rokok dan arak. Selain itu, kerajaan juga akan disekat
dari mengenakan cukai yang tinggi kepada syarikat rokok dan arak ini di masa
hadapan kerana dilihat akan merugikan syarikat-syarikat tersebut.
Walau bagaimana pun, dalam masa yang
sama peraturan TPPA di atas akan melindungi pelabur-pelabur dari
Malaysia yang melabur di luar negara dalam industri yang tidak membahayakan
masyarakat kerana kerajaan di negara tersebut tidak akan dibenarkan mengadakan
peraturan yang akan merugikan syarikat-syarikat kita.
Satu perkara yang harus disedari ialah apabila
terdapat peliberalan dalam perdagangan dan pelaburan, maka banyaklah organisasi
yang akan menghadapi tekanan persaingan yang lebih sengit. Akibatnya
akan wujud syarikat yang terpaksa ditutup kerana tewas dalam persaingan atau
yang kerugian terpaksa memindahkan operasi ke negara lain yang kos tenaga
buruhnya lebih rendah. Akibatnya ialah peningkatan kadar pengangguran di negara
yang menjalankan operasi di peringkat awal kerana peluang pekerjaan telah
hilang.
Sebenarnya fenomena pemindahan operasi
dari satu negara ke negara lain adalah lebih serius di negara berpendapatan
tinggi seperti negara-negara Barat dan Amerika Syarikat. Ini kerana banyak
syarikat di negara-negara tersebut yang akan memindahkan operasi dari negara
asal mereka ke negara-negara yang sedang membangun yang menganggotai TPPA
untuk menjimatkan kos seperti Vietnam dan negara-negara di Amerika Selatan itu.
Oleh sebab itulah kita dapati penentangan
terhadap apa-apa bentuk perjanjian perdagangan bebas termasuk
TPPA juga sangat kuat berlaku di negara-negara membangun seperti
Amerika dan Eropah terutama sekali oleh kesatuan buruh serta persatuan industri
yang tidak berdaya saing dan oleh itu merasa terancam dalam persaingan
antarabangsa. Sebenarnya banyak syarikat yang telah dan akan muflis dan jutaan
pekerja telah dan akan kehilangan pekerjaan akibat dari perdagangan bebas
antara Amerika dan negara-negara lain.
Hakikat bahawa di antara kumpulan yang
paling terkesan secara negatif akibat dari perjanjian ini adalah kumpulan
pekerja-pekerja di Amerika menunjukkan bahawa adalah silap jika kita
mengatakan bahawa TPPA adalah satu bentuk penjajahan baharu Amerika ke
atas negara lain atau penindasan Amerika ke atas negara lain.
Apa yang harus disedari ialah kemuflisan
syarikat perniagaan serta pengangguran yang tinggi akibat dari perdagangan
bebas adalah sebenarnya hasil dari fenomena `Persaingan Melampau-lampau’ atau Hiper-persaingan yang
sedang berlaku dalam dunia perniagaan antarabangsa. Persaingan yang terlampau
sengit ini bermakna mana-mana syarikat yang tidak mampu bersaing dalam pasaran
antarabangsa akan berada dalam keadaan kewangan yang sangat perit dan mungkin
muflis bila-bila masa dan pada masa yang sama akan mengakibatkan mereka
terpaksa membuang pekerja dengan banyak.
Dua faktor
utama yang menyumbang kepada kewujudan Hiper-persaingan ini adalah kewujudan
syarikat gergasi dalam dunia perniagaan serta tahap hutang yang terlampau
tinggi di kalangan mereka.
Sebagai contoh, berikut adalah beberapa
syarikat perniagaan gergasi di Amerika serta jumlah hutang yang ditanggung oleh
mereka pada akhir tahun 2012:
Syarikat
|
Hutang
|
Exxon Mobil
|
USD11.5 bilion/milyar/serijuta
|
Johnson& Johnson
|
USD16 bilion
|
Pfizer
|
USD37 bilion
|
Philip Morris
|
USD 22 bilion
|
Jelaslah bahawa syarikat yang
tersenarai itu bukan sahaja besar saiznya bahkan juga sangat besar hutangnya.
Jika mereka tewas dalam persaingan dan tidak berupaya menambahkan pendapatan
dari jualan, nilai modal pasaran mereka boleh menjunam jatuh dengan tiba-tiba
dan mereka boleh jatuh muflis bila-bila masa sahaja. Akibatnya persaingan di
kalangan mereka adalah sangat sengit.
Di bawah pula adalah senarai syarikat
pembuat kereta di Amerika Syarikat serta beban hutang mereka:
Syarikat
|
Jumlah hutang
|
Ford Motor Co.
|
USD107.6 bilion/milyar/serijuta
|
General Motors Company
|
USD18.4 bilion
|
Honda Motor Co. Ltd.
|
USD62.2 bilion
|
Kandi Technolgies Group Inc.
|
USD68.7 bilion
|
SORL Auto Parts Inc.
|
USD24.8 bilion
|
Toyota Motor Corporation
|
USD179.6 bilion
|
Tata Motors Limited
|
USD7.8 bilion
|
Kesemua syarikat di atas sangat
memerlukan kepada pendapatan yang tinggi untuk membiayai perbelanjaan
perniagaan serta menjelaskan beban hutang yang tinggi. Oleh yang demikian,
syarikat-syarikat berkenaan perlu berusaha untuk mendapatkan pasaran dari luar
negara. Mereka akan berusaha untuk memasuki pasaran luar dan seterusnya cuba
untuk mengalahkan dan menghapuskan persaingan.
Namun demikian, langkah atau strategi
yang sama juga dilakukan oleh syarikat-syarikat pembuat kereta lain dunia
seperti di Jepun, Korea, China dan juga Malaysia. Semuanya cuba untuk
menghapuskan pesaing lain kerana semua dalam keadaan bahaya untuk jatuh muflis
akibat beban kewangan yang sangat tinggi. Tetapi untuk menjadi kuat mereka
terpaksa menjadi besar dan untuk menjadi besar mereka juga tidak dapat lari
dari behutang dengan banyak kerana itulah yang dilakukan oleh pesaing mereka
yang lain. Dalam suasana perniagaan seperti ini, kegiatan perniagaan dan
perdagangan bukan lagi menjadi penyumbang kepada kesejahteraan hidup manusia.
Sebaliknya kegiatan perdagangan menjadi sumber kepada tekanan kehidupan manusia
di seluruh dunia, terutama sekali di negara di tempat beban hutang syarikat dan
individu adalah tersangat tinggi.
Apa yang ingin disampaikan di sini
ialah dalam membicarakan isu TPPA dan perjanjian perdagangan bebas yang
lain, permasalahan yang dihadapi oleh semua pihak yang terlibat adalah hanya
tanda-tanda luaran, gejala atau simptom kepada masalah yang
lebih pokok iaitu sistem ekonomi yang salah. Jika kita
menyekat perdagangan bebas dari berlaku, tindakan itu tidak akan menyelesaikan
masalah, terutama pada jangka panjangnya. Sebaliknya pengguna akan rugi
kerana tidak dapat menikmati barangan berkualiti dari luar negara pada harga
yang murah. Sebagai contoh, akibat dari sekatan perdagangan, rakyat Malaysia
terpaksa membayar harga yang mahal, kadangkala puluhan ribu ringgit lebih
mahal, untuk membeli kereta yang diimpot dari luar negara. Ini bukan sahaja
tidak adil bahkan juga menjadi beban kewangan kepada pengguna dan masyarakat.
Apa yang perlu difikirkan bersama ialah
bagaimana masalah ini boleh diselesaikan dalam jangka panjang. Satu
perkara penting ialah sistem ekonomi yang mewujudkan suasana dalam
keadaan syarikat gergasi yang berhutang dengan banyak bersaing antara satu sama
lain hendaklah ditukar kepada suasana dalam keadaan para pesaing adalah
syarikat yang tidak mempunyai beban hutang.
Sebenarnya salah satu dari punca utama
kepada suasana di atas adalah kewujudan industri hutang yang menggalakkan
syarikat berhutang dengan banyak. Industri hutang sebenarnya
tidak dibenarkan oleh Islam kerana ia adalah industri riba. Amalan
riba yang berleluasa di seluruh dunialah sebenarnya yang menjadi punca utama
kepada masalah yang kita hadapi sekarang. Oleh itu, dalam konteks
perbincangan berkenaan TPPA, langkah penyelesaian kepada masalah yang
dhadapi boleh dibahagikan kepada langkah untuk jangka pendek dan langkah untuk
jangka panjang. Untuk jangka pendek kita harus memberi beberapa
tekanan kepada kerajaan seperti berikut:
1. Kerajaan
Malaysia hendaklah lebih telus dalam perbincangan mengenai TPPA dan
hendaklah membekalkan maklumat kepada rakyat Malaysia berkenaan dengan
perkara-perkara yang dibincangkan
2. Kerajaan
diminta supaya tidak bersetuju dengan apa-apa syarat dalam perjanjian yang
mengakibatkan harga barang keperluan mutlak seperti ubatan menjadi lebih
tinggi.
3. Kerajaan
hendaklah tidak bersetuju dengan apa jua syarat yang memberikan kebebasan
kepada syarikat dalam industri yang merosakkan masyarakat atau amnya
bertentangan dengan Islam seperti syarikat judi, arak dan rokok.
4. Kerajaan
hendaklah tidak bersetuju dengan apa jua syarat yang mengimplikasikan
terhalangnya, apatah lagi terhapusnya, sebarang dasar tindakan afermatif
kerajaan selama ini dan kelak.
Untuk jangka
panjang, masyarakat Malaysia harus sedar bahawa sistem ekonomi perlu diubah
supaya industri riba dapat dihapuskan sama sekali. Kerajaan, syarikat dan individu di dalam negara kita
hendaklah lari dari sikap suka berhutang terutama sekali dari sumber riba.
Usaha untuk mendidik masyarakat Malaysia dan masyarakat antarabangsa tentang
bahaya industri hutang hendaklah ditingkatkan agar satu hari nanti, industri
ini akan dihapuskan sama sekali demi kesejahteraan manusia sejagat.
Ingatlah pesanan dari Allah SWT
dalam Suraht al-Baqaraht ayat 276 yang bermaksud:
“Allah susutkan
(kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula
mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan
selalu melakukan dosa.”
No comments:
Post a Comment