Thursday, July 18, 2013

MAPIM KUTUK HUKUMAN KE ATAS PIMPINAN JAMAAT ISLAMI BANGLADESH



Kenyataan Media MAPIM
18hb Julai 2013

MAPIM  KUTUK  HUKUMAN  KE ATAS  PIMPINAN  JAMAAT  ISLAMI  BANGLADESH


MAPIM mengutuk sekerasnya hukuman yang telah dijatuhkan ke atas kepimpinan Jamaat Islami Bangladesh oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa yang ditubuh oleh kerajaan  melalui penyalahgunaan undang-undang untuk memenuhi agenda politik kerajaan Bangladesh.

Kerajaan Bangladesh di bawah regim Syekh Hasina telah mengguna Tribunal tersebut   untuk mendakwa mereka yang dituduh. Sedangkan tribunal tersebut dipersoalkan oleh banyak pihak di peringkat antarabangsa mengenai kelayakannya melaksanakan pembicaraan yang adil  ke atas pimpinan Jamaat Islami.

Mahkamah Tribunal itu, tidak seperti mahkamah yang lain, tidak diperakui oleh PBB.  Malah Human Rights Watch menyatakan mahkamah tribunal tersebut tidak memenuhi piawaian antarabangsa.

Sehingga kini beberapa, kepimpinan Jamaat Islami telah dihukum mati dan ada yang dihukum penjara seumur hidup dan ada yang dihukum penjara sehingga 90 tahun.

Terkini  Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara 90 tahun ke atas Mursyidul Am Jamaat Islami Ghulam Azam yang sudahpun berumur 91 tahun.

Hakim juga telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Setiausha Agung Jamaat Islami Ali Ahsan Mohammad Mojaheed.

Setakat ini 6 orang pemimpin Jamaat Islami itu telah dijatuhkan hukuman oleh Tribunal tersebut  termasuk  Abul Kalam Azad dan Muhammad Kamaruzzaman, Jamaat iaitu Penolong Setiausaha Agung Jamaat Islami yang juga dihukum mati.

Penentangan rakyat Bangladesh terhadap keputusan  pembicaraan tersebut memuncak sehingga  kini, hampir 100 orang awam  terbunuh dalam rusuhan yang berlaku di Dhaka.

Mapim melihat ada agenda politik yang sangat kuat dalam pembicaraan tersebut memandangkan parti pemerintah Liga  Awami telah berjanji dalam pilihanraya yang dahulu untuk menghukum mereka yang terlibat dalam perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971.

Tindakan ini dilihat sebagai memenuhi janji tersebut menjelang Plihanraya Umum yang akan diadakan hujung tahun ini.

Mengikut peguam bela, para Hakim Tribunal tersebut terlibat dalam konspirasi untuk menghukum pemimpin Jamaat Islami kerana Jamaat Islami dilihat sebagai pertubuhan Islam yang sangat berpengaruh dan mengancam agenda sekularisasi yang didokong oleh parti Liga Awami pimpinan Syekh Hasina.

Malah pembicaraan itu secara paling jelas telah bergantung hanya kepada "here say" (cakap-cakap) sebagai asas untuk menjatuhkan hukum. Dalam laporan seorang peguambela, lebih mengejutkan Hakim telah menghadkan saksi pembela hanya seramai 3 orang sahaja untuk kes Mojaheed, manakala pendakwa telah dizinkan membawa puluhan saksi.

Mapim melihat ini adalah suatu lagi tindakan kelompok penentang Islam di Bangladesh yang mahu menghapuskan gerakan Islam di Bangladesh.

Kami yakin bahawa ada kuasa luar turut mendokong agenda penghapusan pengaruh gerakan Islam di negara tersebut dan ia pasti akan membangkitkan kemarahan rakyat yang sudah muak dengan pentadbiran Hasina yang sarat dengan salahguna kuasa dan rasuah.

Sementara Hasina bersungguh mahu menekan penentangnya, rakyat Bangladesh masih terus berada dalam keadaan kemiskinan dan kemunduran yang ketara.

Mapim mengecam kerajaan Bangladesh regim Hasina yang nampaknya mengambil sikap bersekongkol dengan anasir anti Islam dari dalam dan juga luar Bangladesh.

Tindakan beliau akan dilihat bukan sahaja sebagai pengkhianat terhadap Islam malah terhadap seluruh rakyat Bangladesh yang mahu keluar dari krisis kemiskinan dan kemunduran yang terus dideritai oleh negara itu sejak kewujudannya pada tahun 1971.

Mapim menuntut supaya kerajaan Bangladesh  menggugurkan  semua tuduhan dan hukuman ke atas pemimpin Jamaat Islami  dan mereka yang ditahan dibebaskan.

Bangladesh memerlukan sebuah kerajaan yang lebih waras dalam mengendalikan kemajuan sosio-ekonomi negara tersebut yang termasuk antara yang termiskin didunia.



Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Mapim


No comments: