Wednesday, June 24, 2015

Bila organisasi dijadikan toy





Perihal alat permainan, toys

Semua kanak-kanak gemar bermain, maka mereka gemar sekali memiliki alat-alat permainan, toys. Begitulah umumnya.  Jarang kita lihat kanak-kanak tidak gemar bermain kecuali yang sakit atau yang sakit-sakitan.

Oleh kerana anak-anak gemarkan barang-barang permainan, toys maka ibu bapa kerap belikan anak-anak mereka toys. Jenis, bentuk dan jumlah permainan yang dibelikan ibu bapa bergantung kepada kemampuan masing-masing.  Yang tebal poketnya dan yang terlalu ‘sayangkan’ anak-anak mencurahi kehidupan anak-anaknya dengan pelbagai jenis permainan. Jangan salah faham, ini semua untuk kebahagiaan anak-anak juga.

Bukan anak-anak manusia saja yang gemar bermain.  Anak-anak kucing juga gemar bermain sehinggakan ada perbandingan, simile Inggeris yang mengabadikan kegemaran ini ― as playful as a kitten.

Apakah ini bermakna anak-anak manusia adalah anak-anak kucing?


2.0  Orang tua juga sukakan alat-alat permainan

Pernah temui iklan adult toys terpampang di pelbagai tempat; tembok-tembok usang, tiang-tiang  elektrik, telefon yang tegak lurus seakan-akan mahu menerobos langit atau pun papan-papan iklan haram dan sebagainya?  Ini bisnes. Orang-orang bisnes akalnya memang mulus dan menjaja toys juga adalah bisnes dan kita sebagai calon pemangsa perlu berhati-hati agar tidak terperangkap.  Jika bermasalah, silalah ke doktor.

Para politikus sebagai orang-orang tua (baca: orang dewasa), juga gemar memiliki dan bermain-main dengan toysnya. Skala ―besar kecilnya, murah mahal ― toys ini bergantung kepada kedudukan orang-orang politik.  Yang besar dan berkuasa tentunya berupaya membina kompleks pentadbiran maha mega, menara berkembar atau pun kereta api di lereng gunung sebuah pulau.

Sementara itu pemimpin politik yang kurang berupaya boleh saja bermain-main dengan Partinya.  Sebagai Imam Besar parti, dia bolehlah keluarkan arahan mengikut kehendak dan seleranya. Dia juga boleh berdiam diri walaupun pada saat dan ketika itu, Partinya amat perlu didisiplinkan.

Apakah tidak menyedihkan jika Parti yang mengambil masa bertahun-tahun untuk bertatih, diasuh  dan dibesarkan oleh mereka yang terdahulu itu, DIPERLAKUKAN sebagai sebuah toy, alat permainan?

Wahai saudaraku, kita bercakap tentang pemimpin dan tanggungjawab sebuah kepimpinan yang bertanggungjawab. Pemimpin bukanlah anak kucing yang gemarnya bermain.

Wallahuaklam.


No comments: