Tuesday, July 9, 2013

Tukar Tiub juga memilih: Sosialis!



Semuanya tertakluk dan beteraskan persoalan ‘Memilih dan Pilihan’?


Rampasan kuasa Tentera terhadap kerajaan pilihan rakyat Mesir, iaitu kerajaan Presiden Morsi (dari kelompok Ikhwan Muslimin, Islamic Brotherhood), berikutan meletusnya gerakan Arab Spring terhadap regime yang zalim lagi korup di Timur Tengah, ditanggapi pelbagai pihak dengan reaksi yang nyata berbeza.  Misalnya dalam kerajaan Umno/BN Malaysia, PM sendiri cepat-cepat berhujah ― kenapa dan mengapa sesuatu perubahan itu mestilah alun-alun, jangan sampai tergesa-gesa.  Dengan kearifan bijaksana bahawa sesuatu perubahan itu mestilah perlahan-lahan, maka laungannya yang penuh bersemangat selama ini tentang betapa keramatnya demokrasi itu, tenggelam dan pupus dari pendengaran rakyat.  Sila bandingkan reaksi PM Najib ini dengan komen menteri barunya dalam kabinet terbarunya,  Khairi Jamaludin.  Berbezakan? Kenapakah reaksinya berbeza?  Sementara itu kini sudah ada negara-negara tertentu,  termasuk di Timur Tengah sendiri, di Barat dan juga di Asia yang telahpun mengiktiraf kerajaan Kudeta Tentera Mesir ini.

Selain reaksi yang ‘tidak begitu peduli’ kerajaan Umno/BN,  Pas tampil dengan seruan yang cukup lantang kepada kerajaan PM Najib ― Kerajaan Tentera Mesir (yang tidak demokratik ini) tidak boleh sama sekali diiktiraf.  Rakan sebantal PAS dalam Pakatan Rakyat, DAP tidak pula kedengaran berhujah lantang tentang hak dan suara rakyat dan apakah sebenarnya makna demokrasi pabila ia diterjemahkan sedemikian rupa oleh pihak Tentera Mesir.  DAP ― seolah-olah dan seakan-akan ― tidak terkutik dengan tragedi demokrasi ini.  Agaknya kenapa, ya?  

Perkasa yang pada saat-saat PRU13 itu sangat galak membawa suara lantang Melayu versi ala Kutty juga tidak berkata apa-apa tentang demokrasi dan ketuanan Arab Mesir.  Dan seperti biasa persatuan-persatuan  penulis yang sangat kental roh ketuanan Melayunya, juga tidak terdaya melihat di luar kepompong pestanya, makan-makannya, jalan-jalan makan anginnya dan seminar-ceramahnya tentang makna sastera dan budaya dalam kehidupan manusia Melayu.  Agaknya,  itulah makna hidup dan kehidupan Melayu yang seadanya itu.

Bagaimana pula dengan reaksi para blogger?  Aneh tapi benar, TT yang menjadi ikutan anak-anak muda yang rock dan yang pantang skema itu hanya mampu melihat bahawa rampasan Tentera Mesir itu dari sudut “TAMARROD dan anak muda di Mesir telah tunjukkan jalan, regime yang zalim jawabnya ialah tamarrod” .  Entah kenapa TT memilih berhenti memperkatakan Kudeta oleh Tentera Mesir tapi melihat betapa pentingya peranan anak-anak muda yang rock dan yang tidak skema dalam menjatuhkan sesebuah kerajaan.  Agaknya, kenapa ya,  begitu jadinya?  


2.

Sesungguhnya rampasan kuasa oleh Tentera di Mesir ini, (di samping pelbagai peristiwa lain yang saban waktu terpapar di sekeliling kita), menunjukkan dengan jelas satu dua perkara.  Pertama semua pihak, tidak kira siapa saja mereka, baik yang kecil maupun yang besar, baik yang kerajaan maupun yang sangat individu sifatnya dan di mana saja mereka berada, memiliki keutamaan@preference masing-masing.  Mereka yang mengharungi kemelut kehidupan yang maha ruwet ini sudahpun memiliki urutan keutamaan tindakan masing-masing.  Misalnya Kerajaan yang sangat Pro-Amerika (sehingga tega tunduk ke taraf balaci setia yang sahih) akan terus menyokong apa saja yang dilakukan oleh tuannya.  Kita dapat melihatn bagaimana parti-parti politik yang sangat cemburu menjaga sempadan zon selamatnya sentiasa saja berhati-hati dalam mempamerkan sikapnya secara terbuka,  apatah lagi dalam ‘isu-isu Islam yang tidak pro-Amerika’ (baca:sensitif dan religius) yang besar seperti rampasan kuasa Tentera Mesir ini.  Hatta blogger yang tersohor pun boleh melalut dan tersasar dalam hutan rimba ideloginya walaupun sangat jelas di depan mata bagaimana demokrasi yang katanya sangat dijuarainya selama ini diinjak-injak, dirobek-robek di depan mata seluruh dunia.

Pengajaran yang kedua, jika ia mahu dilihat sebagai ‘pengajaran’ ― rakyat yang kecil tidak redha dengan kekejaman dan kezaliman yang tidak bergabung di bawah mana-mana organisasi,  mereka yang bersatu di bawah pelbagai NGO yang tak punya apa-apa kepentingan itu, dan juga mereka yang dulunya bertahun-tahun belajar dan lulus dari Al-Azhar tentulah tidak selesa berpeluk tubuh ‘kan?  Apakah mereka berada di luar pagar dan melihat seluruh peristiwa ini dengan mata yang terbata-bata?  Kita percaya manusia-manusia kecil seperti ini sudahpun sedar bahawa sesungguhnya masa untuk menaruh seluruh dan segala harapan kepada institusi-institusi yang rasmi seperti kerajaan atau OIC itu sudahpun berlalu.  Ya, manusia-manusia yang kerdillah yang mesti menentukan bahawa hati nurani mereka tidak boleh selama-lamanya didera oleh institusi yang rasm—rasmi.  


3.


Sebagai penutup, kita ada satu soalan cepu emas kepada segala para agamawan dan ekonomis negara ini, khususnya kepada mereka yang redha.  Satu soalan yang dekat dengan kita semua. Siapakah yang mahu bersuara dengan lebih lantang dan kritis perihal Tabung Haji dan bos barunya itu?  Kita biarkan saja?  Jangan lupa betapa ramainya (baca: orang-orang Melayu) rakyat negara ini yang menabung dalam Tabung ini.  Jangan lupa berapa banyaknya khazanah yang tersimpan,  disimpan dalam Tabung untuk kerja-kerja religius Islam ini.  Dan jangan lupa bahawa ‘Tabung’ untuk urusan haji ini pernah menjuarai Anugerah Kualiti Perdana Menteri, sebuah anugerah yang satu ketika dulu sangat prestigious dan besar maknanya dalam hal-hal pengurusan khazanah. Kita redha begitu saja?



No comments: