Wednesday, October 23, 2013

Dakaplah



Dakaplah Umno sepuas-puas hatimu!


Dalam komen kita terhadap terhadap entrinya Anwar Ibrahim, anwaribrahimblog.com yang bertajuk “Imperial Understretch and the Fall of Great Powers”, kita telah memberikan komen seperti berikut:

“Bagus juga kalau diterjemahkan ke bahasa Melayu. Lebih bagus jika para pimpinan muda Pakatan Rakyat (ertinya PAS, DAP dan PKR) duduk semeja sambil sembang-sembang tentang hal-hal yang begini. Supaya tak boring, tak membosankan hidangkan kopi panas. Insyallah,  subject matternya jadi lebih lunak. Wallahuaklam”

Ada dua perkara pokok yang disentuh dalam komen tersebut di atas.  Pertama,  tentang isu bahasa yang membuat sekian ramai orang emosional dan kerap kalinya menjadi juling.  Mereka yang menyokong dan juga menentang hal-hal bahasa rasmi ini akan berhujah sehingga kiamat kenapa bahasa Inggeris itu mesti diutamakan dan tidak perlu diutamakan.  Bagi kita pokok persoalannya bukanlah isu bahasa itu per se kerana di sana ada persoalan yang lebih besar persoalan mesej apa yang mahu disampaikan, kepada siapakah dan kenapakah mesej yang cukup baik itu mesti disampaikan.  Oleh kerana bahasa massa adalah bahasa Melayu, maka alangkah baiknya jika mesej diterjemahkan ke bahasa Melayu.  Apakah mesej dalam entri yang cukup baik tentang apa yang berlaku di Amerika dan kaitannya dengan kejatuhan pelbagai empire silam itu tak perlu disyarahkan kepada Pak Man di Pendang, Kosmos Batu Bara di Tawau?  Jika jawapannya “Ya”, maka mesejnya mestilah diterjemahkan ke bahasa Melayu.  Itu yang mahu disampaikan dalam komen pertama.

Sebagai perbandingan entrinya yang terawal oleh MediaRakyat telah dimuatkan khutbah Anwar Ibrahim di salah sebuah masjid di Australia. (Ya, di tempat pegawai kerajaan (agaknya) milik Umno, mengancam mahu mengambil tindakan jika sampai ada mahasisiwa yang hadiri program tersebut.  Lihatlah,  bentuk-bentuk ampu yang kreatif mereka lakukan demi untuk mendapatkan habuan dari tuannya).  Di situ khutbahnya dalam bahasa Inggeris kerana khalayaknya rata-rata berbahasa Inggeris. Maka wajarlah khutbahnya dalam bahasa Inggeris. 

Itu mesej pertama.  Mesej kedua ialah saranan supaya para pemuda Pakatan Rakyatan, iaitu Pemuda-Pemuda Pas, DAP dan juga PKR duduk semeja untuk bersembang-sembang sambil menghirup kopi panas lalu berbincang tajuk kejatuhan kerajaan silam itu.  Jika tajuk ini kurang menarik,  mungkin tajuk-tajuk seperti “Kenapakah tunjuk perasaan anti konsert (maksiat) itu bukanlah bentuk dakwah yang terbaik”  atau “Kenapakah kita tidak boleh duduk bersama walaupun mimpi-mimpi kita mungkin masih sangat berbeza” bolehlah dipertimbangkan.  Mungkin tajuk-tajuk seperti ini tak begitu sesuai, jadi mereka boleh pilih tajuk-tajuk lain yang lebih sesuai.  Mungkin juga selama ini mereka telahpun berkali-kali duduk semeja untuk berhujah sehinggakan terbalik segala meja dan kerusi.  Mungkin.  Mereka telah duduk semeja dan berhujah dan kita tidak tahu kerana rakyat tak perlu tahu.  Mungkin.  Mungkin tajuk yang telah mereka bincangkan ialah “Kenapa itu kerusiku dan bukannya kerusimu”. Mungkin.  Tapi rakyat yang mendambakan Sang Penguasa alternatif tidak pernah tahu bahawa mereka para pemuda yang bakal menggantikan Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim dan Hadi Awang pernah duduk bersama untuk membincang masa depan Malaysia yang jauh lebih baik.


Sesungguhnya sebagai sebuah negara, Malaysia kita yang tercinta ini memikul begitu banyak masalah akibat kecurangan kepimpinan yang sekian lama telah begitu amat curang terhadap aspirasi rakyatnya.  Oleh hal yang demikian, Sang Penguasa alternatif mestilah menunjukkan bayang-bayang bahawa ia mempunyai iltizam yang kukuh untuk menjadi Sang Penguasa yang JAUH lebih baik.  Salah satu langkah awalnya ia menunjukkan keupayaannya untuk duduk bersama. 


Ya,  bak kata Dinsman, “Berhentilah berpolitik” yang berlebih-lebihan itu.  Lihatlah diri masing-masing sebagai sebuah pasukan alternatif yang boleh diandalkan dan yang benar-benar mahukan merubah Malaysia supaya menjadi JAUH lebih baik. Atau adakah dalam kalangan para pemuda ini yang masih ada yang sangat teringin untuk mendakap Umno kerana itulah penjaga Melayu dan Islamnya,  sementara DAP itu parti yang akan memusnahkan Melayu dan Islam itu? Jika itulah masalah yang terbesar, maka eloklah para pemuda ini duduk bersama dan bersembanglah tentang DAP yang akan memusnahkan Melayu dan Islam.  Sementara itu, kita tunggu transkrip perbincangannya.




No comments: