Saturday, July 4, 2015

Pengalamanku menikmati ‘Cinta Fansuri’





Pengalamanku menikmati ‘Cinta Fansuri’(1)
Oleh: Kassim Muhamad(2)

1.0 Kisah cinta seperti apakah ‘Cinta Fansuri’ itu?

Sebelum membacanya, dalam kepalaku sudah ada semacam gambaran ― ‘Cinta Fansuri’ itu tidak banyak bedanya dengan ‘Romeo dan Juliet’nya Shakespeare atau ‘Tenggelamnya Kapal Van der Vijk’ Buya Hamka atau pun mungkin mirip filem Hindustan tahun 1964 yang meletup-letup seperti padi digoreng ― “Sangam” arahan Raj Kapoor. Ternyata semua tanggapan awalku semuanya meleset.

1.1 Novela setebal 158, cetakan kedua tahun 2008, Wirabukit, Kuala Lumpur ialah novel Pak Samad yang ke sepuluh.  Edisi asalnya, tahun 1994 diterbitkan oleh Fajar Bakti.  Urutan penghasilan novel oleh Samad ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Keledang, Di Hadapan Pulau, Adik Datang, Langit Petang, Hujan Pagi, Daerah Zeni dan Cinta Fansuri”.

1.2 Kenapakah ‘Cinta Fansuri’ (setelah ini CF)?  Dari sekian banyak novel Pak Samad, kenapakah memilih “Cinta Fansuri” untuk dibicarakan dalam bulan Ramadhan?  Ya, mengikut rencana PAKSI, Seniman Paksi Rakyat, sebuah NGO sastera-budaya, CF akan saya bicarakan pada 3 Julai 2015 (Jumaat) selepas solat Asar di Madrasah Seni, Kampong Banda Dalam, Batu 4¼ Jalan Gombak, Kuala Lumpur.  Ya, hari penuh bersejarah ialah hari ini, 3 Julai 2015. 

1.3 Saya tak punya jawaban khusus kecuali memenuhi keinginan mendalam untuk membicarakannya. Saya tertarik dan sering sekali macet meladeni frasa-frasa puitis, kekadang yang diulang seperti, “langit keruh, dan aku mulai terpengaruh...” atau “sungai yang jernih yang tenang, cepat berombak atau bersisik apabila bot meluncur...” 

Frasa-frasa  sedemikian membuat saya mengelamun dan berkhayal.  Apakah sisik-sisik ombak itu tajam dan berkilau-kilauan seperti lembing-lembing perak yang dilontar? Bagaimanakah setiap titis hujan tega menjadi jarum yang menghukum dan mengejek? Apakah wajah keruh itu sama dengan keruhnya tampang Mahathir semasa ‘dianya’ berdiri di samping Anwar Ibrahim dalam pawai merdeka terakhir mereka sebelum Anwar dipecat? Apakah anda tidak fikir ini satu nikmat?

__________________________________________________________________
(1)Dibentangkan dalam sesi Bicara Karya Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) di Madrasah Seni pada 3 Julai 2015. 
(2) Mantan SU, kini Timbalan Presiden Paksi.



1.4 Bukankah jauh lebih ‘afdhal’ jika dalam bulan yang mulia ini dibicarakan sesuatu  yang lebih ‘Islamik’, misalnya Al-Amin? Sekali lagi ingin saya katakan bahawa saya tak punya hujah atau pun justifikasi apa-apa kecuali tertarik mahu membicarakan CF khususnya dalam kalangan teman-teman Paksi.  Dan kepada Sdr Dinsman telah saya katakan hasrat bahawa karya ini mahu saya bicarakan di kalangan teman-teman Paksi. 

2.0 Bagaimana mahu kita baca ‘Cinta Fansuri’?

2.1 Seperti lazim saya lakukan semasa membaca kebanyakan buku ― pertama sekali ― isinya diimbas (scan).  Buku diimbas untuk mengetahui apakah isi kandungan yang diperkatakan oleh pengarang. Teknik mengimbas ini biasanya dapat mendedahkan gambaran umum kandungan buku. Dengan mengimbas misalnya, kita akan tahu bahawa yang sedang mencalai di padang yang luas itu bukanlah kerbau biasa tetapi sebenarnya adalah seekor kerbau balar. 

2.2 Pada mulanya, begitulah kaedah yang saya gunapakai untuk membaca CF.  Rupa-rupanya ternyata CF tidak boleh dibaca sedemikian rupa.  Lalu CF pun telah saya ‘baca’ beberapa kali untuk mencari klu (clue) atau petunjuknya.  Proses mengulang baca bab-bab tertentu dilakukan; tujuannya ialah untuk mencari apakah dalam bab-bab  tersebut tersembunyinya petunjuk, klu teka teki yang sengaja disembunyikan?  

2.3 Atau apakah teks sepatutnya diteliti seperti meneliti karya-karya Arthur Conan Doyle (Sherlock Holmes) atau Hercule Poirot (Agatha Christie) atau yang buku-buku lain yang segenre dengannya?  Cara ini mempermudahkan proses mengunyah CF agar ia tidak terasa begitu mencabar.  Mungkin. 

(Lalu kepada kawan-kawan Paksi, saya katakan inilah novel teka teki yang cerdik.  Oleh kerana kecerdikannya, marilah kita sama-sama menelaahnya. Marilah kita nikmati “Cinta Fansuri” yang cerdik, sarat teka teki, kaya ilmu bantu, indah lagi puitis).

Untuk mencari petunjuknya, berulang kali saya beleki pelbagai babnya.  Misalnya,  mengulang baca untuk mencari misteri di sebalik wanita 92 tahun yang ‘hanya boleh memulakan perkataan dengan huruf vowel saja’ dan kisah cinta datuknya.  Lalu di halaman 122, ditemui satu petunjuk (clue) berikut:  

“Di situ, baik aku mahupun Milyukadar, tidak pernah pun terdengar atau mendengar cerita tentang pembunuhan semacam itu ― “Uan Icad Ussel ati i umpur Edang Epala!” Apakah rahsia wanita tua yang terpaksa atau hanya boleh memulakan perkataan dengan huruf vowel saja?  Ada sebarang rahsia yang luar biasa atau aneh ― rahsia yang rahsia? Ebab Inta!”

2.4 Apakah CF novel yang diperkaya dengan pelbagai misteri, ilmu bantu yang berbobot, teka teki dan pelbagai cabaran itu sememangnya disengajakan oleh pengarangnya?

Ini satu contoh memahami teka teki yang mencabar itu.  Puas juga mahu memahami apakah makna ungkapan “Uan Icad Ussel ati i umpur Edang Epala!” itu?  Akhirnya, ya akhirnya baru dapat ditebak bahawa ia bermaksud, “ Tuan Richard Russel mati di lumpur Edang Epala!”

Lagi?  Siapakah Richard Russel itu?  Kita boleh saja ‘google’ untuk mencari siapakah watak ini dalam sejarah Sarawak.  Setelah itu, apa lagi?  Apakah benar Sir Richard Russel telah dibunuh oleh lelaki peribumi kerana berebut cinta?  Mungkin ada teman-teman kita yang arif dengan sejarah silam Sarawak yang dapat membantu.  Atau sebenarnya,  ini hanyalah salah satu lagi “khayalan normadik” luar biasa sang “Aku”?

Rasanya cukup sampai di sini mukadimah apa, kenapa, bagaimana “Cinta Fansuri” itu dibaca. 

3.0 Apakah petikan kisah atau kisah-kisah cinta yang kita temui dalam CF?

Memang benar “Cinta Fansuri” itu kisah cinta; cinta penuh misteri yang tidak diceritakan secara blak-blakan, sebaliknya dianyam dengan benang-benang seni tarik tali, jual mahal, uji menguji dan salah faham.  Cinta misterius yang musnah kerana ‘kebodohan wanita’ dan juga ‘kebodohan lelaki’. Misteri dan kisah-kisah cinta yang ‘terhasil’ oleh pelbagai pasangan dalam episod cinta yang berbeda-beda gayanya. 

Pertama:  Kisah cinta Fansuri – Fahiyaton

Tragedi cinta tak kesampaian dan kekecewaan yang dialami Fansuri itu kita temui di halaman-halaman 129, 130, 131 dan 132.

“ Semua kenangan itu tersimbah semula ke muka dan ke hatinya. Dia tidak tahu gadis itu anak seorang bangsawan yang beberapa tahun ini terkurung oleh perang dan oleh adat pegangan kuat keluarganya.” (hal. 129).

“ Mengapa Fahiyaton yang bersumpah akan tetap akan menyertainya, tiba-tiba bertukar hati memilih seorang tuan punya ladang lada hitam yang bangsawan juga. Apa erti sumpah setia atau kata-kata memang sekadar angin atau udara tanpa mutu dan maruah?” (halaman 131)

Bagi pihak Fahiyaton, kita dimaklumkan bahawa sesalan dan penderitaan yang ditanggungnya begitu berat sekali:

“Sudah berapa lama? Mana... mana beritanya? Barangkali penderitaanku tak akan terubat.” Kata-kata Fahiyaton menyentakkannya. “ Dan... dan kau tahu sendiri keadaanku. Aku tak mahu Fansuri derita.  Aku... aku mahu dia tahu yang sebenarnya, “ kata Fahiyaton, resah dan semakin termengah. “Aku ingin jelaskan segalanya, minta maaf, tinggalkan segala kepadanya. Kemudian... kemudian baru aku dapat mati tenang....” (halaman 118)

“ Ini... ini kisah lama. Barangkali ibumu secara tak langsung pernah menceritakan peristiwa yang ganjil ini. Aku rasa, ia kisah kebodohan seorang wanita sebenarnya.  Atau... atau kisah kebodohan seorang lelaki juga, “ kata Fahiyaton, terhenti, dan tiba-tiba menangis. (halaman 118).

Kedua: Kisah cinta Bambrio (atau nama sebenarnya, Suradi Othman) dan Ratna Murni, dosen Universitas Gadjah Mada.

Kisah cinta yang tidak menjadi kerana sang lelaki, Bambrio dilihat oleh pasangannya,  Ratna Murni memiliki perspektif cinta yang sukar dipenuhi, “Cinta bagimu (Bambrio) terlalu tinggi sehingga sukar kuisi.  Kuri lebih berjejak.”

Ketiga: Kisah cintanya Damri dan Wan Siriyah

Dalam Rosnah Baharudin (penyusun), Biografi A. Samad Said – Memberi Hati Nurani  ITBM (2012: 143-144), kita temui naratif berikut:

“Percintaan Fansuri itu diselaputi dendam agak berbeza dengan cinta Damri yang menuntut pengorbanan. Walaupun tidak pernah terucap cintanya terhadap Wan Siriyah, Damri terus sahaja bersetuju meninggalkan tugasnya membimbing bengkel cerpen sejarah, drama dan deklamasi puisi di Sabah untuk memenuhi hasrat Fahiyaton, mak ciknya.  Damri juga lupa tentang ancaman Perang Teluk yang hampir meletus dan mengancam keselamatan dunia.”

Keempat: Kisah cinta lelaki Edang Epala (datuk kepada nenek 92 tahun yang sentiasa memulakan setiap perkataannya dengan huruf vowel) sehingga terbunuhnya ‘Uan Icad Ussel’ juga adalah kisah cinta.  Kisah pertarungan merebut cinta di antara anak tempatan dengan lelaki Inggeris yang terkorban, dan mayatnya didapati terapung di sisi beberapa buah tembulus.

4.0  Siapa saja yang mendukung “Cinta Fansuri”?

Terdapat ramai watak dalam CF; yang mendukung “Cinta Fansuri” ― tidak mengikut urutan keutamaan ― antara lain ialah seperti berikut:

Aku (Juram), Milyukadar, Haji Durji, Wanita 92 tahun Edang Epala, Fansuri, Damri, Bambrio, Namzirah, Jobing, Nen, Songsi, Bansari, Kathum, Drs Tengku Musluk, Ramdie S. Baltimore, Profesor Madya Sanfoori, Wan Siriyah, Obardi, Syeri, Fahiyaton, Datin Melani, Rehana, Lasim, Laura Ash, Bernard, Emro, Nicole, Noguchi, Ameen Ferari, Shakeel Alim, Isa Bird dan Didi Ratna. 

Ya, begitu ramai sekali!  Tapi siapakah sebenarnya para pelakon utamanya?  Mungkin yang paling menonjol dan menjadi tulang belakang cerita ialah yang dihitamkan iaitu Aku (Juram), Fansuri, Damri, Bambrio, Namzirah, Wan Siriyah dan Fahiyaton.

5.0 Sebenarnya apakah kesudahan CF?

5.1 Masih ingat apa yang kita lakukan dalam kelas-kelas makmal sains semasa di sekolah menengah dulu?  Misalnya untuk membuktikan bahawa gas yang dihasilkan oleh proses fotosintesis itu adalah oksigen, apakah ujian yang Cikgu cadangkan? Masih ingat lagi bila Cikgu menjelaskan bahawa untuk membuktikan gas itu oksigen, kita mengujinya dengan “splint test”.  Purus bara kayu uji akan menyala sekiranya ia dicecah ke dalam tabung uji yang penuh dengan oksigen.  Masih ingat?

5.2 Untuk memahami CF dengan tuntas, apakah proses dan prosedur yang seakan-akan ‘kerja-kerja’ makmal juga diperlukan? Apakah kunci-kunci peristiwa dalam novel 19 bab itu yang perlu diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh? Dan seperti yang dibaca oleh seorang blogger, kunci ialah bab-bab 1 dan 19.  Aku juga setuju CF itu adalah dua bab berikut:

Bab Pertama:

Dia tidak lagi di katil 28 wad 6.
Dia tidak bercinta lagi.
Damri berdoa di sisi katil.

Kali terakhir seorang jururawat terdengar pesakit itu mengucap, ‘Sha-Al, kau jangan cuba jodohkan aku dengan sesiapa pun. Aku senang begini....’
Dia terbisu beberapa ketika, kemudian menjerit, ‘Bukan aku yang membunuh leftenan itu. Bukan peluru aku....’

Bab ke Sembilan Belas:

Dia memang tidak lagi di katil 26 wad 8.
Dia memang tidak mungkin bercinta lagi. 
Wan Siriyah menangis di sisi katilnya.
Kali terakhir seorang doktor melihatnya membasuh cangkir dengan kasar dan berulang kali menjerit: Aku tak akan kahwin dengan seorang pembunuh!

6.0 Apa lagi yang kita tahu tentang ‘Cinta Fansuri’?

6.1 ‘Cinta Fansuri’ menggunakan teknik kolaj, kata Ungku Maimunah

Ia bukan novel konvensional yang memiliki struktur plot yang konvensional iaitu permulaan, pertengahan dan perleraian.  “Menurut Ungku Maimunah pula, ‘Cinta Fansuri’ menggunakan teknik kolaj untuk membangun cerita”. Teknik kolaj?  Untuk mengetahui apakah kolaj-kolaj yang ditempelkan, kita perlu mencari kolaj-kolaj yang dianyam menjadi sebuah cerita.

Kolaj itu istilah yang digunakan untuk seni lukisan@visual.  Gambar-gambar (misalnya,  gambar bunga-bungaan atau buah-buahan dan sebagainya) ditempel untuk menjadi sebuah karya seni@lukisan. Ertinya, setiap kolaj membawa ceritanya sendiri dan oleh kerana itu mampu berdiri sendiri. Yang menjadi cabaran terbesar ialah bagaimana mahu menjahit seluruh kolaj sehingga sebuah novel yang sepadu? Sesungguhnya kerja seni bertukang ini memerlukan kemahiran dan pengalaman.

Berkait rapat dengan struktur ialah sudut pandangan yang digunakan oleh pengarang. Misalnya Aku (Juram) muncul dalam empat bab iaitu bab-bab 2, 9, 14 dan 18.  Dalam bab-bab ini, Aku adalah penceritanya dan diselang seli dengan teknik sorotan ke belakang.

6.2  ‘Cinta Fansuri’ kaya dengan bahan ilmu bantu

Saya temui pelbagai nama buku, pengarang, tokoh, lagu, tempat, muzik dan filem yang ada kala tak pernah kutemui sebelum ini.  Makanya jika kita mahu membaca dan teragak-agak dan tercari-cari mana satukah bahan yang boleh dibaca, sila gogel saja salah satu dari nama berikut:

Batman, M.C. Hammer, Eric Hensen, Tom Harison, Charles Brooke, ‘Uan Icad Ussel’, Jerome Rousseau, ‘Gua Rusa’, Freddy Fender, Stalin, Di Negeri Belalang, Tik! Tik! Tik!, Sesudah Perang, Jika Esok Tiba, Dalam Kabus, Slaughterhouse Five, Catch 22, Ziarah, Merahnya Merah, Iwan Simatupang, Newsweek, Englang on US$40 A Day, One Hundred Years of Solitude, (Gabriel) Garcia Marques, Milan Kundera, Universitas Gadjah Mada, Olenka, Budi Darma,  Keluarga Gerilya, Rentong, The Mandarins, Miss Saigon, Albert Camus, Satre, Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Barus, French Lieutnant’s Woman, Camille Claude, Baker, Aziz, Sorbonne, L’Institut du Monde, Saddam Hussein, Yasser Arafat, The Outsider, Cher Faringer, The Four Seasons, Vivaldi, Aceh, Sungai Tigris, Rainbow, Central Borneo, Sayid Qutb, Ali Shariati, Anwar Ibrahim, Rendra, Laila Majnun, Romeo and Juliet, Sarimah, Madu Tiga, Awie, Wings, East of Eden, Madame Bovary, Panglima Awang, Burung-burung Manyar, Macbeth, Murut Kelabit, Murut Sabah, Cosmopolitan, Elizabeth Taylor, Kuwait, Iraq, Alfred Wallace, Oboardo Beccari, Perang Teluk, Madonna, Like A Prayer, Jan Poortenaar, Affendi, Chairil dan Namrud...

Tak percaya?  Setelah kugogel Milan Kundera yang belum pernah kutahu siapakah orangnya, apatah lagi membaca karyanya, terdapat sebuah madah Kundera:

Nothing requires a greater effort of thought than arguments to justify the rule of non-thought.

Apakah madah di atas bermaksud ― tidak perlulah kita bersusah payah berhujah dengan si BEBAL ― dia tidak akan berubah?

6.3 Meneliti resah batin pengarang dalam CF

Di halaman 70 (bab 10), kita temui pengamatan pengarang tentang suara dan nafas alam:

Petang tadi ketika sengaja turun untuk mengenal sekitar, cuaca sedikit keruh dan lorong juga dirasakan turut muram.

“Dia terbayang Bambario membawa anak-anak bengkel berehat di sisi jeram kecil mengajak – atau mengasuh – mereka mendengar suara air mengalir.  Seperti biasa,  jika begitu, Bambario akan mengasuh para peserta supaya belajar semula mendengar suara atau nafas alam.  Jangan terlupa bunyi cengkerik sekalipun, Bambario sering menyedarkan. Bunyi sekecil itu pun adalah wakil suara batin bumi, katanya, tanpa benar-benar dimengerti oleh anak-anak bengkel.  Dan, jika ada anak-anak bengkel yang kurang memahami penjelasannya, sekali-sekala, sambil menggenyeh misai tebalnya, dia akan mengingatkan: “Jangan bikin pelanduk ketawa.”
(halaman 70).
Apakah petikan seperti di atas sekadar hiburan?  Apakah tidak ada yang dapat kita baca, teliti dan tekuni? 

6.5 Menikmati keindahan, kekayaan bahasa dan pemikiran dalam ‘Cinta Fansuri’

Selain “langit keruh,  aku terpengaruh” terdapat pelbagai keindahan metafora yang digunakan:

“November yang basah itu dirasakan penuh hujan dan guruh di dalam batinnya”.
(halaman 18)

“Alam ini ada susunan hakikinya”
(halaman 10)

“Aku perhatikan matanya...dan mata kau...”
(halaman 15)

 “Rambut sepatutnya sekadar tanda. Tapi di sini rambut itu benar-benar berkata-kata” (halaman 24)

“ Setiap karya sastera yang baik pada hakikatnya adalah kisah berkecamuknya fikiran dan pandangan orang yang tidak malu-malu mengakui siapa mereka sebenarnya,” (halaman 32)

“dalam mimpi kilatnya” (halaman 34)

“Terkadang-kadang rasanya kau ni pemikul beban. Cuma kau lupa bahumu kecil...:
(halaman 42)

“Ya, ya. Bahuku kecil, tapi lidahmu lebar...”
(halaman 42)
“Dari hutan berhampiran itu juga sesekali datang bunyi gajah yang pilu.”
(halaman 120)

“Semua warkah kuno yang disebutkan Milyukadar itu menjadi bererti ― menjalar dan menebarkan erti yang seluas mungkin.”
(halaman 122)

“Setiap titis hujan seperti jarum yang menghukum dan mengejek”
(halaman 132)

“Cinta terpanggil hanya sekali dari dalam batin?”
(halaman 151)

“Kita mempunyai bahu yang kecil dan usia yang pendek. Kita hanya pikul semampunya dan dalam jangka masa yang terbatas...” (halaman 152).

dan lagi, dan lagi....


7.0 Penutup

7.1 Apakah teks sastera itu sekadar mainan kata-kata pengarang?

Apakah kita,  sebagai pembaca karya kreatif, novel misalnya melihat dan menikmati apa yang dihidangkan oleh penulis? Atau jika kembali kepada soalan yang paling asas, sebenarnya apakah yang kita cari semasa kita membaca sesebuah novel?  Apakah ceritanya sebagai satu hiburan?  Atau ada sesuatu yang lebih bermakna yang dapat kita nikmati di sebalik sesebuah karya kreatif itu?  Atau semua ini tidak lagi memberikan apa-apa lagi?

Apakah anak-anak kita masih mampu menikmati sesebuah karya seni itu selayaknya?  Atau mereka sebenarnya semakin jauh kerana suasana di sekeliling kita tidak lagi memberikan nilai kepada semua ini kecuali, ya, kecuali wang?

Wang? Cuba teliti petikan ini:

“Wang juga lebih nyaring bercakap daripada seni,” kata seorang pembantu pengarah.
“Makanya kita harus menjinakkan wang...”
“Makanya kita perlu mewaraskan wang...”
Benar, mana ada manusia yang tidak pernah mengambil tindakan politik dalam kehidupannya?”  (halaman 76).

7.2 Apakah episod-episod penghinaan terhadap Damri oleh birokrat Penerbitan Niri itu hanyalah pelengkap sebuah karya fiksyen?

Apakah lengkap cerita tentang CF ini sekiranya kemunculan Di Negeri Belalang, Tik! Tik! Tik!, Sesudah Perang, Jika Esok Tiba, Dalam Kabus buah tangan Anwar Ridhwan dalam CF itu dilihat sambil lalu saja? Apakah ia tak punya apa-apa makna?

Apakah ‘kecerdikan’ serta sikap keras lagi basi para birokrat rumah sastera, Penerbitan Niri dalam memahami dunia sastera global tidak menceritakan betapa dhaifnya ilmu serta ‘kepakaran’ yang mereka miliki? Apakah pelbagai pihak yang disindir tidak ngilu tulang sum-sumnya membaca sindiran Pak Samad?
Akhir sekali, apakah tidak mungkin teks-teks seperti ini atau yang sekelas dengannya menjadi teks KOMSAS?  Atau ia terlalu berat untuk otak anak-anak kita berfikir?

Sekian, wallahuaklam.


Kassim Muhamad
Wangsa Maju,
3 Julai 2015.


No comments: