Tuesday, December 17, 2013

Bisikan Kepala


 


Bisikan Kepala-Kepala Lutut itu


Hujung minggu lalu sempat bersarapan di sebuah warung sekitar AU bersama anakku.  Kami pekena roti najib. Pelayan bertanya mahu minum apa, kujawab nescafe panas.

“Nespa!” laung sang pelayan kepada si tukang bikin minuman.  Kubisik kepada diriku, “Fenomena Indon sudah jelas kelihatan di sekeliling kehidupan rakyat Malaysia”.

Pagi ini dalam Malaysiakini yang memetik Bernama, kuterbaca istilah ‘Agropolitan’ untuk sebuah Universiti.  Bila diteliti roh dan semangat yang dipancarkan oleh istilahnya, aku terbayangkan imej lembu-lembu jantan, pokok-pokok rambutan, pelbagai spesies ayam hutan, perempuan Purtan dan sanctuary, perlindungan untuk segala orang-orang utan.  Dan tentunya tak ketinggalan sebuah istilah lama menerkam minda― ‘gohead gostan’ .  Ya,  inilah istilah orang-orang kampungku bila mereka mahu mengundurkan kereta mereka.   Mungkin ‘gohead gostan’ ini melambangkan sejarah dan nasib universiti pertanian dan bidang pertanian di negara kita; ada mode gohead gostannya.   

Semalam, seorang lagi bijak pandai dari gerombolan orang yang punya kuasa, memberikan nasihat ― khususnya kepada rakyat yang membantah kenaikan kadar tol ― supaya menggunakan jalan alternatif saja.  Habis cerita.  Dan mereka tak perlu lagi merungut-rungut dan membantah-bantah.

Minggu ini juga kita telah membaca bagaimana seorang-bijak-pandai-dari-gerombolan-orang-yang- punya-kuasa dan konconya, memberikan pencerahan tentang bukti dan kaedah terbaru dalam membuktikan kesalahan orang-yang-tercemar-kesucian-agamanya.  Dari perkembangan yang berlaku ― termasuk yang melibatkan pihak yang menjaga kesucian Agama Islam ―  kini kita lebih maklum tentang prosedur terbaru dalam memurnikan jiwa-jiwa yang tidak suci dalam hal-hal beragama.  Misalnya mengikut prosedur terbaru ini, orang yang dituduh bersalah kerana tidak suci jiwa agamanya mestilah tampil membuktikan kenapa dia suci jiwa agamanya@tidak bersalah.  Seperti kita sedia maklum, sebelum itu seorang-bijak-pandai-dari-gerombolan-orang-yang-punya-kuasa itu telah menjelaskan kepada khalayak bahawa pihaknya ada bukti gred A tentang kesalahan tidak suci jiwa agamanya yang telah dilakukan oleh orang yang kena tuduh.

Wah, semua ini adalah bahan dan bumbu teater absurd.  Kepala Lutut telah berbisik-bisik.





No comments: