Friday, September 20, 2013

KEDATANGAN PRESIDEN BARAK OBAMA DIBANTAH



Kenyataan Media MAPIM
20hb September 2013

KEDATANGAN PRESIDEN BARAK OBAMA DIBANTAH

MAPIM menegaskan kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) ,  Barak Obama pada 11hb Oktober 2013 di Malaysia tidak dialu-alukan malah dibantah dan  dikecam.

Kami menyatakan pendirian kami bahawa imej Amerika Syarikat sangat negatif disisi rakyat Malaysia . Kehadhiran Presiden AS  kami anggap suatu malapetaka buat Malaysia.

AS dilihat sebagai kuasa imperialis Barat yang mempunyai cita-cita untuk mendominasi seluruh dunia melalui pelbagai strategi. Dari strategi menguasai Majlis Keselamatan PBB , Majlis Hak Asasi Manusia PBB , IMF , Bank Dunia , WTO , G 8 , APEC  sehingga strategi memanipulasi media global , perjanjian  ketenteraan , strategi menjatuhkan atau menaikkan seseorang pemimpin atau kerajaan .

AS dari dahulu lagi menghadapi masalah integriti dikacamata umat Islam dan seluruh pejuang hak asasi manusia sedunia. AS adalah negara paling rasis dan paling hipokrit.

Harus diingatkan bahawa apa yang telah dilakukan oleh AS terutama didunia Islam telah menyebabkan umat Islam melahirkan kemarahan mereka terhadap negara dan Presiden AS.

Kebanyakan rakyat  tidak dapat menerima Presiden AS sebagai tetamu. Jutaan umat Islam yang terkorban dan menderita diseluruh dunia adalah berpunca dari hegemoni ekonomi , ketenteraan dan politik  AS dan oleh sebab itu kedatangan Presiden AS adalah suatu yang membangkitkan kemarahan rakyat.

Umat Islam khususnya melihat dasar kerajaan Amerika yang dipimpin oleh beberapa Presidennya jelas telah menguris hati kaum Muslimin di Iraq , Pakistan , Iran , Al Quds , Gaza,  Libya , Syria , Mesir , Algeria .

Seluruh polisi AS adalah untuk mengadu-domba dan memperalatkan pemimpin dan diktator negara-negara umat Islam sehingga umat Islam menderita akibat regim yang pro Amerika dan anti Islam.

AS bukan sebuah negara yang layak bercakap mengenai hak asasi manusia , kebebasan dan demokrasi.

Malah ditangan Presiden Amerika Syarikat , Barak Obama kini dipenuhi darah orang yang tidak berdosa akibat dasarnya untuk memelihara kepentingan Israel dan Zionis Yahudi. Mempertahankan kepentingan Israel adalah agenda utama AS walaupun melibatkan pencerobohan dan pemusnahan ke atas wilayah Palestin dan pembunuhan rakyat Palestin di Gaza.

Kerana AS mahu menjaga kepentingan imejnya sebagai kuasa besar dunia , Presiden Obama sanggup mengarah penghantaran "drones" ( kapalterbang perangtanpa pemandu )  ke Afghanisatan yang membunuh ribuan orang awam tidak berdosa.

US dikenali sebagai negara samseng yang sarat dengan konspirasi untuk memporak- perandakan negara umat Islam dan mana-mana negara yang didapati mempunyai kerajaan yang bersikap kritikal terhadap dasar luar AS seperti Iran , Cuba , Venezuala dan Korea Utara. Perisikan CIA melakukan pelbagai operasi subversif dan sabotaj antarabangsa di pelbagai negara.

AS sebagai negara yang mudah diperalatkan oleh Israel , hanya memastikan seluruh dunia tunduk dan patuh kepada kehendaknya.

Kami membantah keras kedatangan Barak Obama . Beliau adalah simbol kepimpinan hipokrit terulung didunia dan tidak layak disambut di bumi Malaysia.

Kini Malaysia terperangkap dalam perundingan TPP yang diketuaI AS. Jelas TPP adalah satu lagi hegemoni ekonomi AS yang mahu mengikat negara-negara dan berusaha mendominasi pasaran dunia. Agenda geo-politik AS dalam TPP adalah jelas iaitu untuk menyainggi kebangkitan ekonomi kumpulan negara-negara  BRICS ( Brazil , India Russia , China , Africa Selatan ).

Kami mengesa agar kerajaan Malaysia menimbang semula untuk menerima kehadhiran Obama. Beliau adalah simbol kuasa imperialis dunia yang tidak mungkin boleh diterima jika Malaysia mahu menegaskan kemerdekaannya dalam ertikata sebenar.

Malaysia harus menunjukkan keberaniannya seperti Presiden Brazil Dilma Rauseff yang baru-baru ini menolak lawatan Obama kerana perisik AS didapati secara rahsia mengesan dan merisik perbualan antara Presiden Brazil itu dengan pegawai tertinggi beliau. Jelas perhubungan dengan AS mendedahkan negara kepada operasi espionaj pada bila-bila masa.

Kami menyeru rakyat Malaysia menyatakan sikap mereka dengan tegas dan jelas terhadap kedatangan Obama , bagi menzahirkan pendirian mereka untuk membantah kedatangan beliau dan  menentang  kezaliman , imperialisme dan dan penjajahan AS.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM


No comments: