Menulis untuk
perubahan.
(Tulislah dalam bahasa Melayu atau ‘ungkapan politiknya’, bahasa Malaysia)
(Tulislah dalam bahasa Melayu atau ‘ungkapan politiknya’, bahasa Malaysia)
Jika kita ingin
ikuti pandangan@buah fikiran yang
berbeza iaitu pelbagai pandangan yang menongkah arus, pandangan yang sering mengkritik
kerajaan Umno-BN ― seolah-olah tidak ada kebaikan yang dibuat oleh kerajaan Melayu-Islam
ini ― kita hanya temui tulisan-tulisan dalam bahasa Inggeris. Ya, entah mengapa kita dapati mereka yang
kritis seperti Mariam Mokhtar, KJ John, Anil Netto dan Wong Chin Huat (sekadar
menyebut beberapa buah nama), hanya menulis
dalam bahasa Inggeris. Mereka selesa dan
cekap memberikan pandangan dalam bahasa Inggeris.
Para penulis
kritis bukan Melayu yang sering menulis dalam bahasa Malaysia boleh dikira
dengan jari. Kita mungkin sudah biasa
dengan tulisan dan buah fikirannya Lim Hong Siang dan Utaya Sankar SB. Mohsin
Abdullah lebih kerap menulis dalam bahasa Melayu walaupun sesekali disampaikan
juga buah fikirannya lewat bahasa Melayu. Semangkol AK47 mantap dan berkesan
dalam bahasa Inggeris walaupun kita sering temui tulisan-tulisannya dalam
bahasa Melayu. Ertinya, dalam memberikan buah fikiran, kelihatannya bahasa
Inggeris itu lebih popular dalam kalangan penulis kritis kita. Adakah sebab-sebab tertentu, kenapakah begitu
keadaannya?
Saya benar-benar
mengharap agar tulisan-tulisan DinMerican, Selena Teh atau Ramachandran juga
dapat muncul dalam versi bahasa Melayunya.
Tulisan-tulisan mereka umumnya kritis berani, berjaya mendedahkan pelbagai
sudut pandangan yang kekadang tak terfikirkan. Stephen Ng pun menyakinkan hujah
dan sudut pandangannya, malangnya, Stephen kita temui hanya lewat bahasa
Inggeris. Pendek kata, mereka yang menulis untuk membuka mata rakyat
ini lebih ramai menuang dan menggentelkan idea dan buah fikiran mereka lewat
bahasa Inggeris. Ah, betapa malangnya
segala buah fikiran yang kritis-berani, pembuka
mata rakyat yang dilahirkan oleh para penulis kritis seperti di atas HANYA muncul dalam bahasa Inggeris; bahasa yang TIDAK dimengerti
oleh sebahagian besar para Mak Cik dan Pak Cik di negara kita. Para Mak Cik dan Pak Cik di segala ceruk dan
pelosok negara kita TIDAK tahu keadaan dan kedudukan sebenar negara mereka!
Itulah
sebabnya mengapa saya sangat gembira
sekali (superlative adjectives yang sengaja diulang-ulang) pabila Wong Chin Huat
lebih sering menulis dalam bahasa Melayu walaupun jelas dia lebih luwes dan ‘semula
jadi’ bila berbahasa Inggeris. Bila lagilah yang lain-lain mahu ikuti jejak
Wong Chin Huat? Percayalah, mereka mesti sampaikan
buah fikiran dalam bahasa Melayu. Percayalah,
untuk membawa perubahan menyeluruh yang kita
harap-harapkan dan perjuangkan itu, silalah tulis dalam bahasa Melayu (atau politikya, bahasa Malaysia.
(Sila ikuti
tulisan Wong Chin Huat berjudul “Biadapnya DAP hina orang Islam dengan bina
masjid” dalam the Malaysian Insider).
No comments:
Post a Comment