Wednesday, October 23, 2013

Kritikan terbuka Husam Musa dalam DUN Kelantan






Saya telah kongsikan entrinya fb Sdr Ahmad Lutfi Othman ke fb saya, (Kassim Muhamad) dengan komen berikut:

Dalam http://barabarajiwa.blogspot.com, kita telah memuji tindakan Husam sebagai sesuatu yang baik. Salah satu kesan yang kita harapkan ialah ia bakal meningkatkan kesiapsiagaan yang tinggi dalam kalangan Exco kerajaan negeri dan ini baik untuk masa depan Malaysia. Kenapa mahu ditiru budaya yang sedia ada? Budaya takut, budaya mengampu yang sangat memalukan itu?


Teguran Husam biasa, kata Ustaz Hadi

KOTA BHARU - Pas tidak akan mengambil tindakan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri Salor, Datuk Husam Musa yang mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan Pas Kelantan baru-baru ini.

Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ini kerana Pas melihat kritikan Husam itu hanya satu teguran biasa yang turut dibuat oleh orang lain.

Kritikan itu juga tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian Pas Pusat dan Lajnah Politik Pas Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan isu Husam yang mengkritik kerajaan Kelantan berhubung beberapa isu dalam persidangan dewan undangan negeri (Dun) baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata Pas Pusat juga tidak menerima permohonan Pas Kelantan agar tindakan diambil terhadap Husam.

Dalam persidangan Dun Kelantan pada 8 Oktober lepas, Husam yang juga Naib Presiden parti dan bekas exco kanan kerajaan Kelantan, membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang daripada konsep ketelusan, antaranya isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang diminta mengulas isu berkenaan, berkata mesyuarat turut mendengar penjelasan daripada Husam.

"Alhamdulillah mesyuarat berjalan dengan baik dan kita rasa beruntung kerana dapat penjelasan secara langsung antara Husam dan kerajaan negeri," katanya.

Husam yang turut hadir pula memberitahu pemberita beliau berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan. - Bernama




No comments: