Wednesday, August 7, 2013

Selamat Jalan


Ramadhan yang resah
(Lebih sesuai ucapan “Selamat Bermuhasabah”?)


Kalau tuan orang politik besar yang ulung, inilah saat dan ketikanya ucapan yang dikarang oleh si tukang tulis itu karangan yang mengandungi kata-kata yang indah-indah, yang menegakkan segala urat saraf, yang tepu kata-kata berkobar itu,  tuan ucapkan dengan penuh bersemangat kepada seluruh negara.  Dalam ucapan ini akan tuan selitkan puji-pujian tentang nasib mujur, tentang betapa bagusnya dan bertuahnya kita sebagai rakyat Malaysia kerana ‘berjaya’ dilahirkan, dibesarkan, bernikah, beranak pinak lalu bercucu-cicit sebelum mati di sebuah negara yang bertuah ini.   Nah, itulah kata-kata yang saban tahun, saban Syawal diucapkan kepada kita melalui kaca-kaca tv dan juga di corong-corong radio.

(Sebenarnya sekarang ini,  kelihatannya kita juga lebih kerap disuruh minggat saja ke Negeri Cina, ke India atau pun ke dalam hutan kerana tidak pandai bersyukur  dan terlalu sering membantah kebijaksanaan Sang Penguasa).


2.

Pada Ramadan yang istimewa ini semua iblis dan syaitan ditambat,  namun entah mengapa Ramadhan kali ini terasa sedemikian berlainan dan begitu melemaskan sekali sehingga nafas kita pun terasa perih,  menyesakkan   agaknya iblis yang mana atau syaitan gundul yang manakah yang berjaya meloloskan dirinya daripada tambatan itu?  Dan entah kenapa para penjaga akidah kita dan segala seterunya kelihatannya sedemikian ghairah sekali mahu mencekik tengkorokan ‘musuh’;  masing-masing memasuki gelanggang lengkap berkeris dan tanjak sambil bertempik sorak sebagai jaguh pembela agama?  Entah kenapakah hal-hal yang sangat pelik dan tak terfikirkan itu dipentaskan dan menjadi semacam agenda utama Ramadhan tahun ini? 

Apa pun keluhannya,  sebentar lagi bulan yang sangat besar maknanya kepada seluruh umat Islam ini bakal pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.  Ramadhan resah tahun yang duka ini akan pergi dan tidak akan kembali lagi.  Siapa lagi di antara kita yang bakal dipanjangkan usianya untuk bersua semula dengan satu lagi Ramadhan?  Dan tentunay kita juga tertanya-tanya, apakah Ramadhan tahun hadapan juga bakal diisi dengan agenda tidak waras yang begitu meresahkan seperti tahun ini?

3.

Kenapakah nada (tone) coretan ini menyedihkan pada hal esok adalah 1 Syawal, hari untuk merayakan sebuah kemenangannya?  Bukankah inilah masanya untuk merayakan kemenangan itu.  Kemenangan?  Apakah betul kita telah menang?  Kita telah menang melawan hawa nafsu, perkauman, pertimbangan yang waras?  Apakah kita menang kerana berupaya menunjukkan kepada seluruh dunia tentang kejaguhan kita sebagai pelindung agama?  Saya tak fikir kita telah menang!   

Atau soalan yang lebih relevan untuk kita teliti ialah meneliti tahap kebahagiaan kita?  Jadi soalannya, apakah kita ‘berbahagia’ dengan apa yang kita hadapi sekarang ini? 

Sebagai gambaran sila teliti soalan di bawah ini, senarai soalan (yang katanya) mampu mengukur kebahagiaan kita. 

Entah kenapa senarai soalan ini tidak pula merangkumi governance (tatakelola, kepemerintahan) negara secara menyeluruh.  Mungkinkah soal selidik ini hanya terpakai untuk Kerajaan Tempatan saja dan bukannya untuk seluruh negara?  Untuk seluruh negara kita tentulah TIDAK  pernah bahagia dengan telatah SPR itu.  Apakah itu yang membuat kita berdukacita yang berpanjangan?

Wallahuaklam.    

Apa pun, “SELAMAT BERLEBARAN.  MAAF ZAHIR BATIN.”

Salam hormat:

Barajiwa.



THE ‘HAPPINESS INDEX’ QUESTIONNAIRE


Q1: How do you rank your stress level?
Q2: Are you satisfied with your health?
Q3: How satisfied are you with your life partner and family?
Q4: Are you happy in your  job?
Q5: Are you satisfied with your current monthly income?
Q6: Do you believe that religion or spirituality can bring you joy and happiness in your life?
Q7: Do you interact well with your neighbours?
Q8: Do you enjoy it when you get involved with community activities in your area?
Q9: Do you feel safe in your home?
Q10: Are you satisfied with the facilities provided in your neighbourhood?
Q11: Are you satisfied with services provided by local authorities in your area?
Q12: Are you satisfied with the service of the political representative in your area?
Q13: Are you happy with the quality of your living environment?

Sumber:
http://www.academia.edu/2395897/WORLD_HAPPINESS_INDEX_MALAYSIAS_INITIATIVE_WITH_LOCAL_AUTHORITIES

WORLD TOWN PLANNING DAY 2012: GREEN CITIES HAPPY COMMUNITIES 

DR.DAHLIA ROSLY & DR. AZMIZAM ABDUL RASHID



No comments: