Thursday, November 14, 2013

Bagaimana Pas memusuhi dirinya (Bahagian 2)



Bagaimana Pas memusuhi dirinya?
(Bahagian II)


Pertama, mari kita lihat latar peristiwa yang menjadi backdrop bagaimana Pas boleh memusuhi dirinya.

Faktor pertama: Ramai yakin Pakatan Rakyat akan menang

PRU13 yang lalu, khususnya di saat-saat akhirnya, memperlihatkan bagaimana sifat sebenar manusia itu terdedah jua,  akhirnya. Ketika itu begitu ramai manusia Malaysia ‘yakin’ bahawa PRU13 akan menyaksikan lucutnya Umno sebagai pemerintah Malaysia. Pada subuh 6 Mei 2013 muncullah kerajaan baru Pakatan Rakyat.  Dan projek pertamanya ialah menurunkan harga minyak.

Hari-hari di ambang PRU13 adalah the moment of truth, hakikat saat-saat sebenar apakah sebenarnya itu Pakatan Rakyat. Ya, sementara orang ramai sedang menunggu saat untuk merayakan kemenangan dan pertukaran kerajaan selepas lebih setengah abad merdeka, di sebalik tabir ada yang sangat ligat mencaturkan agenda.  Mereka sibuk menjadi king makernya.

Oleh kerana hari-hari di ambang PRU13 adalah satu kepercayaan bahawa rakyat Malaysia bakal memperolehi sebuah kerajaan yang baru, maka soalan paling utama ketika itu ialah siapakah Perdana Menterinya?  Soalan ini timbul kerana ada yang berpendapat itulah saatnya dia juga perlu tampil menjadi king makernya.  Pada hal sebelum ini,  DAP sudah siang-saing dan berkali-kali pula mengumumkan siapakah calon PM pilihannya. Bukankah tindakan di sebalik tabir seperti ini adalah perbuatan memusuhi diri sendiri?  Sebagai contoh,  bukankah tindakan di sebalik tabir di saat-saat selesainya pada PRU12 di Selangor membayangkan tindakan memusuhi diri sendiri?

Faktor keyakinan tinggi bahawa Pakatan Rakyat akan menjadi kerajaan Malaysia yang baru membuat sestengah pihak terkelam punca dan kelabu mata.  Itulah the moment of truth, hakikat saat-saat sebenar,  makna perjuangan yang telah diterjemahkan, termasuk yang telah diterjemahkan oleh para pejuang Islam sendiri.  Dengan kemenangan yang hampir-hampir pasti itu, mungkin ada sesetengah orang mula berfikir Apakah adil jika dia yang sekian lama berjuang tidak layak mendapat sedikit keuntungan dari PRU13 itu? Maka kita pun menyaksikan kes-kes perebutan kerusi dan pertempuran dalaman yang tidak dapat disembunyikan itu.  Sila ambil maklum, ini bukanlah hanya fenomena Pas semata-mata tapi ia adalah masalah sepak terajang politik dan tabiat para pengamalnya.  Dan sebagai sebuah gabungan parti-parti politik, Pakatan Rakyat tidaklah sunyi dari cabaran perebutan kerusi.  Bukankah ahli-ahli politik Pakatan Rakyat juga manusia-manusia biasa?

Itu  sejarah silam. Kalau pun relevan ia hanyalah ikhtibar yang baik direnungi untuk dijadikan panduan dalam amalan politik sihat dalam satu gabungan dan pakatan, khususnya sebagai persediaan PRU14 nanti.  Jika amalan-amalan  negatif ini tidak berlaku lagi, maka dalam PRU14 nanti tidak akan ada suara-suara gelap seperti siapakah Perdana Menteri kita dan/atau siapa pula calon yang TIDAK dapat TIDAK mesti dijadikan calon kerana itulah kehendak ketua parti walaupun rakyat tempatan sangat menyampah dengan calon yang diketengahkan itu.  Bukankah begitu?

Apa lagi faktor yang membuat Pas itu menjadikan dirinya musuhnya?


 


No comments: