Thursday, November 7, 2013

PAS Batu angkat seni-budaya Kg Melayu



Dinsman (Hrkh 408, 8/11)
PAS Batu angkat seni-budaya Kg Melayu


20 Oktober lalu pimpinan tertinggi PAS (diketuai Presidennya TG Hj Abdul Hadi Awang) mengadakan Dialog Budaya dengan para seniman-budayawan, lanjutan daripada dialog Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS) berkenaan gagasan ‘Kuasa Budaya Dunia’nya sebelum itu.

Cikgu Ishak Surin Ydp PAS Kawasan Batu tidak hadir dalam dialog yang diadakan di hotel de Palma Shah Alam itu. Tetapi tiga hari selepas itu saya dan Kassim Muhamad bersama dengan dia, hadir menyaksikan satu peristiwa seni (happening) di tebing Sungai Gombak, di Kampung Banda Dalam, yang dibuat hasil inisiatifnya bersama Yeoh (geng Jalan Sultan) dan seniman dari Jawa Timur, Nggamba Moelyono.

Sambil itu kami berbicara juga sekitar kesan Dialog Budaya bersama pimpinan tertinggi PAS itu. Walaupun tidak hadir dalam dialog tersebut Cikgu Ishak sangat berminat dengan hal-hal seni-budaya dan warisan. Tak hairanlah dia ingin memanfaatkan cadangan Paksi dalam dialog itu, untuk mengadakan Kursus Budaya kepada orang-orang PAS bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran budaya mereka.

Minggu berikutnya kami bertemu lagi, menyambung perbincangan di Pasar Besar Gombak, sambil minum petang. Ada program lain yang difikirkan lebih sesuai daripada kursus seni-budaya. Ia berkaitan tujuh kampung warisan yang pernah diangkat oleh Paksi menjadi bahan kreativiti seni hingga melahirkan buku Antologi Puisi 56 Penyair, dan Himpunan Seniman-Budayawan 1 Muharam, tiga tahun lalu.

Kali ini kami berfikir agak berbeza. Kami melihat Kampung Melayu itu sendiri, sebagai warisan seni-budaya dari tamadun Melayu yang sangat tinggi nilainya, tetapi kurang diberi perhatian. Melihatnya dari perspektif seni-budaya – struktur reka-bentuk kampungnya, lanskapnya, seni arkitektur dan ciri-ciri rumahnya, taman dan lamannya, kejiranannya, ayam-itiknya dan pelbagai lagi. (Sayangnya perigi sudah tak ada lagi).

Kita tidak melihat pada seni buatan tangan rumah Melayunya sahaja, (walaupun di situ terdapat banyak aspek seninya yang sangat menarik), tetapi kita melihat lebih kepada warisan seni Kampung Melayu itu sendiri. Wujudnya Kampung Melayu itu sendiri, sebagai satu warisan tamadun Melayu yang sangat tinggi nilai seni-budayanya.

“Kampung Abdullah Hukum sudah hilang lenyap terus,” kata Cikgu Ishak dengan sedih.

Teringat saya beberapa hari sebelum itu melalui Jalan Bangsar ke Universiti Malaya, terpandang tanda jalan menunjuk arah ke “Kampung Abdullah Hukum”, padahal kampungnya seperti kata Cikgu Ishak, “sudah hilang lenyap terus”. Langsung tidak ada kesan yang di situ pernah wujud sebuah Kampung Melayu yang tertua di Kuala Lumpur.

Kami bertanya apakah pernah ada sesiapa di kalangan sarjana kita yang telah membuat kajian mengenai Kampung Melayu, khasnya dilihat dari perspektif seni-budaya? Kami akan cuba mencarinya, mungkin di kalangan ahli-ahli akademik kita. Walaupun belum ada hasil kajian yang siap, diharapkan ada yang berminat terhadapnya.

Mungkin dia boleh berkongsi pemikiran dengan kita, dalam majlis yang akan dianjurkan bersama oleh PAS Kawasan Batu dan Paksi, pada Sabtu 16 November ini, bertempat di Dewan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH). 

Di samping itu Prof Dr Siti Zainon Ismail ialah seorang tokoh yang sangat rapat dengan isu yang sedang kita perkatakan ini. Kampung Banda Dalam itu adalah kampungnya. Dia membesar di situ, dan masih wujud sebuah rumah warisan keluarganya di situ. “Rumah Uwan” – tulis anaknya Melor, dalam Antologi Puisi 56 Penyair.

Siti Zainon akan pamerkan beberapa hasil seni karyanya di lobi depan dewan itu nanti – lukisan, buku, foto dll. Pelukis Aris Aziz dijangka akan bersma dengan dia.

“Dan acara-acara lain lagi sedang dirancang,” kata Kassim – wakil Paksi yang bersama-sama dengan PAS Batu menyelenggarakan kerja-kerja penganjuran program ini.

Penglibatan Cikgu Ishak Surin dalam program-program seni-budaya Paksi sebenarnya cukup banyak. Cuma sebelum ini dia tidak pernah melibatkan PAS Kawasan pimpinannya itu. Yang dilibatkan ialah surau Madrasah Tarbiyah, NGO Muafakat dan sebagainya. Inilah kali yang pertama penglibatan PAS Kawasan Batu.

Tujuannya ialah menyambut semangat dari Dialog Budaya Pimpinan Tertinggi PAS 20 Oktober dan juga gagasan ‘Kuasa Budaya Dunia’ yang dicadangkan oleh Naib Presiden Mahfuz Omar di Parlimen 15 Julai.

Hal itu bagi saya adalah tidak kurang pentingnya daripada isu Kampung Melayu yang sedang terancam kewujudannya oleh semangat rakus materialistik-kapitalistik pembangunan ibukota Kuala Lumpur yang kering kemanusiaan itu.

Paksi memang sangat mengalu-alukan inisiatif Cikgu Ishak yang kali ini bertindak sebagai Ydp PAS Kawasan Batu. Memang Paksi sudah lama mengharapkan (dan mencadangkan) pihak parti-parti politik Pakatan Rakyat (PAS, PKR, DAP) supaya turut sama terlibat dalam aktiviti-aktiviti seni-budaya. Sebab apa? Sebab aktiviti seni-budaya ini penting.

Apa pentingnya? Pentingnya ialah seperti ini. Masalah Kampung Melayu yang sedang terancam kewujudannya di Kuala Lumpur ini. Tidak ada Political Will (Tekad Politik) yang nampaknya mahu perjuangkan perkara ini. Maka kita ada Cultural Will (Tekad Budaya) yang boleh perjuangkannya.

Jangan ingat bila sebut seni-budaya itu maknanya menyanyi, berlakon dan baca puisi saja. Ini – perkara seperti masalah Kampung Melayu ini pun termasuk bidang seni-budaya juga.

Nak tahu lebih lanjut kepentingan seni-budaya eloklah tanya Cikgu Ishak Surin – kenapa dia Ydp PAS tapi dia suka libatkan diri dalam aktiviti seni-budaya? Datang ke KLSCAH pada 16 November ini. Kita mula jam 9 pagi. Jangan lewat! Jam 12.30 kita kena berhenti.

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)



No comments: