Wednesday, November 20, 2013

Memusuhi diri dengan menjual credibility



Memusuhi dan menjual kebolehpercayaan diri


Kebolehpercayaan atau credibility bukanlah barang yang boleh dibeli di rak-rak pasar raya atau pun di kedai-kedai runcit. Wang berjuta-juta, malah ribuan juta tak mampu membeli credibility.  Ertinya ia komoditi yang tak boleh diperdagangkan.  Untuk ‘menjualnya’ segala idea dan konsep kebolehpercayaan itu boleh saja dipasarkan dengan memetik, membaca, mengulas dan menerangkan berulang-ulang kali segala kalimah motivasi.  Mungkin ada yang akan terpesona dan terlintas untuk mendengarnya tapi belum tentu si pendengar mempercayainya.  Dia tidak mempercayainya kerana semua itu hanyalah kata-kata yang dipetik lidah oleh mana-mana lidah yang fasih memetik ayat-ayat suci termasuk segala macam mantera. Di manakah buktinya bahawa apa yang disyarahkan tidak lain dan tidak bukan hanyalah sekadar kata-kata?  Di manakah nikmat kebenaran kata-kata yang diterjemahkan itu?  Sesungguhnya di sana tidak ada jalan pintasnya melainkan membuktikan dengan perbuatan yang sah dan dapat dirasakan oleh semua orang.  Pas Kelantan mengambilalih tampuk kepimpinan negeri dan TGNA telah membuktikan kata-kata indah Islam itu dengan contoh dan perbuatan.  Nah,  itu dia credibilty in action!


Seorang kawan lama pernah memberikan pendapatnya kepada saya; selain ijazah universiti atau sijil profesional yang bergulung-gulung serta folio-folio pengalaman kerja@cv itu,  ada satu lagi ijazah yang paling laku ― batang tubuh kita sendiri sebagai satu entiti.  Dan ada juga kawan yang pernah bersurah tentang harga tender.  Bahawa harga sesebuah tender yang disebut oleh para pemborong itu sangat tertakluk misalnya kepada siapakah SO, Supervising Officer, pegawai penguasa yang akan bertanggungjawab terhadap projek itu di tapak.  Kawan ini sedar tentang tragedi wang pelincir dan segala keperluan yang berkaitan dengannya juga menentukan harga tender.



2.0

Ada banyak perkara yang boleh mencalarkan kebolehyakinan orang.  Salah satu daripadanya ialah perbuatan khianat yang nyata.  Muktamar ke 59 antara lain bakal membuktikan ‘apakah jenisnya’ sebuah organisasi politik itu.  Misalnya sebagai satu jemaah yang mahu berkuasa,  bolehkah ia dipercayai oleh rakyat (baca: orang-orang Melayu dan juga yang bukan Melayu dan orang-orang Islam dan juga orang-orang yang bukan Islam seluruhnya)?  Apakah benar,  ia sebuah parti yang teguh memegang kepada janji-janjinya atau pun sebenarnya ia hanyalah kelompok oportunis yang menunggu peluang untuk menerkam dan membaham?


 

No comments: