Tuesday, January 7, 2014

Kenapa pelajar luar terserlah kemampuannya






Dinsman (Hrkh 416, 6/114)
Kenapa pelajar luar terserlah kemampuannya

Kursus penulisan skrip teater yang disertai 16 pelajar universiti selama 14 minggu (14 sesi selama 3 jam) itu telah berakhir 26 Disember lalu. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) telah meraikan mereka dalam suatu majlis makan malam dan Santai Seni di Alang Sedayu, Gombak, bersama-sama dengan penulis dan aktivis teater terkenal termasuk A Samad Said, Siti Zainon Ismail, Prof Shaharir, Pyanhabib, Rahimidin Zahari, Sani Sudin, Rahmat Harun dan lain-lain.

Selesailah sudah kursus itu. Tetapi kesannya belum selesai. Ia menimbulkan beberapa persoalan yang perlu difikirkan selanjutnya.

Memang disasarkan akan lahir sekurang-kurangnya 10 orang (daripada 16 peserta) yang akan benar-benar menulis skrip teater dan seterusnya akan menjadi penulis. Tetapi tidaklah saya menduga bahawa yang akan menduduki senarai teratas daripada 10 orang itu adalah pelajar dari luar negara – dua dari Bali, Indonesia dan seorang dari Bangladesh.

Hal itu menjadi satu daripada persoalan yang bermain di kepala saya. Apakah itu terjadi secara kebetulan atau ada faktor tertentu? Daripada 16 orang peserta, tiga daripadanya dari luar negara dan ketiga-tiga mereka adalah yang paling top dalam kemahiran menulis skrip. Mungkinkah itu suatu kebetulan?

Kalau hanya seorang sahaja mungkin kita boleh menganggapnya suatu kebetulan. Tetapi ini tiga orang, dan seorang daripadanya bukan dari bidang seni. Dia pelajar kejuruteraan elektrik. Penulisan bukanlah bidangnya. Dan dia tidak memahami bahasa Melayu yang digunakan dalam kursus. Dia menulis dalam bahasa Inggeris. Tetapi dia mampu menghasilkan skrip seperti yang dikehendaki kursus.

Memang tulisannya bukanlah hasil yang terbaik. Dan walaupun dari segi teknik naratifnya agak konvensional, berbanding dengan beberapa peserta kita yang mengemukakan idea-idea baru yang segar, namun kemampuan dan kemahirannya mengungkapkan idea ke dalam bentuk skrip teater itu, adalah suatu hal yang ketara dipelajarinya dengan begitu cepat dan cekap.

Saya tidak fikirkan hal cepat dan cekapnya dia mempelajari kemahiran tersebut. Bersama dengan dua rakannya yang lain (dari luar negeri) itu, saya merasakan mereka memiliki ‘asas pemikiran’ yang lebih baik dan ‘asas perkembangan idea’ (kreativiti) yang lebih subur, berbanding dengan pelajar-pelajar kita.

Yang dua orang lagi itu, daripada Bali, memang berada dalam bidang seni. Seorang pelajar tari dan seorang lagi pelajar wayang kulit. Bukan pelajar penulisan. Tapi penulisan mereka adalah yang terbaik. Sekali lagi, walaupun teknik naratifnya agak konvensional. Itu barangkali disebabkan mereka tidak (belum) mempelajari teknik-teknik itu dari teater kontemporari. Dan kursus penulisan saya pun tidak mengajarkan hal-hal teknik tersebut.

Pendekatan kursus saya semata-mata memanfaatkan asas penulisan dan idea/pemikiran yang sememangnya sudah dimiliki oleh pelajar. Saya hanya membantu proses penghasilannya sahaja, dengan sengaja mengenepikan soal-soal teori dan teknik. Malah soal kemahiran berbahasa pun diketepikan terlebih dahulu. Yang diutamakan ialah idea/pemikiran yang hendak disampaikan, dan “tuliskanlah bagaimanapun yang kamu tahu/mahu menulisnya”, asalkan yang ditulis itu ialah skrip teater.

Memang pelajar yang kosong idea/pemikiran dalam kepalanya tak akan boleh menulis. Atau yang idea/pemikirannya terlalu cetek/dangkal.

Melalui kursus penulisan yang bebas begini kita boleh mengenali apakah pelajar-pelajar kita itu memiliki ‘asas pemikiran’ dan ‘asas kreativiti’ yang baik atau tidak. Dua asas kemahiran ini pula bukanlah dibentuk di peringkat universiti, tetapi ia perlu diasuh dan ditumbuhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah lagi.

Namun begitu tidaklah kita hendak menyelesaikan masalah kita ini dengan meletakkan kesalahan kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Kita masing-masing buatlah apa yang termampu oleh kita, dalam keadaan yang ada di sekeliling kita hari ini. Apa yang dinyatakan di atas itu hanyalah sekadar suatu kes perbandingan sahaja.

Kalau tanpa perbandingan dengan pelajar dari luar negara itu, pelajar-pelajar kita tidaklah pula akan gagal sepenuhnya dalam hal kreativiti seperti itu. Ada juga yang terserlah kemampuan dan kemahiran kreativitinya. Dan saya pun tidak pernah percaya kepada teori bahawa untuk menjadi penulis itu seseorang perlulah ada pendidikan yang begitu atau begini. 

Misalnya Usman Awang itu sistem pendidikan yang bagaimanakah yang telah melahirkannya sebagai seorang penulis? Dan A Samad Said itu sistem pendidikan yang bagaimana pula yang melahirkannya menjadi penulis? Azizi Hj Abdullah itu sistem pendidikan yang bagaimanakah yang telah membentuknya menjadi penulis?

Kita pun tidak tahu di manakah sistem pendidikan berperanan dalam melahirkan penulis. Yang saya sebutkan di atas tadi bahawa pelajar-pelajar luar negeri itu “memiliki ‘asas pemikiran’ yang lebih baik dan ‘asas perkembangan idea’ (kreativiti) yang lebih subur, berbanding dengan pelajar-pelajar kita.” Itu saja.

Saya tidak mengatakan bahawa pelajar-pelajar luar yang ‘asas pemikiran’ dan ‘asas kreativiti’ mereka lebih baik itu nantinya akan menjadikan mereka penulis yang lebih baik daripada pelajar-pelajar kita. Tidak. Tidak semestinya. Kerana untuk menjadi penulis yang berjaya seperti A Samad Said atau Azizi Hj Abdullah itu memerlukan banyak perkara lain lagi.

Antaranya ialah bahawa menjadi penulis itu adalah suatu kerja yang berterusan dan tiada henti-hentinya. Mesti rajin menulis dan terus menulis dan terus menulis tanpa henti, sambil memperbaiki teknik dan mutu penulisan dan terus memperbaikinya dan terus mencari idea-idea baru.

Adapun kursus penulisan hanyalah sekadar sedikit sentuhan bimbingan dan motivasi di peringkat awalnya sahaja.

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)

No comments: