Saturday, November 23, 2013

Cikgu Ishak Surin





Dinsman (Hrkh 411, 22/11)
Penghargaan untuk Cikgu Ishak Surin


Alhamdulillah, program “Seni-budaya Kampung Melayu di Ibukota” pada Sabtu 16 November lalu menjadi satu lagi program seni-budaya Paksi yang berjaya. Selepas program bersama nelayan-nelayan perahu kecil di Kuala Pahang pada November 2008 dulu, inilah pula satu lagi program seni-budaya anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) yang benar-benar merakyat bersama dengan golongan marhaen dan mustadh’afeen.

Sebelum ini memang ada program seperti Himpunan Seniman-Budayawan di surau Kg Banda Dalam (Disember 2010), Himpunan Seniman-Budayawan di Felda Sg Tengi, Hulu Selangor (Disember 2011) dan Jelajah Budaya bersama kenduri kahwin di Tanjung Karang (Disember 2012). Tetapi semua itu tidak begitu melibatkan rakyat setempat ke dalam proses kerja seni-budaya itu sendiri.

Program “Seni-budaya Kampung Melayu di Ibukota” Sabtu lalu berbeza. Ia memang dijayakan bersama dengan orang-orang kampung yang terlibat. Kalaulah tanpa penglibatan orang-orang kampung itu tentulah program ini tak akan berjaya. Dan alhamdulillah, ramai orang kampung yang berkenaan itu hadir – Kg Chubadak, Kg Banda Dalam, Kg Puah Seberang, Kg Padang Balang.

Mereka hadir dengan berpakaian hitam. Mereka hadir dengan berkompang. Mereka hadir dengan membawa pelbagai peralatan seni, keratan akhbar, dan barang-barang lama yang bernilai seni-budaya seperti gendang lama, pisau, pasu, basikal dan sebagainya. Dan barang-barang lama itu dipamerkan di lobi auditorium dewan Cina itu (KLSCAH).

Yang memimpin mereka ialah Cikgu Ishak Surin – Ketua Kampung Kg Banda Dalam; Pengerusi Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan (Muafakat); Pengerusi Pertahankan Taman Merdeka Negara (PTMN); Pengerusi Pertahan-kan Warisan Kita; Imam dan Penasihat surau Madrasah Tarbiyah; dan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu. (Pernah menjadi calon Parlimen Setapak dalam PRU 1974).

Dalam beberapa keluaran lalu saya sudah ceritakan bagaimana tercetusnya idea untuk mengadakan program “Seni-budaya Kampung Melayu di Ibukota”. Ia merupakan sambutan Ishak Surin sebagai Ydp PAS Batu terhadap hasil Dialog Budaya Paksi dengan Presiden dan pimpinan tertinggi PAS pada 20 Oktober. (Lanjutan dialog Paksi dengan Naib Presiden PAS Mahfuz Omar mengenai gagasan ‘Kuasa Budaya Dunia’nya).

Sebenarnya Cikgu Ishak Surin bersama dengan penduduk-penduduk tujuh kampung warisan di sekitar Batu 4 Jalan Gombak sudah lama bergerak dengan pelbagai ikhtiar berunding dengan pihak berkuasa (termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) agar mempertimbang-kan semula rancangan untuk mengubah kampung-kampung warisan tersebut menjadi kawasan komersil dalam projek pembangunan River of Life (ROL) dan sebagainya.

Dan gerakan itu menjadi jelas dan lantang apabila pihak DBKL membentangkan Draf KL 2020, pada tahun 2008. Sejak itu banyaklah sudah ikhtiar dan perjuangan yang dipimpin oleh Cikgu Ishak. Tidak terhad kepada kampung-kampung Melayu di sekitar Jalan Gombak lagi, bahkan kepemimpinannya juga diperlukan oleh kumpulan Cina yang berjuang mempertahan-kan bangunan-bangunan warisan di Jalan Sultan KL, dan kumpulan India yang berjuang untuk Kampung Railway, Sentul.

Yang terbaru ialah kumpulan NGO yang membantah cadangan projek bangunan 118 tingkat di sekitar kawasan Stadium Merdeka, terdiri kebanyakannya daripada masyarakat Cina, iaitu kumpulan yang dinamakan Pertahankan Taman Merdeka Negara (PTMN). Cikgu Ishak dilantik sebagai Pengerusi NGO tersebut.

Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pula mulai terlibat dengan gerakan bersama Cikgu Ishak ini apabila kita terpanggil untuk melihat kampung-kampung yang diancam oleh gergasi kapitalisme rakus bernama ‘pembangunan’ itu, dari kacamata dan kacahati para penyair, untuk dinyatakan melalui penciptaan puisi. Itulah maka terhasilnya buku Antologi Puisi 56 Penyair (2010).

Bertolak dari situ para aktivis Paksi terus berfikir, merenung dan mengkaji persoalan pembangunan di ibukota yang menjadi musuh kepada penghuni-penghuni asal beberapa kampung Melayu yang masih bertahan di Kuala Lumpur.

Kenapakah kampung-kampung yang berupa nadi dan jantung asal bandar Kuala Lumpur ketika ia mulai dibuka dan dibangunkan kira-kira 150 tahun dulu itu mesti dimusnahkan? Apakah kewujudan kampung-kampung Melayu itu sudah tidak bermakna apa-apa lagi bagi masyarakat kota kosmopilitan Kuala Lumpur hari ini?

Apakah tindakan kita memusnahkan bukti-bukti dan nilai-nilai sejarah warisan kehidupan para peneroka bandar Kuala Lumpur itu suatu tindakan yang betul, dan tidak salah? Kenapa kampung-kampung itu tidak boleh wujud seiringan dengan apa yang dikatakan pembangunan itu, sedangkan padang golf yang lebih luas daripada itu boleh?

Persoalan-persoalan itu menjuruskan pemikiran Paksi kepada bertanya apakah sebenarnya yang kita musnahkan apabila kita memusnahkan kampung-kampung Melayu di ibukota? Tidakkah yang dimusnahkan sebenarnya ialah nilai-nilai kehidupan para penghuni kampung-kampung Melayu itu, termasuk adat resam kita, seni-budaya kita, nilai-nilai yang lebih mengutamakan kemanusiaan, nilai-nilai hidup beragama, bersyari’at dan sebagainya?

Dan akhirnya Paksi bersama Cikgu Ishak mendapat satu rumusan bahawa kampung-kampung Melayu di ibukota itu sendiri sebenarnya adalah ‘seni-budaya’, yang menyimpan pelbagai khazanah berharga dari tamadun besar Melayu-Islam, dan menjadi roh kemanusiaan kepada kehidupan kota kosmopolitan Kuala Lumpur yang semakin didominasi dan dicengkam oleh semangat kapitalisme yang rakus kebendaan (materialisme).

Rupa-rupanya Cikgu Ishak tidak hanya berjuang untuk mempertahankan tanah dan rumah yang menjadi milik keluarganya dan kaum kerabatnya sahaja, tetapi dia sebenarnya berjuang untuk mempertahankan ‘seni-budaya’ Melayu-Islam yang sangat berharga untuk masyarakat dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Memang istilah ‘seni-budaya’ di sini membawa maksud yang lebih luas daripada yang selalu difahami oleh kebanyakan orang. Dan memang maksud ‘seni-budaya’ yang luas inilah yang diperjuangkan oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sejak ia ditubuhkan Jun 2008 dahulu. Makanya apabila Mahfuz Omar menyuarakan gagasan ‘Kuasa Budaya Dunia’ di Parlimen pada 15 Julai itu, Paksi terus menyambutnya, kerana ia memang bersesuaian dengan maksud seni-budaya yang diperjuangkan oleh Paksi.

Dan dengan maksud seni-budaya yang luas inilah juga (maksud yang lebih sesuai dengan nilai dan hukum Islam), Paksi mendapati banyak kesesuaian untuk bersama dengan gerakan rakyat menuntut kelestarian kampung-kampung warisan yang dipimpin oleh Cikgu Ishak Surin.

Sekali pandang memang tidak kelihatan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan dalam perjuangan yang dipelopori oleh Cikgu Ishak itu. Tetapi cubalah berfikir dengan agak serius sambil mempersoalkan berapa banyak sudah nilai-nilai Islam dan kemanusiaan yang hilang sedikit demi sedikit, dan sedang digantikan dengan nilai-nilai kebendaan yang rakus, tak peduli adab, mengejar hiburan berlebihan, dan mengutamakan kepentingan diri di atas segala-galanya; hingga berleluasanya pelbagai jenayah dan gejala sosial yang tak terbendung itu.

Di situlah perlunya “Kampung Melayu di Ibukota” terus dikekalkan, kerana ia adalah sebahagian daripada roh dan benteng bagi mempertahankan aqidah dan cara hidup Islam dalam masyarakat Melayu bandar.

Dan di situlah kita melihat pentingnya usaha dan perjuangan Cikgu Ishak Surin. Maka saya dan kawan-kawan Paksi berfikir – kenapakah Cikgu Ishak Surin dibiarkan ‘bersendirian’ dalam perjuangan yang sangat diperlukan oleh masyarakat kita itu?

Kenapakah orang-orang PAS khasnya tidak memberikan sokongan yang sewajarnya kepada perjuangan beliau? Sedangkan golongan mustadh’afeen di sekitar ibukota Kuala Lumpur dari pelbagai kaum telah banyak yang menyatakan harapan kepadanya, agar dia terus memimpin mereka menuntut hak dan keadilan dari pihak yang berkuasa.

Ternyata perjuangan yang ikhlas itu tanpa dirancang dan tanpa disedari pun ia telah menyentuh hati manusia tanpa mengenal perbezaan kaum, bangsa dan agama.

(Ini adalah satu contoh aktiviti ‘seni-budaya’ yang saya selalu maksudkan apabila saya mengajak para pimpinan PAS supaya memberi sedikit perhatian kepada seni-budaya. Bukan sekadar aktiviti berpuisi, menyanyi, berlakon, melukis dan berteater sahaja. Cikgu Ishak adalah contoh YDP PAS yang mengerti maksud dan kepentingan seni-budaya.)

Sebenarnya Cikgu Ishak sedang melakukan sesuatu yang sangat penting dan besar kesannya, bukan sahaja terhadap seni-budaya, tetapi juga terhadap kemanusiaan dan agama Islam. Maka sewajarnyalah beliau diberi penghargaan yang setimpal.

Kalau boleh saya mencadangkan kepada Muktamar PAS ke-59 yang sedang berlangsung sekarang ini, agar mengambil inisiatif memberi penghargaan (dalam apa bentuk yang dikira sesuai) kepada kerja-kerja dan sumbangan jasa serta perjuangan yang dilakukan oleh Cikgu Ishak Surin selama bertahun-tahun itu.

Kepada Cikgu Ishak saya mohon maaf kerana tidak memohon izin terlebih dahulu sebelum menyatakan cadangan ini. Dan maaf jua dimohon kalau cadangan ini tidak disenangi.

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)



No comments: