Monday, November 25, 2013

10 Buah Tangan Presiden, TGHA



Apa itu ‘RAHMAT UNTUK SEMUA’?


Dari fbnya Dato’ Tarmizi Mohd Jam:


“Catatan kelainan pada kali ini apabila Ustaz Abdul Hadi pada fasa akhir ucapannya menggariskan 10 arahan yang mesti dilaksanakan aktivis PAS di setiap peringkat organisasi.


Pertama, beliau mahu semua pihak dalam Dewan, Lajnah, Badan Perhubungan PAS Negeri dan Wilayah serta Kawasan mesti mempunyai kefahaman jelas terhadap tema dan kemudiannya bertindak merangka perancangan dan strategi pelaksanaan agar intipati ini dapat berada dalam masyarakat.

Kedua, Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan diminta perlu lebih dinamik dalam gerakerja tersusun yang mempunyai sasaran bulanan dan tahunan, menambahkan ahli yang berkualiti, mendekati medan baharu dalam masyarakat, dan mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus program dalam kalangan ahli baharu atau masyarakat awam di luar lingkungan ahli jamaah.

Ketiga, seluruh jentera PAS di Sabah Sarawak diminta berusaha gigih untuk menyedarkan rakyat tentang hak mereka rakan penting dalam pembentukan Malaysia supaya tidak dibuli oleh Umno-BN disetiap masa dan ketika. PAS di Sabah dan Sarawak mesti melengkap dan memperkemaskan organisasi, mempertingkatkan kerja dakwah, menghilangkan phobia masyarakat di sana terhadap PAS, dan seterusnya merakyatkan PAS.

Keempat, Dewan Ulama pula merupakan nadi denyutan jamaah digesa meneruskan perbincangan ilmiah dan seminar khusus dalam memahami persoalan maqasid syariah, siyasah syari’yyah, perlu dialsaksankan dari masa ke semasa untuk menangani ketidakfahaman dalam masyarakat dan mampu menyediakan penyelesaian yang sesuai untuk zaman.

Kelima, Dewan Pemuda pula diminta sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam dan kefahamannya, serta bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga mampu untuk melakukan islah di dalam masyarakat Malaysia. Inovasi baharu dakwah bersifat inklusif perlu diterokai.

Keenam, Dewan Muslimat perlulah mendepani berbagai isu dalam bahasa mudah dan menyentuh hati nurani masyarakat dalam negara, bahkan menerokai isu-isu antarabangsa kerana kaum wanita menjadi penentu kepada wajah umat dan negara.

Ketujuh, memperluaskan peranan Dewan Himpunan dengan modul-modul latihan khusus kepada ahlinya. Modul ini perlu dibangunkan, untuk melahirkan ahli Dewan Himpunan yang mampu bergerak dengan lebih baik lagi sebagai satu daripada sayap parti yang penting.

Kelapan, Kawasan dan Cawangan perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas dan dipantau oleh pimpinan negeri dengan menjadikan program tarbiyah dan latihan agenda yang penting dalam aktiviti Kawasan dan Cawangan.

Kesembilan, Ahli dan kepimpinan PAS yang memikul amanah sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Adun, Ahli Majlis dan Anggota Lembaga Pengarah, Ketua Kampung dan semua yang berkaitan mesti melaksanakan amanah sepenuhnya mengikut adab dan batas-batas akhlak.

Kesepuluh, ahli-ahli PAS secara keseluruhannya mesti mempunyai disiplin dan akhlak yang tinggi, merapatkan saf ahli, mempunyai hubungan dengan Allah yang kuat dan terlibat dalam aktiviti majlis ilmu, usrah, tamrin, muqayyam dan sebagainya dengan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan waqi’ dan keupayaan masing-masing.

Di akhir ucapan, Ustaz Abdul Hadi mengajak semua ahli PAS memperteguh jamaah, perkukuh saf perjuangan, murnikan fikrah dan mantapkan keyakinan kepada janji Allah SWT.”

 
2.0 Apakah tindakan seterusnya?


Presiden, sebagai nakhoda atau pun mengikut bahasa bisnes sekarang ini,  CEOnya PAS telahpun menggariskan buah fikiran dan pemikirannya tentang apa yang perlu dilakukan oleh seluruh bala tentera parti.  Jika PAS sebagai satu jemaah Islam yang berdisiplin, maka sepuluh buah tangan Presiden ini perlulah dibaca, diteliti, difahami, direnungi, dihadam, dikupas, dibahas, diperbaiki (jika perlu) DAN diterjemahkan ke dalam bentuk pelan tindakan yang jelas supaya mudah difahami untuk dilaksanakan.  Untuk memastikan pelan tindakan ini berjalan sepertimana sepatutnya mengikut jadual yang ditetapkan, maka kemajuan pelaksanaan (pelan tindakan) ini mestilah dipantau dengan teliti dan secara berkala.


Sebagai contoh arahan pertama ialah memahami dengan jelas tema Muktamar ke 59 yang berbunyi, “RAHMAT UNTUK SEMUA”.  Apakah yang dimaksudkan dengan ‘RAHMAT’ itu dan siapa saja yang ‘SEMUA’ itu?


Untuk itu, sekadar contoh kita ingin senaraikan soalan untuk renungan bersama, misalnya:


1) Untuk mereka yang menggesa supaya Islam tidak ditinggalkan di pintu Putrajaya, apakah RAHMAT yang mahu dibawa itu telah difahami oleh SEMUA? 

2) Apakah dan adakah angka dan statistik tentang RAHMAT dan SEMUA itu?  Adakah RAHMAT yang abstrak itu boleh dihayati oleh SEMUA termasuk kira-kira oleh hampir separuh rakyat Malaysia?    

3) Adakah RAHMAT itu sampul, cheque atau habuan berupa alaBR1Mnya Umno itu? (BR1M yang katanya telah menggoyahkan iman manusia Malaysia termasuk haji dan lebai di kampung-kampung).  Adakah yang orang-orang Melayu-Umno tegar yakin dengan RAHMAT yang mahu dibawa oleh Pas itu?  Jika tidak apa dan bagaimana Pas boleh lakukan agar mereka faham dengan lebih jelas lagi apakah sebenarnya RAHMAT itu?  Apakah bezanya RAHMAT yang diungkapkan oleh TGHA itu dibandingkan dengan rahmat versi Najib dan versi khutbah JAKIM kelak? (Kita percaya setelah ini Umno, para menteri dan para semaknya akan sibuk memperkatakan tentang RAHMAT)


Senarai soalannya masih panjang dan ini baru buah pemikiran yang pertama.  Bayangkan kerja buat yang perlu dilaksanakan sekiranya SEPULUH buah tangan TGHA itu diperincikan dengan mendalam untuk tindakan lanjut.  Bagi kita, inilah yang mesti dilakukan oleh jemaah Pas setelah selesainya bermuktamar menyusun langkah untuk bertindak.  Dalam konteks ini, kita ingin sekali melihat mereka yang TIDAK mahu Islam dipecat di pintu Putrajaya itu bekerja lebih keras.  Kita ingin melihat tindakan bukannya - laungan lantang agar hukum Islam ditegakkan. 


Wallahuaklam.




No comments: