Saturday, May 29, 2010

Seniman bercakap tentang kebenaran Sutung Umar Rs



Seniman bercakap tentang kebenaran
Oleh - Sutung Umar Rs


Sejak akhir-akhir ini entah kenapa dan apa sebabnya saya jarang sekali membaca akhbar – mungkin kerana ada kawan menyatakan yang betul dalam akhbar hanya tarikh, waktu solat dan nombor judi empat ekor, atau kerana saya ada komitmen lain.

Namun, tulisan teman saya Rahman Saari yang sedang berpolemik dengan Dinsman, juga teman saya tentang subjek kebenaran, menarik perhatian kerana ia antara yang saya gemari sejak dulu lagi.

Memerhatikan tulisan Dinsman bertajuk “Aduhai lemah dan malangnya intelektual kita” ada beberapa gagasan yang mengikut faham saya, antaranya:

1. Sekarang diperlukan manusia yang berani bercakap benar – suatu nilai kemanusiaan yang hari ini kian pupus.

2. Penulis dan budayawan kita sudah lama berhenti memperkatakan kebenaran.

3. Kebenaran dihubungkan dengan kerajaan/kuasa.

4. Pensyarah yang berani berkata benar sudah tidak ada

5. Media tidak menyiarkan yang benar.

Pada faham saya, itulah lima persoalan pokok menjadi gagasan Dinsman dan dipersoalkan Rahman. Menariknya, apabila Rahman mengatakan frasa “kebenaran adalah kebenaran” sebagai klise – satu pemikiran yang selalu dipakai hingga menjadi basi dan hampir hilang makna asalnya. Sedangkan Rahman seharusnya menerangkan apakah yang basi dan tidak berguna itu? Sebabnya persoalan benar dan kidzib ini bukan baru dan dipersoalkan oleh pelbagai ahli falsafah sejak dulu hingga kini, malah Socrates memilih racun kerana menegakkan kebenaran. Saya tidak tahu Aristotles juga minum kerana sebab sama.

Pada saya kebenaran itu hanya satu, tetapi perkara yang benar itu banyak. Barangkali ini juga harus diterangkan dengan terperinci bahawa keingkaran itu benar, kejahatan itu benar, demikian juga kebaikan itu pun benar. Tetapi dia bukan kebenaran, ada yang menyembah tuhan selain Allah SWT. Ada yang menyembah Allah SWT, kedua-duanya benar. Tetapi kebenaran hanya pada yang kedua. Saya tidak pasti apakah ini suatu bentuk sinikal, aforisme atau apakah ini satu klise juga.

Apabila Rahman bermain dalam makna positif, membahaskan apa yang menjadi fokus Dinsman, Rahman pada dasarnya mempersoalkan tentang pendekatan falsafah. Inipun suatu hal yang wajar juga kerana perbahasan sebegini seharusnya berusaha menyusun batasan atau definisi. Ini penting dalam sesuatu polemik.

Berbalik persoalan kebenaran, Bertrand Russel dalam Logic and Knowledge mengemukakan kesamaan struktur antara dunia fakta pada satu pihak dan dunia kata-kata pada pihak yang lain: ada isomorfi antara unsur bahasa dan kenyataan.

Rahman mengisytiharkan dirinya berpegang kukuh pada teori anjakan makna dan ini kita boleh setentangkan pula dengan Plato yang yakin analisis pengertian didasari suatu dunia idea-idea yang bersifat abadi, tak berubah. Plato mengemukakan bahawa gabungan kata-kata dengan masing-masing pengertian boleh bersintesis menjadi sesuatu yang baru sama sekali – bukan sekadar anjakan makna, sebaliknya pernyataan atau putusan. Dalam hal ini, pengertian-pengertian akan berfungsi sebagai subjek atau predikat.

Maka apabila suatu ajakan, seruan berbunyi “Mari kita berkata benar”, apakah ia pernyataan atau pertanyaan skeptik? Tidakkah meragukan hal ini adalah suatu sikap yang mengembalikan makna kata kepada ekstensif, denotasi atau refrensi dan pada pihak lain, makna dapat diselesaikan dengan menemukan sinonim.

Persoalan berat yang dibawa Dinsman ialah kebenaran apabila dihubungkan dengan pemerintah. Realiti sejarah membuktikan benar – tidak salah, tidak keliru, sungguh-sungguh, betul. Seorang ahli sufi terkenal dengan ucapan satahah ana al-haq dihukum bunuh oleh penguasa. Di salah sebuah negara jiran kita, kitab-kitab kara-ngan Idris al-Marbawi berjudul Baharum Madzi benar dibakar kerana mendapati dalam kitab itu ada yang tidak benar.

Persoalan kebenaran memang harus diteruskan perbincangannya, apatah lagi oleh para seniman dan budayawan kita. Rahman dan Dinsman tentulah pada fikiran saya memahami betapa pun kecil dan daifnya seniman itu, sepanjang sejarah mereka telah memberi banyak sekali ucapan bermanfaat untuk kemanusiaan.




No comments: