Wednesday, November 20, 2013

Cabaran masa depan dan harapan kepada PAS



Cabaran masa depan dan harapan kepada PAS
 
1.0 Cabaran masa depan PAS

Ada yang bertanya, apakah cabaran-cabaran masa depan PAS?  Walaupun cabarannya banyak, yang berikut ini dikira relevan: 

Satu cabaran besar kepada PAS ialah kesungguhan, kemampuan dan kreatitivi PAS dalam menterjemahkan sisi-sisi keindahan Islam ke dalam amalan-amalan yang mudah dilihat, yang dapat dirasakan oleh seluruh rakyat Malaysia.  Sebenarnya ini jugalah cabaran paling getir kepada sekalian orang Islam.  Rakyat jelata ― Islam dan juga yang bukan Islam ― memerlukan contoh-contoh nyata kehebatan Islam yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya fasa cakap-cakap dan segala syarah tentang segala yang muluk-muluk dan indah-indah Islam itu ― termasuk oleh para pemimpin PAS sendiri ― bukan saja tidak begitu berkesan tapi kerap kali pula mencederakan Islam apatah lagi sekiranya tingkah laku para pemimpin PAS itu sendiri dilihat sebagai tidak begitu Islamik.  Ertinya dalam kehidupan seharian,  PAS yang mahu memerintah tidak boleh semata-mata kaya retorik tapi dalam dunia nyata@realitinya,  kering dan tandus contoh tauladan Islamiknya.  Malah sebarang gelagat yang dilihat sebagai tidak Islamik, sengaja dibuat-buat menyebabkan rakyat menjadi skeptikal; lalu menjadi ragu-ragu dengan mesej serta imej kesyumulan Islam yang mahu dipamerkan itu. 


Dalam konteks contoh dan tauladan yang nyata ini, salah satu kejayaan besar TGNA sebagai pemimpin-ulamak dan ulamak-pemimpin ialah keberkesanan Tok Guru yang satu itu menterjemahkan hal-hal yang paling mudah dan sederhana tentang Islam sehingga sinar dan roh serta nilai-nilai Islam yang syumul itu dapat dilihat dan dirasakan oleh rakyat Malaysia sekalian.  Ia menjadi buah mulut orang-orang bukan Islam.  Tentunya salah satu aspek yang telah menawan begitu banyak dan sedemikian banyak hati manusia Malaysia ialah batang tubuh, watak dan perwatakan TGNA itu sendiri. Apakah segenap lapisan kepimpinan PAS bersedia meniru dan memikul cabaran seperti ini?


Cabaran lain yang tidak kurang pentingnya ialah kebolehan, kemampuan, kesungguhan dan keikhlasan para pemimpin PAS memimpin Malaysia dengan segala kepelbagaiannya.  Misalnya di samping iltizamnya mahu mematuhi tuntutan Ilahi, ‘kehendak dan arahan Islam’ mislanya seperti pelaksanaan hukum hudud itu ― pada waktu yang sama ― adakah dan apakah para pemimpin PAS khususnya para ulamaknya sudah cukup sensitif, peduli dan begitu yakin dengan pemikiran dan tindakan mereka dalam menangani isu-isu kesejahteraan, segala kebimbangan dan ketakutan,   sensitiviti dan hak kelompok-kelompok minoriti negara kita? Ertinya apakah para pemimpin PAS termasuk para ulamaknya juga berupaya menjuarai hak dan sentiviti pelbagai kelompok minoriti Malaysia? Adakah para pemimpin PAS termasuk para ulamaknya sedar dan peka bahawa segala tindak tanduk mereka dalam menterjemahkan mesej ‘kehendak dan arahan Islam’, bahawa di sana masih ada lagi mesej dan arahan keadilan Islam yang sentiasa diperhatikan dan diharap-harapkan pembelaannya dan pelaksanaannya oleh pelbagai kelompok minoriti negara kita?  Ringkas kata, apakah para pemimpin PAS boleh diandalkan untuk menjadi pemimpin sebuah keluarga besar yang rencam seperti Malaysia?             


2.0 Harapan kepada PAS

Lantas apakah harapan rakyat Malaysia kepada PAS?


Harapan dan keinginan yang didamba-dambakan oleh rakyat Malaysia selama ini, semakin hari  kelihatannya kian pudar dan semakin sirna dari impian mereka.  Dalam suasana yang cukup suram ini, rakyat tercari-cari, siapa lagi yang boleh mereka andalkan.  PAS sebagai parti komponen Pakatan Rakyat menjadi salah satu harapan mereka.  Rakyat yang begitu mengharapkan kesejahteraan dan keadilan,  kini beralih kepada PAS untuk memenuhi, memainkan peranan dan memikul tanggungjawab berat dan besar tersebut.  Ya, tidak syak lagi, kini PASlah menjadi salah satu tempat pilihan rakyat Malaysia menaruh harapan untuk mengadu, berlindung dan mempertaruhkan nasib dan masa depan mereka.  Ertinya,  rakyat dengan segala harapan yang menggunung itu, mengharapkan sebuah parti yang tidak akan lupa dirinya apabila ia diangkat menjadi Sang Penguasa.  Rakyat begitu mengharapkan Sang Penguasa baru ini lebih mampu mengurustadbir kemenangan yang diamanahkan itu dengan penuh tanggungjawab pula.


Untuk mencapai harapan dan cita-cita itu,  rakyat begitu mengharapkan PAS yang segar mantap berwawasan, progresif, toleran, terbuka, berdisiplin dan merakyat kerana ia adalah tempat segala rakyat Malaysia mempertaruhkan nasib dan masa depan mereka. Ertinya,  rakyat Malaysia tidak mahu melihat para pimpinan PAS bergeseran (baca: bertelagah) misalnya untuk menjuarai Pertandingan Sebagai Pemelihara Melayu dan Islam yang tulen.  PAS yang yakin diri (baca:tidak rendah rendah) tidak perlu sebarang tongkat ajaib untuk memelihara Melayu dan Islam, apatah lagi tongkat milik dan dihulurkan oleh Umno.  Melayu,  apatah Islam tak perlu sebarang tongkat untuk terus tegak di bumi Allah ini.  Apakah PAS yakin dengan cabaran ini?


Untuk mencapai hasrat itu,  PAS mestilah menjadi sebuah organisasi yang diurustadbir sebagai organisasi moden, progresif, terbuka, merakyat, telus yang sangat mantap disiplinnya.  PAS yang berdisiplin tinggi mestilah bertindak sebagai organisasi yang menghormati peraturan dan disiplin yang mantap dan kukuh.  Ini bermakna siapa saja yang melanggar disiplin parti tanpa mengira siapakah pelanggarnya mestilah diadili dengan saksama.  Salah satu contoh persoalan disiplin yang seolah-olah dibiarkan berlalu begitu saja ialah segala ucapan, komen terbuka yang bukan saja mengelirukan tapi juga mencederakan parti ialah isu nama Allah.  Ya, isu kontroversi yang disengajakan yang diangkat oleh Umno seperti nama Allah itu ialah salah satu daripada contoh persoalan disiplin tersebut.


Akhir sekali, rakyat begitu mengharapkan agar segala gerak kerjanya PAS baik yang dalam konteks jangka pendek dan juga yang berjangka panjang, semestinyalah dilandasi oleh pemikiran dan pendekatan yang strategik, terancang dan tersusun.  Sehubungan itu PAS mestilah yakin untuk memanfaatkan segala peranan, pengalaman dan kepakaran pelbagai NGO dan NGI yang prihatin, bersimpati dan yakin dengan perjuangan PAS untuk bersama-sama membantunya.  Bukankah kerja yang terancang itu jauh lebih berkesan daripada ‘perjuangan tangkap muat’?  Dan bukankah ‘memberi’ itu adalah salah satu bentuk komunikasi yang sangat berkesan?  PAS sebagai parti politik masa depan yang yakin diri mestilah mem’beri’kan segala peluang dan kesempatan kepada NGO dan NGO untuk membantunya.  Apakah PAS cukup bersedia untuk berbuat demikian?

Wallahuaklam.



No comments: