Sunday, August 25, 2013

Kegagalan Morsi



Sumber: http://gatera.my/kegagalan-morsi/

August 23, 2013 · oleh Maszlee Malik · dalam Artikel

Kegagalan Morsi
Dr Maszlee Malik
(diterima GATERA 7 Ogos 2013)

Sehingga tarikh makalah ini ditulis, semenjak penggulingan presiden pilihan rakyat Mesir, Dr Mohammad Morsi pada 3 Ogos yang lalu, lebih 300 nyawa terkorban, lebih 2000 yang lain cedera, manakala lebih 1700 individu ditahan tanpa bicara termasuk presiden Mesir yang pertama dipilih secara demokratik, Dr. Morsi itu. Bagi ramai pihak di Mesir, mereka melihat konflik yang berlaku adalah rampasan kuasa pihak tentera yang disokong oleh golongan Tamarrud (تمرد Pemberontak, iaitu gerakan pemberontakan menentang kerajaan Morsi-Ikhwan) daripada rakyat Mesir yang telah memberikan pengabsahan (legitimasi) kekuasaan kepada Morsi dan kabinet yang telah dibentuknya. Bagi pihak tentera dan Tamarrud pula, penggulingan Morsi merupakan satu langkah demi menyelamatkan sistem demokrasi yang telah dicabul oleh Morsi dan kumpulan Ikhwanul Muslimun (IM) dengan beberapa tindakan mereka yang telah mencemarkan mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada mereka.

Maka, untuk menjustifikasikan hujah mereka yang telah menyebabkan perhimpunan kemuncak mereka pada 30 Julai yang lalu, dua isu utama ditimbulkan, pertamanya kegagalan Morsi untuk memulihkan keadaan sosio-ekonomi Mesir, dan yang keduanya, usaha licik Morsi dan Ikhwan untuk membolot semua kuasa di Mesir (Ikhwanatu Misr atau meng-Ikhwan-kan Mesir) untuk menegakkan agenda radikal mereka yang tidak menjaga kepentingan golongan minoriti. Maka, demi menyelamatkan Mesir dari diperintah oleh golongan radikal, mereka terpaksa keluar beramai-ramai memaksa agar Morsi meletakkan jawatan walaupun setelah memenangi pilihanraya presiden setahun yang lalu dengan undian hampir 52%, dan walaupun belum cukup tempoh mandat yang diberikan kepadanya. Persoalannya, apakah benar Morsi gagal? Dan apakah benar beliau menjadi alat kepada Ikhwan untuk membolot semua kuasa di Mesir?

Kegagalan Morsi memulihkan ekonomi

Hakikatnya, Morsi menerima bebanan yang terlalu besar dari regim Mubarak untuk diperbaiki. Amat mustahil untuk menyelesaikannya di dalam tempoh setahun. Sewaktu Dr Morsi mengambil tampuk pemerintahan, Dr Morsi terpaksa menanggung hutang kerajaan Mesir yg lepas yg dianggarkan sebanyak 1300 serijuta atau bilion Paun Mesir. Sewaktu Dr Morsi mengambil alih tampuk kepimpinan, seramai lima juta orang rakyat Mesir yg tiada memiliki tempat tinggal. Sewaktu Dr Morsi mengambil tampuk pemerintahan juga, kadar rakyat Mesir yang keciciran pelajaran adalah melebihi 30 juta orang. Fakta yang tidak boleh dinafikan juga ialah ketika Dr Morsi mengambil tampuk pemerintahan, Mesir mempunyai 7 juta orang ibu tunggal yang rata-ratanya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mengharapkan sepenuhnya bantuan dari kerajaan. Ini hanyalah secebis dari isu sosio-ekonomi di Mesir, ribuan lagi masaalah yang terpaksa Morsi hadapi di dalam menjadikan Mesir sebuah negara yang stabil.

Malangnya, di dalam keadaan getir seperti itu, pihak liberal, pihak elitis sekular dan saki baki rejim Mubarak telah menangguk di air yang keruh. Semenjak setahun presiden Morsi dipilih oleh rakyat, golongan pembangkang tidak pula berusaha untuk bersama dengan beliau membangunkan negara, jauh sekali untuk menghargai apa yang telah beliau dan juga kabinetnya lakukan. Apa yang berlaku sepanjang setahun pemerintahan beliau, kumpulan pembangkang hanya berjaya melakukan 50 kempen besar-besaran untuk memburuk-burukkan Morsi, di samping penghinaan dan ejekan setiap hari di media milik mereka. Pihak pembangkang juga telah menganjurkan 5,821 demonstrasi dan serangan ke atas pejabat-pejabat parti milik IM, iaitu Parti Kebebasan dan Keadilan (PKebKa) atau Freedom and Justice Party (FJP) dan juga pejabat-pejabat milik IM, termasuk ibu pejabat mereka di Jabal Moqattam di Kaherah.

Lebih menakjubkan di dalam tempoh setahun juga pihak pembangkang telah mengadakan sebanyak 7,709 protes di seluruh Mesir sehingga merencatkan pembangunan. Di dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 24 kali seruan untuk perhimpunan sejuta rakyat agar keluar ke jalan rakyat mendesak Morsi untuk meletakkan jawatan bermula beberapa minggu selepas Morsi dilantik. Pemimpin dan kerajaan manakah yang boleh bertahan di dalam keadaan seperti ini? Hanya kerajaan diktator sahaja yang mampu mengendalikan kegilaan mereka yang gila kuasa seperti ini. Namun, IM tidak sekali-kali menggunakan kuku besi dan juga kuasa diktator, kerana tindakan sebegitu dianggapnya bertentangan dengan prinsip asas gerakan tersebut yang menentang keganasan dan sistem kuku besi!

Kegagalan pihak liberal dan Tamarrud secara amnya untuk menerima perbezaan dan menghormati mekanisme demokratik menunjukkan bahawa pihak sekular dan liberal di Mesir tidak demokratik. Hal ini dengan jelas terlihat pada perancangan lama dan juga bersepadu mereka untuk menjatuhkan IM dan Morsi semenjak keputusan pilihanraya parlimen dan juga semenjak hari pertama Morsi dilantik menjadi presiden. Antara hujah mereka, golongan IM ingin menjadikan Mesir negara teokratik, maka IM berusaha meng’Ikhwan’kan Mesir dengan menguasai kesemua institutsi kerajaan. Mereka juga menuduh IM telah memonopoli penggubalan perlembagaan agar Mesir tidak bersikap sekular, walaupun di dalam kumpulan penggubal perlembagaan yang telah dibentuk oleh parlimen, kumpulan itu dianggotai oleh semua aliran, termasuk golongan liberal, sekular, Kristian dan juga sosialis.

Akhirnya, hujah yang paling ampuh untuk mereka menggulingkan kuasa yang ada hanyalah dengan mengatakan bahawa Morsi gagal memulihkan ekonomi Mesir, dan juga tidak mampu memerintah Mesir. Persoalannya, jikalaulah Morsi mempunyai kelemahan sekalipun, terutama dalam aspek memulihkan keselamatan dan ekonomi negara, namun ia bukanlah alasan kukuh beliau digulingkan sewenang-wenangnya. Hakikatnya, tiada presiden yang mampu mengubah sebuah negara pasca-revolusi dalam tempoh sekelip mata. Persoalannya lagi, pakah benar Morsi gagal melakukan apa-apa perubahan untuk menyelematkan Mesir?

Benarkah Morsi gagal?

Terdapat beberapa mitos berkaitan tempoh pentadbiran Presiden Morsi yang sering dijaja oleh pihak Tamarrud. Antaranya yang paling popular ialah, keadaan ekonomi Mesir semakin teruk pada zaman Morsi. Hal ini dapat dilihat secara kasar kepada krisis bekalan petrol, bahan bakar dan eletrik di seluruh Mesir, terutamanya di Kaherah. Antara indikasi lain juga ialah kesengsaraan sesetengah rakyat yang bergantung kepada sektor pelancongan, kini terpaksa menghadapi kesukaran kerana kekurangan pelancong yang datang ke bumi Mesir. Antara yang sering ditimbulkan juga ialah tahap ekonomi keluarga di Mesir juga semakin parah setelah revolusi dan setelah Morsi menjawat jawatan presiden.

Malangnya, kebanyakan tuduhan ini samada tidak berdasarkan bukti dan angka-angka yang rasmi, ataupun berdasarkan angka-angka yang dimanipulasi untuk menjustifikasikan tuduhan mereka. Hal ini telah segera dibalas semula oleh pihak kerajaan pimpinan Morsi dan juga mereka yang terlibat. Ini dapat dilihat di dalam laman web (http://www.morsifirstyear.com/en/) yang telah dibangunkan oleh para penyokong kerajaan presiden Morsi dan juga laporan-laporan dari institusi-institusi kewangan antarabangsa.

Walaupun Morsi mewarisi negara Mesir yang dipenuhi dengan 1001 masalah sosio-ekonomi, dan beliau juga mengalami pelbagai kesukaran dan halangan,  bagaimanapun, di dalam tempoh setahun pentadbirannya, di dalam keadaan penuh kekangan dan kelemahan, beliau telah berjaya membawa beberapa perubahan samada di dalam pembangunan, ekonomi mahupun keadilan sosial. Antaranya ialah, menyediakan peruntukan sebanyak 100 juta paun Mesir untuk membantu hampir 500,000 ibu tunggal di seluruh Mesir. Menurut perencanaannya, pada Julai 2013, 500,000 ibu tunggal tersebut akan menerima pencen sebanyak 400 paun Mesir sebulan untuk menyara keluarga mereka. Malangnya, apabila berlakunya rampasan kuasa, pembiayaan tersebut diberhentikan serta merta.

Kerajaan Morsi juga telah menghapuskan hutang lapuk yang ditanggung oleh 52,200 orang petani kecil dan susah di pendalaman agar mereka dapat memulakan hidup yang baharu. Di dalam sektor kesihatan pula, kerajaan Morsi telah menyediakan insurans kesihatan untuk 13.2 juta kanak-kanak di seluruh Mesir yang berjumlah 160 juta Paun Mesir. Manakala 1.2 juta orang rakyat pula menikmati perkhidmatan kesihatan percuma di seluruh Mesir. Di samping itu, dasar prihatin OKU kerajaan Morsi amat patut diberikan perhatian. Antara langkah yang diambil ialah mengurangkan yuran kesihatan di hospital-hospital untuk membeli ubat sebanyak 37%, dan juga potongan tambang tiket keretapi sebanyak 75% kepada warga OKU. Bagi pelajar-pelajar universiti yang cacat penglihatan pula, mereka diberikan elaun khas sepanjang tempoh pembelajaran mereka di kampus, manakala di dalam ruang pekerjaan pula sebanyak 5% dari peluang pekerjaan di sektor awam disediakan sebagai kuota kepada warga OKU demi memastikan mereka tidak mengalami diskriminasi untuk mencari rezeki. Dasar-dasar seumpama ini tidak pernah dikenali di zaman rejim-rejim yang memerintah sebelum Morsi.

Di dalam tempoh setahun juga kerajaan pimpinan Morsi telah berjaya menyediakan sebanyak 45, 388 rumah mampu milik untuk rakyat Mesir yang belum memiliki rumah, dan sebanyak 56,388 yang lain di dalam proses pembinaan di Bandar-bandar baru di seluruh Mesir. Seramai 90,000 keluarga juga menikmati skim pinjaman untuk membina rumah mereka sendiri melalui program ‘Bina Rumah Sendiri’ yang diperkenalkan oleh kerajaan. Kerajaan Morsi juga sedang merangka pemberian subsidi petroleum sebanyak 74.4 serijuta/bilion Paun Mesir kepada rakyat di dalam pakej rangsangan ekonominya. Berhubung isu makanan pula, seramai 67 juta orang rakyat bakal menikmati subsidi roti, yang merupakan makanan asasi mereka yang akan disusun di dalam bentuk kupon agar hanya mereka yang layak sahaja akan menerimanya, berbanding apa yang berlaku di zaman Husni Mubarak ketika pemberian roti telah disalah- gunakan oleh kroni-kroni kerajaan.

Antara usaha kerajaan Morsi untuk merangsangkan ekonomi Mesir juga ialah dengan menaikkan gaji kakitangan kerajaan Mesir yang berjumlah 6.4 juta orang. Peruntukan untuk gaji para kakitangan kerajaan dinaikkan dari keseluruhan 122.8 serijuta Paun Mesir pada tahun 2011 kepada 172 serijuta Paun Mesir untuk tahun-tahun 2013-2014. Bagi para guru, pensyarah, pegawai di kementerian pelajaran dan juga para imam dan pengajar Al-Azhar pula, kenaikan gaji ditingkatkan agar penekanan terhadap pendidikan rakyat Mesir dapat ditingkatkan. Melalui pakej rangsangan ini, sebanyak lebih 2.4 juta orang menikmati kenaikan tersebut. Ini merangkumi 150,000 orang pensyarah universiti, 1.4 juta orang guru sekolah, 750,000 pegawai kerajaan dan 85,000 orang imam yang bertugas dengan universiti Al-Azhar.

Kerajaan Morsi juga telah menyediakan sebanyak 593,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat dengan belanjawan melebihi 3.5 serijuta Paun Mesir, dan ini merangkumi 5,611 pekerjaan untuk siswazah yang menganggur. Di dalam sektor perniagaan pula, sebanyak 7,367 syarikat baharu telah dibuka yang telah menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 150,000 rakyat Mesir. Di dalam sektor pelancongan pula, sepanjang pentadbiran Morsi, pelancong sudah mula kembali ke Mesir kerana kestabilan relatif yang wujud, dan ini menunjukkan peningkatan 9.2 juta orang pelancong dari serata dunia untuk tahun-tahun 2012-2013 berbanding 8.2 juta orang pelancong sahaja untuk tahun-tahun 2011-2012. Sepanjang pemerintahan Morsi, negara Mesir telah menyaksikan peningkatan KDNK pada tahap yang terbaik berbanding tahun-tahun 2010-2011, iaitu peningkatan kepada purata 2.4% pada tahun 2013 berbanding 1.8% pada tahun 2011 dan 2012.

Malangnya semua pencapaian Morsi ini telah disembunyikan dari pengetahuan umum oleh media yang dimiliki oleh saki baki regim lama dan juga golongan liberal. Sebaliknya, segala kelemahan yang diwujudkan oleh saki baki rejim sengaja diperbesar-besarkan agar mengaburi mata awam dan rakyat yang naif serta masyarakat antarabangsa agar membina persepsi bahawa Morsi dan IM gagal memerintah negara. Malang lagi di dalam proses memperbodohkan rakyat ini, golongan intelektual, politikus dan elitis sekular Mesir yang anti-Morsi dan anti-IM juga terlibat aktif. Maka mereka muncul dengan penulisan dan wawancara yang penuh penipuan dan penafian demi menjatuhkan kerajaan pimpinan Morsi serta memberikan gambaran seburuknya kepada Morsi, kerajaan pimpinanannya dan juga gerakan IM.

Kritikan ke atas Morsi dan Ikhwanul Muslimun

Pihak tamarrod dan media barat juga sering mengambarkan bahawa IM membolot kuasa dan ingin meng-Ikhwan-kan Mesir dengan penguasaan terhadap kesemua institutsi politik di Mesir. Sebagai contohnya, IM telah memenangi hampir 50% dari kerusi parlimen, IM juga memenangi majoriti yang besar dari Majlis Syura Mesir, IM juga mendominasi ahli majlis penggubalan perlembagaan yang baharu, dan yang paling utamanya ialah IM telah berjaya mendapatkan kerusi presiden untuk akil mereka, iaitu Morsi. IM dan Morsi juga dituduh sebagai tidak bersikap inklusif dan terlalu esklusif di dalam menentukan hala tuju negara tersebut. Amat pelik jika dilihat alasan yang dikemukan ini jika dilihat dari sudut sistem demokrasi. Bukankah yang memilih IM adalah rakyat melalui jalan demokrasi yang bersih dan adil? Bukankah itu yang diminta rakyat semasa revolusi 25 Januari 2011? Bukankah mereka yang telah dipilih rakyat wajib menjalankan tanggungjawab mereka demi membawa aspirasi rakyat?

Jika kita ketepikan lojik (logik) demokrasi pun kita akan dapati tuduhan yang dilemparkan ke atas IM tidak berasas sama sekali. Jika dilihat kepada komposisi gabenor-gabenor yang dilantik, walaupun Morsi berhak meletakkan kesemua gabenor dari kalangan IM, namun hanya 35% dari gabenor di seluruh Mesir adalah dari anggota IM. Di dalam bidang birokrasi pula, hanya 100 orang IM sahaja yang terlibat dalam jawatan tertinggi kerajaan. Lebih menarik, di dalam kabinet kerajaan, hanya empat kementerian sahaja dijawati IM, malah jawatan Perdana Menteri pun telah diberikan kepada Hesham Qindil, yang bukan ahli IM.

Berbalik kepada isu inklusif, bukankah sewaktu Morsi memulakan tugasnya sebagai presiden beliau pernah menawarkan timbalan presiden kepada Hamdy Sabahin, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Sabahin. Lebih pelik sejurus selepas beliau menolak jawatan tersbeut, beliau telah mengadakan sidang akhbar mengatakan Morsi dan IM ingin membolot kesemua jawatan penting di dalam kerajaan. Morsi juga pernah menawarkan jawatan yang sama kepada al-Baradei, tetapi ditolak mentah-mentah oleh al-Baradei. Begitu juga dengan Majlis penasihat presiden yang telah menyaksikan wajah dari pelbagai kumpulan yang dilantik oleh Morsi di dalam pentadbirannya dari kalangan golongan liberal, Kristian, Salafi dan juga sekular. Malangnya ada di antara mereka yang menerima, dan ada antara mereka yang menolak, dan membuat tuduhan IM ingin membolot kuasa.

Bagi pihak berhaluan kiri pula, hujah yang sering digunakan ialah IM adalah pro-AS, berfahaman liberalisme-baru atau liberaruisme (neo-liberalisme) dan mendokong ideologi Kapitalis. Hubungan rapat Morsi dengan golongan pelabur dan juga ahli perniagaan di Mesir juga dijadikan hujah untuk menolak apa yang mereka label sebagai ‘Islamis Liberaru’ (Neo-Liberal Islamist). Bagi pihak Morsi mereka menolak dakwaan tersebut. Menurut mereka, Morsi telah menjalankan dasar pandang ke timur dan selatan. Antara negara dilawat Morsi ataupun delegasi rasminya adalah Rusia [1], China [2] dan Brazil [3]. Dapat difahami jika tujuan lawatan mereka untuk mendapatkan pelaburan dari para pelabur negara-negara tersebut adalah untuk membangunkan ekonomi Mesir. Apakah salah bagi sesebuah kerajaan untuk membangunkan ekonomi negaranya dengan menggalakkan pelabur asing datang ke negaranya?

Berbalik kepada hubungan Morsi dengan AS, adalah termaklum bahawa Mesir sebagai kuasa politik serantau di Asia barat perlu mengadakan hubungan diplomatik dengan kuasa besar dunia itu. Malah sesiapapun yang menjadi presiden Mesir mesti mengadakan hubungan dengan AS, namun persoalannya hubungan yang bagaimana? Amat pelik kerana pada kala kumpulan berhaluan kiri ini giat menuduh IM sebagai pro-AS dan liberal-baru atau liberaru (neo-liberal), tetapi mereka nampaknya membutakan mata hatinya terhadap pemimpin Tamarrud, al-Baradei, yang terang-terang mengundang barat, terutamanya AS, untuk masuk campur menjatuhkan Morsi. Mereka melupakan hubungan al-Baradei dengan AS!

Lebih ironik lagi adalah kewujudan golongan liberal dan sekular di antara kelompok Tamarrud yang menentang Morsi dan IM dari awal lagi dikenali sebagai penerima dana asing, terutamanya AS. Malah parlimen Mesir selepas revolusi 25 Januari di awal pentadbiran mereka telah membuat undang-undang mengekang bantuan dana asing ke Mesir di peringkat individu dan ahli politik serta BBK (NGO) kerana menyedari bahayanya pengaruh dana asing yang disalurkan melalui gerakan-gerakan tersebut. Persoalannya, mengapakah kumpulan berhaluan kiri boleh bersama dengan ejen-ejen tersebut untuk bersama-sama menjatuhkan Morsi?

Antara hujah lain yang kerap digunakan oleh kumpulan Tamarrud juga ialah IM mengekang kebebasan sepanjang mereka berkuasa. Pendakwaan ke atas komedian Bassam Yusuf yang telah menghina Islam di dalam rancangan ‘Talkshow’ beliau, dan juga Tawfiq Ukasya yang telah memfitnah beliau selama tiga jam di media pada 27 Mei 2012 [4] telah dijadikan sebagai contoh. Agak ironinya hujah ini ialah sepanjang Morsi menjadi presiden selama setahun, Morsi tidak pernah menutup mana-mana stesen TV, radio mahupun akhbar. Lebih malang lagi selama setahun beliau menjadi presiden, beliau menjadi sasaran kritikan, cemuhan, lawak jenaka, malah fitnah oleh media-media yang rata-ratanya dikuasai oleh penentang IM dan golongan yang anti-Islam. Malah, mereka bebas bersiaran tanpa sebarang sekatan. Sikap professional Morsi dan juga keteguhan beliau menjunjung kebebasan media tidak pula mendapat liputan media barat, mahupun golongan yang memperjuangkan kebebasan media dan hak asasi manusia.

Sepanjang tempoh setahun itu juga, tidak ada seorang pun wartawan atau pengacara ataupun editor akhbar mahupun media yang ditangkap ataupun disiksa tanpa bicara. Mengenai Bassam Yusuf dan Tawfiq Ukasya pula, kedua-dua mereka telah dihadapkan ke muka pengadilan dan diberikan hak menurut undang-undang dan perlembagaan. Sebaliknya selepas 30 Jun, setesen tv milik Ikhwan, milik Aljazeera dan milik Salafi telah ditutup. Wartawan ditangkap dan ada yang dibunuh. Ini mengulangi pengalaman di zaman Mubarak. Malah Morsi membiarkan sahaja pengamal-pengamal media milik liberal dan sekular mengejek, memfitnah dan memburuk-burukkan dirinya dan IM setiap hari sepanjang setahun beliau memerintah.

Tuduhan yang turut dilemparkan juga ialah IM bersikap anti-Kristian, dan Morsi mengamalkan diskriminasi terhadap golongan Koptik. Sikap yang ditunjukkan oleh golongan Koptik ini merupakan kesan indoktrinisasi berterusan pada zaman Mubarak yang sering menakut-nakutkan golongan Koptik terhadap IM. IM digambarkan sebagai golongan pengganas dan ekstrimis. Alasan ini juga ditolak oleh fakta memandangkan di antara kepimpinan parti milik IM, iaitu PKebKa/FJP ada seorang Kristian, iaitu Rafiq Habib. Presiden Morsi sendiri telah berhasrat melantik wakil wanita Koptik menjadi timbalan presiden sejurus beliau memenangi pilihanraya presiden [5]. Apabila berlaku serangan ke atas gereja, Morsi bangkit mengecam dan berpihak kepada gereja. IM sepanjang sejarah mereka tidak pernah bermusuh dengan pihak gereja dan juga tidak pernah membunuh walau seorang pun Kristian.

Kesimpulan

Kesimpulan yang boleh dibuat mengenai apa yang berlaku di Mesir ialah, Kudeta adalah sesuatu yang telah dirancang untuk menaikkan semula saki baki rejim Mubarak, mengekang kebangkitan Islamis dan juga menjatuhkan reputasi Islamis sebagai tidak mampu memerintah dan tidak mempunyai kebolehan untuk mentadbir. Walau bagaimanapun, hal ini tidaklah pula boleh memberikan markah penuh kepada IM di dalam keadaan mereka menjadi mangsa. Bagi pihak IM, apa yang berlaku sepatutnya menjadi titik tolak untuk mereka melakukan retrospeksi mengenai strategi dan juga langkah-langkah sumbang mereka yang perlu dijauhi untuk menghadapi masa mendatang. Begitu juga, mereka perlulah mengambil masa untuk membuat anjakan dan penstrukturan semula beberapa langkah strategik dan juga beberapa kandungan di dalam doktrin IM yang telah diterjemahkan sepanjang gerakerja mereka pascarevolusi 25 Januari sehingga membawa kepada kudeta 3 Julai 2013.


[1] “Press statements following Russian-Egyptian talks”. Kremlin. 19 April 2013; “Egypt invites Russia to mine uranium, build nuclear power plants”. RT (TV network). 20 April 2013 (retrived 15 July 2013).
[2] Shama, Nael M., “Morsi’s Egypt: toward a new, independent foreign policy?”. Global Times, 30 August 2012 (retrived 15 July 2013).
[3] President Morsi invites Brazilian investment in Egypt. MENA and Ahram Online, Friday 10 May 2013, (retrived 15 July 2013).
[4] “Morsi demands Okasha be banned from TV”. Egypt Independent. 30 May 2012. Retrieved 30 May 2012.
[5] Mourad, Sarah (28 June 2012). “Egypt to see first female, Coptic vice-presidents: Morsi team”. Al Ahram. Retrieved 12 August 2012.


No comments: