Dinsman (Hrkh
410, 15/11)
Anugerah Integrasi Usman Awang Huazong
Mengapa Gabungan
Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) tiba-tiba melancarkan Anugerah Integrasi
Nasional Usman Awang? Maksudnya – ini anugerah untuk perpaduan nasional. Bertaraf
nasional. Sepatutnya bukanlah mana-mana satu kaum sahaja yang menganjurkan
anugerah ini.
Sepatutnya semua
kaum yang ada di Malaysia, khasnya kaum-kaum utama iaitu Melayu, Cina, India,
Iban dan Kadazan yang berpakat menganjurkan anugerah itu. Ataupun Jabatan
Perpaduan Negara sendiri. Bukannya sebuah gabungan pertubuhan dewan-dewan
perhimpunan Cina.
Ya, ada orang menimbulkan
soalan begitu setelah sesi perbincangan rasmi di Bilik Mesyuarat Tingkat 29,
Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 12 November itu selesai secara rasminya,
kira-kira pukul 12.45 tengahari.
Pemikiran begitu
memang lumrah disuarakan setiap kali ada apa-apa inisiatif dibuat oleh
pihak-pihak tertentu. Sekadar nak menyuarakan pandangan terhadap sesuatu yang
telahpun dibuat. Bukannya sebelum sesuatu inisiatif itu diambil. Barangkali
inilah yang orang tua-tua kita dahulu mengatakan “Rumah siap pahat berbunyi”.
Memanglah boleh
difikirkan macam-macam, dan semuanya pun ada rasionalnya. Tetapi untuk apa
retorik itu semua? Mengapa kita tidak bersikap positif dan menyambut inisiatif
itu dengan menyatakan penghargaan yang sepatutnya? Ucaplah tahniah dan terima
kasih! Akhirnya ada pihak yang tampil dengan inisiatif yang sedemikian rupa.
Tidaklah asyik berseminar, berforum dan beretorik tak habis-habis tanpa suatu
tindakan yang berkesan bagi mengatasi masalah perkauman yang semakin meruncing.
Ya, tahniah
kepada Huazong atau Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, kerana inisiatif yang
sangat bermakna dan berharga itu. Ketika menerima jemputan daripada pihak Tan
Kai Hee untuk hadir ke pertemuan itu, saya tidak terfikir pun yang ia sepenting
itu. Tapi tak mengapalah. Apa pun, mereka telah melakukannya.
Dan mereka telah
melancarkannya lebih awal lagi sebenarnya. Di peringkat pertubuhan mereka
sendiri, dan di peringkat Jabatan Perpaduan Negara juga. Sekarang peringkat
yang ketiga, dan kemuncak, bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sepatutnyalah DBP
menyambut baik inisiatif Huazong ini, kerana inisiatif ini sebenarnya adalah
satu penghargaan besar terhadap seorang sasterawan-seniman kita yang namanya
adalah sinonim dengan DBP, dan sepatutnya DBP-lah yang menunjukkan
pengiktirafan sebegitu kepada sasterawan-seniman yang lama berkhidmat
dengannnya dan banyak berjasa mengangkat dan mengharumkan nama DBP.
Tan Kai Hee (penggerak
inisiatif ini) bukanlah nama baru dalam hal memberi pengiktirafan kepada Usman
Awang. Dia telah lama mengenali kelibat Usman sebagai seorang seniman yang
sikap dan pemikirannya merentasi kaum dan benua, seorang “anak bangsa Malaysia”
yang telah lama membawa bendera “persahabatan” merentasi kaum itu, melalui puisi-puisi
dan malah lebih penting lagi melalui tindak-tanduk hariannya.
Tiga puluh tahun
yang lalu dia (Tan Kai Hee) dan sahabat-sahabatnya telahpun mengambil inisiatif
menganjurkan suatu “Malam Salam Benua” – majlis makan malam bersama persembahan
seni yang dihadiri majoritinya masyarakat Cina, kerana mera’ikan Usman Awang
mendapat anugerah Sasterawan Negara.
Kini beliau
secara rasmi pula, bersama sebuah gabungan pertubuhan Cina seMalaysia
bersepakat memberi pengiktirafan yang sebegitu besar dan tinggi terhadap
sumbangan seorang Melayu dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan harmoni
rakyat Malaysia pelbagai kaum.
Saya sangatlah
terharu dengan inisiatif ini. Bukan kerana hadiahnya yang agak besar itu –
hadiah utama RM100,000 untuk individu ataupun pertubuhan yang terpilih; dan
lima hadiah iringan bernilai RM10,000 setiap satu. (Disumbangkan oleh syarikat
Hai-o). Pencalonannya akan ditutup pada 27 November ini. (Barangkali sudah lama
dibuka, saya tak tahu).
Ada banyak faktor
yang membangkitkan rasa terharu saya itu. Bukanlah mudah sebenarnya untuk
sebuah gabungan pertubuhan Cina yang ahli-ahlinya bukan seniman-budayawan
tetapi ahli-ahli perniagaan dan perusahaan, untuk melihat dan menyanjung
sumbangan seorang seniman, dan seniman itu Melayu pula.
Mereka tampil di
tengah-tengah masyarakat Malaysia yang sedang mengalami pergolakan oleh
pelbagai masalah politik-ekonomi-sosial-agama, dengan suatu tindakan berani,
mengangkat seorang seniman Melayu untuk dilihat sebagai ikon kemanusiaan yang
patut menjadi teladan bagi seluruh rakyat Malaysia, dan juga menjadi faktor
untuk perpaduan.
Saya juga melihat
langkah berani Huazong ini sebagai menegaskan lagi perjuangan Seniman Paksi
Rakyat (Paksi) mengenai Tekad Budaya (Cultural
Will), yakni faktor dan peranan budaya yang tidak kurang pentingnya
dibandingkan dengan faktor dan peranan politik (Tekad Politik – Political Will) dalam kehidupan kita.
Saya jadi teruja kerananya.
Maka seperti yang
saya suarakan dalam sesi perbincangan tersebut, DBP janganlah sekadar
menyambutnya dengan sebuah majlis perbincangan itu sahaja, tetapi perlulah juga
mengambil inisiatif yang tidak kurang nilainya berbanding inisiatif Huazong
itu.
Kalau selama ini
DBP dilihat seperti tidak berbuat sesuatu bagi menghargai jasa seni Usman Awang
yang bernafas kemanusiaan itu, maka sekarang marilah sama-sama kita mengorak
langkah yang sesuai, dengan menghidupkan aktiviti-aktiviti seni yang bernafas
kemanusiaan selaras dengan karya-karya Usman Awang.
Tentulah tidak
cukup dengan mengeluarkan anugerah sahaja (walaupun itu merupakan sesuatu yang
sangat besar nilainya). Semangat kemanusiaan Usman Awang itu sendiri pun
perlulah dihidupkan dan disebarkan kepada masyarakat, agar masyarakat tahu dan
faham apa signifikan dan relevannya anugerah itu untuk kita, khasnya masyarakat
awam yang tidak biasa dengan karya-karya sastera Usman Awang.
(Penulis boleh juga
dihubungi dengan sms 019-7172408)
No comments:
Post a Comment