Monday, July 15, 2013

Benih yang menjadi pulau





Arwah Mustafa, orang asal pertama sebagai ahli Pas seumur hidup.




Jam 7:51pagi, Isnin 15 Julai 2013,  kuterima teks ringkas Hasni:  Bapa Hanif sahabat orang asal kita telah meninggal dunia di Tapah, Perak malam tadi.



Kubalas dengan soalan: Nak ziarahkah?



Hasni: Kalau ada kawan nak juga saya pergi ziarah. Abg nak pergi ziarah?




2.

Semasa kami sampai kira-kira jam 12:30 tengah hari di Kampung Kinjang Pasir, Chenderiang, Tapah, Perak jenazah telahpun selamat dikebumikan.  Inilah kali kedua aku menjejakkan kaki ke rumah arwah Mustafa Hamid, “orang asal pertama yang menjadi ahli Pas seumur hidup”.  Kata Cikgu Ishak Surin,  YDP Pas Kawasan Batu, arwah dan keluarga memang akrab dengan Pas Kawasan Batu.  Selain Cikgu Ishak Surin, Bang Mat Sabu juga terlibat dalam peristiwa mengahlikan orang asal ini sebagai ahli Pas seumur hidup.


3.

Tempat kami bersimpuh belumpun panas apabila kereta yang membawa sekeluarga Cina memasuki perkarangan rumah.  Setelah bersalaman, kata Hanif, itu adalah saudara maranya sebelah ibunya dari Selatan tanah air.  Puan Rokiah, ibu Hanif adalah wanita keturunan Cina yang telah dianak-angkatkan dan dibesarkan sebagai seorang wanita Islam oleh keluarga Melayu.  Semasa Jepun menguasai tanah air kita, ketakutan orang-orang Cina terhadap kezaliman penjajah baru ini begitu menakutkan.  Dan salah satu kaedah untuk menyelamatkan bayi yang masih kecil ialah dengan menyerahkan mereka sebagai anak-anak angkat kepada orang-orang Melayu.  Ibu Hanif termasuk bayi yang di’selamat’kan sedemikian rupa.

4.

Mengikut Hanif semasa jenazah sedang dimasukkan ke liang lahat, ramai juga ahli keluarga arwah, yang masih lagi kekal beragama orang asal begitu berhasrat sekali untuk membantu ― buat menyempurnakan pengkebumian jenazah seorang saudara mereka yang sudah tiada...  

Sesungguhnya perjalanan hidup arwah Mustafa, Hanif dan Puan Rokiah adalah ramuan pelbagai kisah perjuangan, takdir, asal usul, kepercayaan, ikatan kekeluargaan yang begitu menyentuh perasaan.  Semuga Hasni dapat menulis kisah ini dengan lebih terperinci lagi, misalnya kisah pahit maung, suka duka perjuangan arwah dan Hanif mendapatkan hak yang sah untuk orang-orang asal di Bukit Lanjan.

Ya, Rabb kau tempatkanlah arwah di sisiMu, sesuai dengan amalnya.  Ya, Rabb kau kasihanilah arwah. Amin. Al-Fatihah.


(Nota kaki:  Dalam keadaan biasa seperti sekarang ini, apakah kita tidak mampu kekal sebagai seorang Hamba yang mungkin dipisahkan oleh perbezaan agama, keturunan, asal usul, adat dan budaya?  Kenapakah perbezaan yang tidak pernah kita minta itu mahu dijadikan alat politik?  Kenapakah kehidupan yang maha singkat ini mesti dibegitukan?)




No comments: