Friday, November 15, 2013

Beginikah caranya Pas Memusuhi Dirinya? (Bahagian 3)



Beginikah caranya Pas Memusuhi Dirinya?
(Bahagian 3)


Sebagai seorang awam yang sekian lama mengikuti, bersimpati, menyokong, membantu mana yang mungkin dan tentunya berdoa agar perjuangan Pas mencapai matlamat yang dicita-citakan,  maka tentulah apa yang  berlaku dalam batang tubuh Pas itu sentiasa saja menarik perhatian.  Sebelum ini biasanya pemilihan saf kepimpinan oleh Muktamar itu diikuti sebagai proses rutin demokrasi ― rutin proses sebuah parti politik yang membawa mesej Islam.  Tidak ada apa-apa yang luar biasa dengan Mukhtamar.  Kita tahu siapakah yang bertanding dan akhirnya kita pun tahu siapakah yang dipilih. Ya, betul.  Kita melihat Mukhtamar itu sebagai proses yang sihat dan segar untuk Pas.  

Ternyata yang ke 59 ini lain daripada yang sebelumnya ― ‘yang dulu-dulu’ itu.  Entah kenapa,  kali ini hari-hari menuju Muktamar yang ke 59 yang akan berlangsung tidak lama lagi itu, terasa amat berbeza sekali. Muktamar, urusan rumah tangga Pas itu dengan segala riuh rendahnya dan bahang pemilihan itu,  tidak dirasakan oleh orang luar.  Apakah mungkin selama ini ― segala  riuh rendah pemilihan itu tidak kelihatan kerana orang luar seperti saya tidak pernah mengetahui atau ambil peduli?  Hakikatnya semua Muktamar Pas sememangnya penuh intrig dalaman yang tidak pernah kelihatan riuh rendahnya?  Bahawa dalam setiap Mukhtamar Pas yang kelihatan cukup tenang itu sebenarnya wujud arus dasar yang cukup menggila? Ada arus menggila di sebalik permukaan yang tenang itu.  Mungkin juga.  Ada kemungkinannya dan itulah salah satu sebab musababnya kenapa orang luar tidak tahu. 

Atau apakah mungkin sebelum ini, belum pernah kita temui barisan calon sepertimana yang terdapat dalam pusingan yang ke 59 sekarang ini.  Para pemuda dan saf kepimpinan yang menawarkan  diri untuk dijadikan dan rela menjadi hamba sahaya Pas itu sangat berbeza dari yang kita temui di zaman-zaman  silam.  Rata-rata mereka orang-orang muda-ulama (whatever it means), keluar menara gading di Timur Tengah atau berijazah pengajian Islam et al, IT savvy, ambisius  dan jelas sekali garang. Paling nyata, mereka muncul di zaman Pas dilihat sebagai calon credible Sang Penguasa, orang yang menunggu masa untuk mengambil alih kuasa.  Merekalah bakal menteri dengan pelbagai portfolionya.  Apakah mungkin itulah salah satu sebabnya?  Jika ia begitu, maka dalam batang tubuh Pas, ada yang telah memilih untuk memusuhi dirinya sendiri.

Orang-orang muda yang sememangnya muda umurnya,  IT savvy lagi ambius muncul bersama dan menghunuskan senjata ITnya.  Aduhai...ada imej anjing di sana.  Lama juga terkedu, terkejut, dan entah apa-apa lagi perasaannya.  Kenapa Pas sampai mahu membunuh dirinya? Orang yang sudah berumur lebih 60 dan mengikuti Pas sejak tahun 60an, hampir-hampir pengsan melihat semua ini.  Apakah Pas sudah bersiap sedia mahu mengambil nyawanya?


Soalan seterusnya:

Agaknya aroma kuasa itu terlalu enak untuk dibiarkan berlalu begitu saja.  Mungkin.

Ada lagi soalannya:

Berkesankah senjata IT itu?  Apakah bentuk ‘maruah’, jika ada maruahnya di sebalik segala komen mereka yang terjun bersilat di halaman fb itu?  Itukah adabnya orang-orang yang katanya terdidik dan ditarbiah dengan cara Islam itu berhujah?  Atau ada musuh yang datang berselimut lalu turut bersilat?  Apa pun ― kita amat sedih, keliru dan bimbang dengan label silam yang sering sekali dicanang oleh media musuh ― Ceramah Pas itu penuh dengan caci maki dan mengata orang!  Kali ini ‘ceramah’ supaya diangkat menjadi pemimpin itu sudahpun berpindah ke fb.  Inikah caranya sesetengah calon Pas berhujah untuk mendapat kuasa?  Tidakkah cara seperti ini telah mencederakan dirinya?  Atau ini sama sekali tidak ada kena mengenanya dengan Pas?  Apakah kerja nista seperti ini akan berterusan?  Apakah bentuk tindakannya kelak (KALAU pun ada tindakannya nanti) kerana perbuatan yang sangat memalukan ini?

Wallahuaklam.

(Apakah perasaan orang-orang Melayu dan bukan Melayu yang begitu mengharapkan perubahan?)




No comments: