Thursday, January 2, 2014

(Credibility) itu murah harganya?






Apakah mereka mengira kebolehbolehpercayaan (credibility) itu murah harganya?


Sesebuah institusi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mahkamah atau pun sebuah hospital biasanya dipandang tinggi oleh masyarakat kerana memiliki dua ciri penting iaitu kebolehpercayaan@credibility dan kepakaran.  Bukankah itu yang diharap-harapkan dan diperlukan oleh masyarakat terhadap institusi-institusi awam ― kebolehpercayaan@credibility dan kepakaran?  Sebabnya institusi awam telah diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk menjaga ‘kesejahteraan’ orang-orang awam.  Itulah sebabnya kenapa pihak kepolisian atau pun mahkamah begitu cemburu sekali menjaga mutu kebolehpercayaan dan kepakarannya yang dimilikinya. 

Jadi tidak heranlah jika para bos besar institusi-institusi awam seperti PDRM dan Kehakiman ini (sekadar contoh ) sungguh berhati-hati dalam menjaga kebolehpercayaan dan kepakaran agar tidak terjejas.  Mereka menjaga dengan bersungguh-sungguh supaya institusi jagaan mereka tidak dihina.  Mereka TIDAK redha rakyat jelata ragu-ragu apatah lagi amat membenci PDRM atau pun mahkamah.  Mereka terpukul yang amat sangat sekiranya institusi pimpinan mereka itu diperlekehkan.  Mereka amat tersiksa jika segala bentuk cemuhan, ejekan dan pelecehan oleh rakyat biasa itu sudah menjadi fenomena awam yang bukan rahsia lagi. 

Makanya bos-bos besar yang baik-baik yang memimpin institusi-institusi awam yang maha penting seperti kepolisian dan mahkamah ini (sekadar contoh) sama sekali tidak rela jika nama baik, maruah institusi yang telah dipupuk dengan titik peluh dan kekadang darah dan air berpuluh-puluh tahun lamanya oleh para pimpinan terdahulu itu,  dijahanamkan dan tenggelam dalam caci maki dan penghinaan rakyat biasa.  Mereka tidak mahu kebobrokan institusi dikaitkan dengan perbuatan mereka.  Mereka tidak rela jika institusi pimpinannya dicemuh kerana sesungguhnya mereka juga punya maruah, harga diri dan anak, cucu dan keturunan yang sangat mahal nilainya, untuk ditinggalkan.  Mereka tidak mahu nama baik mereka diinjak-injak lagi.  


2.0 Sebuah hospital dan mutu perkhidmatannya  

Sebuah hospital swasta menjadi terkenal, masyhur, ‘laku’ dan dikunjungi oleh para pesakit-pelancong perubatan dari dalam dan luar negara kerana ia memberikan perkhidmatan terbaik.  Ia dikunjungi oleh ramai tetamu-pesakit kerana hospital swasta tersebut menjadi tempat bermastautinnya para pakar yang berilmu, yang mahir, yang baik budi bahasanya dan cukup bagus mutu perkhidmatannya.  Oleh kerana itu, orang-orang yang kaya tidak ragu-ragu membayar untuk memperolehi perkhidmatan yang bermutu ini.  Apakah yang jadi sekiranya hospital swasta yang tersohor ini cuai dalam menjaga namanya, mutu perkhidmatannya?  Apakah yang akan terjadi jika mutu perkhidmatannya dan nama baiknya dijejaskan oleh perilaku kepimpinan yang tidak profesional, misalnya?  Apakah hospital swasta tersebut masih berpeluang mendapat tetamu yang berterusan ― sumber duit yang pada kebiasaannya menjadi fokus utama sesebuah hospital swasta itu?


3.0 Sebuah institusi awam, kebolehpercayaan dan kepakaran yang hilang

Tidak seperti hospital swasta, sebuah institusi awam seperti kepolisian dan mahkamah (sekadar contoh) itu diwujudkan bukan untuk membuat duit yang sebanyak mungkin.  Sesebuah institusi awam ―sesuai dengan namanya ― diwujudkan untuk memberikan khidmat dan baktinya kepada masyarakat.  Oleh kerana itu yang menjadi fokus sesbuah institusi awam ialah perkhidmatannya kepada masyarakat.  Kita ulangi: Yang menjadi fokus perkhidmatan sesebuah institusi awam seperti PDRM (sekadar contoh) ialah baktinya kepada rakyat.  Ertinya dalam jiwa merdeka sebuah PDRM yang merdeka itu adalah khidmat baktinya kepada rakyat terbanyak.  Jiwa yang merdeka itu tidak sekali-kali rela dan tunduk dan sudi menjadi balaci kepada mana-mana parti politik TERMASUK yang sedang berkuasa.  Bukankah seseorang menteri dalam negeri datang dan pergi ― TAPI PDRM bakal kekal selama-lamanya (mengikut logik akalnya) selagi ada bulan dan bintang?  Atau ia pupus bersama bosnya kerana ia adalah alat bosnya? 

Kita tunggu dan lihat apa yang akan terjadi dalam tahun 2014 yang amat menyiksakan rakyat ini dan tahun-tahun seterusnya.



No comments: