Penyesalan sebelum mati
Dalam sepucuk
surat kepada FMT, Free Malaysia Today, November 22, 2013, KT Maran yang bekerja dalam bidang perawatan paliatif,
(palliative care ― ‘is medical care provided
by physicians, nurses and social workers that specializes in the relief of the
pain, symptoms and stress of serious illness’) menyenaraikan lima perkara yang para
pesakit sering kesali sebelum mereka dipanggil pulang. Berikut ialah ‘garis-garis kasar’ apa yang KT
Maran nukilkan. Ia ditulis semula dengan
memakai sudut pandang seorang AKU:
Pertama: Betapa bagusnya jika aku punya kekuatan diri untuk
nikmati kehidupan yang kudambakan ― dan bukannya kehidupan sepertimana yang orang lain harapkan. Di saat-saat menjelang ajal, aku kecewa kerana tidak dapat memenuhi walaupun separuh daripada impianku. Dalam perjalanan hidup ini, alangkah bagusnya jika kupenuhi sebahagian
daripada mimpi-mimpiku itu. Kini aku menyesal. Semuanya terlambat
apabila kesihatanku mulai merosot.
Kedua:
Alangkah bagusnya jika aku tidak bekerja terlalu keras. Aku kehilangan zaman mudaku dan juga nikmat kehidupan
bersama teman hidupku. Sekiranya kusederhanakan gaya hidupku dan peka dengan
pilihan yang kubuat, aku tak perlukan pendapatan sepertimana yang
kufikirkan. Dan dengan membuka ruang yang
lebih luas untuk kehidupan, aku menjadi lebih bahagia dan menemui peluang-peluang
baru yang sesuai dengan gaya hidup yang kupilih.
Ketiga:
Alangkah bagusnya jika kumiliki kekuatan untuk menyatakan perasaanku. Aku tak perlu merancuni diri untuk menjaga
hati orang lain.
Keempat:
Alangkah bagusnya jika kuterus hubungi teman-temanku. Kesibukan telah merampas makna kehidupan
bersahabat.
Kelima: Alangkah
bagusnya jika kubahagiakan hidup dan kehidupanku. Di saat-saat kematian ini, barulah kurasakan bahawa akhirnya kebahagiaanlah
paling utama buatku.
2.0
Ada yang berkata, kematian ini hanyalah kiamat pertama. Untuk mereka yang mempercayainya, sesungguhnya ada lagi kiamat besar yang bakal menanti; saat segala hutang piutang dihitung dan untuk dilunasi. Doa kita ialah Ya, Rabb, permudahkanlah. Amin.
No comments:
Post a Comment