Wednesday, August 21, 2013

Bagaimana pengertian 'balas budi' itu diperalatkan



Budaya: komponen 'ilmu'nya ditinggalkan!
 

Dalam bicaranya tentang ‘budaya sebagai kuasa baru’  pada malam 19 Ogos 2013 di sebuah restoran Nasi Arab, Gombak, Dato’ Mahfuz mengisahkan bagaimana masyarakat Melayu, khususnya di luar bandar masih kental ‘budaya bawa telinga’nya.   Sebagai contoh, dalam pertemuan atau pun majlis-majlis ilmu masyarakat lebih selesa mendengar tanpa memberikan tanggapan@respons.  Namun ada satu pengalaman yang baginya cukup menarik.  Dalam sesinya membincangkan belanjawan@bajet negara bersama-sama masyarakat Melayu akar umbi di luar bandar ini ― mereka telah memberikan pelbagai cadangan bagaimana rakyat kecil sepatutnya mendapat manfaat daripada wang negara.  Sesuatu yang cukup menarik!

Sementara itu Prof Shaharir  merujuk pandangan Sutan Takdir Alisjahbana berhubung ‘budaya’  sepertimana yang diungkapkan dalam Taj al Salatin (Mahkota Raja-Raja)  iaitu gabungan ‘ilmu’ dan ‘adab’.  Sekarang ini pengertian ‘budaya’ yang dibawa ke mana-mana ialah ‘adab berbudi’ yang dikaitkan langsung dengan balasan.  Jika kerajaan berbudi,  maka rakyat perlulah membalasnya!

Lihatlah bagaimana nasib malang telah menimpa ‘budaya’ ― komponen ‘ilmu’nya telah dibuang,  jauh-jauh.



No comments: