Wednesday, December 18, 2013

Nasib Orang Biasa Diperintah Penguasa Yang Mamai





BIASA:
Bersama rakyat biasa
Mendengar rintihan biasa (baca: berbisa) rakyat biasa


Bulan ini sudah berkali-kali terpaksa membawanya ke bengkel.  Ada saja masalahnya,  mulai jadual selenggaraan biasa sehingga ke sensor bahan bakar yang tiba-tiba saja rosak. Begitulah penyakit usia tua; kenderaan tua juga sering sakit-sakitan dan menunggu saat untuk dikuburkan.  


2.0 Yang menarik perhatianku ialah S, foreman@mekanik ― orang muda yang bagiku seorang manusia yang rajin, tekun, berbudi bahasa dan senang sekali bila diajak berbicara.  Kami telah berbicara tentang pelbagai persoalan mulai kisah kenapa memilih menjadi foreman sehinggalah kepada persoalan yang agak peribadi, “Bagaimana bertemu Mem dan akhirnya berumah tangga?”


Aku: Dah berapa orang anak?

S: Enam bang.

Aku: Enam? Masyallah.

(Di dalam hati, terdetik betapa murah rezekinya dan betapa dia begitu muda untuk memiliki enam orang cahaya mata!)

Aku: ‘Mem’ bekerja?

S: Dulu bekerja, sekarang sudah berhenti ― sejak mendapat anak kembar yang sekarang berusia 8 bulan.   

Aku:  Tentunya berat membesarkan anak-anak dalam keadaan sekarang ini.

S: Ya,  terasa beratnya bang.  Bos juga mengeluh kerana bisnes yang semakin teruk.  Bila ekonomi tidak okey, orang betul-betul fikir sebelum berbelanja.  Bila orang ramai kurang berbelanja, pusingan bisnes jadi perlahan.

Aku tertarik dengan hujah ‘sebab-akibat’ ekonomi yang dijelaskannya.

Aku: Masih okeykah kehidupan?

S: Berat bang.  Sekarang ini kita beli hanya yang perlu. Yang betul-betul perlu saja.  Saya bernasib baik kerana ibu bapa turut membantu sekiranya kami benar-benar sesak!

Aku teringat pada diriku yang perlu ‘bail-out’ anak-anak untuk hal-hal yang sangat perlu (dan bukannya kerana anakku kalah berjudi).

S:  Kita dapat rasakan keadaan ekonomi kita yang teruk.  Harga barang terus naik.  Pada saya kita akan ditinggalkan oleh Indonesia, Thailand, Vietnam...



S kembali kepada cerita keluarganya dan pekerjaannya.

S: Dulu semasa pergi scan, ada kawan-kawan suruh cuci saja.  Tak sampai hati dan tak bolehlah bang nak buat macam tu.  Kita nampak bayinya dalam rahim.  Kenapa nak dicuci?  Kesiankan melihat bayi dibuang?!  Ada yang cuci,  lepas cuci dah tak dapat-dapat anak lagi.  Lagi teruk.

(Syukur alhamdulillah, S membenci dan membantah perbuatan menggugurkan kandungan)

Aku:  Bagaimana bermula sebagai mekanik?

S: Minat bang sehingga sekolah pun tak tinggi.  Tak macam H (temannya dan supervisornya).  Dia  ada ijazah tapi minat kerja begini.

Aku dapat melihat betapa berminatnya mereka menjadi mekanik dan gembira sekali melihat cara mereka berdua bekerja.  Syukurlah,  ada orang-orang muda kita yang dapat dan mahu bekerja sedemikian tekun!


3.0 Moral cerita dari peristiwanya


Orang biasa merasakan betapa bisanya keperitan kehidupan sekarang ini.

Orang biasa merasakan kenapa pemerintahan yang baik diperlukan oleh orang biasa.

Bilakah orang yang punya kuasa mahu membiasakan diri mereka dengan kehidupan orang biasa?

Bilakah orang yang punya kuasa mahu membiasakan diri mereka dengan realiti kehidupan orang biasa seperti S dan H? Dan juga orang seperti aku?

Bilakah orang yang punya kuasa berhenti...berhenti... sleep walking@mamai sambil menguruskan kuasanya?


PS:

Sebelum pulang, S sempat bertanya:  Abang tahu adakah rumah sekitar kawasan ini? 

Aku:  Kenapa dengan yang sekarang, rumah kedai sekarang?

S: Malam-malam bisinglah bang! Mat Rempit.




No comments: