Dinsman (Hrkh 417, 10/114)
Mufti berselindung di balik ayat al-Quran
Akan halnya seorang mufti yang
tiba-tiba mengeluarkan fatwa yang menggemparkan itu, menyebabkan saya teringat
kepada satu tulisan ‘wacana budaya’ lebih lima tahun lalu, di ruangan yang sama
ini – “Tanyalah dulu kenapa dan bagaimana ia bermula” – Ogos 2008.
Tulisan itu dimulakan begini:
“Apabila kita membuat satu kesimpulan berdasarkan satu peristiwa yang
memerlukan kita membuat pilihan, lalu kita membuat kesimpulan itu tanpa berasa
perlu menyiasat bagaimana atau kenapa peristiwa itu terjadi…
“Saya perhatikan keadaan
seperti itu banyak sekali berlaku dalam masyarakat kita hari ini…. Saya pun
hairan, dan tak faham, kerana yang terlibat itu bukannya sebarangan orang.
Orang-orang yang berkelulusan tinggi, yang lulus Ph.D, yang sudah bergelar
profesor pun ada. Orang-orang yang dihormati, dan saya pun hormati mereka
kerana kepakaran dan pencapaian mereka dalam sesuatu bidang. Tapi… kenapa
mereka berfikiran demikian?”
Dan sekarang mufti itu pula.
Membuat keputusan berdasarkan pada berita yang tidak pasti kesahihannya. Ada
pihak yang mendakwa bahawa himpunan itu adalah himpunan “guling kerajaan”, dia
pun terus saja mengeluarkan fatwa – itu golongan ‘bughah’, dan oleh kerana itu
mereka harus diperangi.
Dia itu mufti, dan
kenyataannya berupa fatwa. Menghukum sekumpulan 50,000 rakyat yang berhimpun di
sekitar Dataran Merdeka pada malam 31 Disember itu sebagai bertujuan mengguling
kerajaan. Mengikut dakwaan pihak-pihak tertentu. Dakwaan saja! Yang dibuat
kerana hendak menghalang orang ramai daripada berkumpul.
Sedangkan rakyat yang
berkumpul itu jelas-jelas dinyatakan oleh pihak penganjurnya bahawa himpunan
itu kerana membantah kenaikan harga barang (dan kenaikan kos hidup) yang
melampau dan menindas rakyat, pada ketika para pemimpin pula bermewah-mewah
secara melampau. Dan himpunan itu dibenarkan oleh Perlembagaan yang digunapakai
di negara ini.
Apakah para mufti kita tidak
nampak hakikat yang berlaku di bawah suluhan cahaya matahari yang terang benderang
itu?
Tapi demikianlah. Apabila
mereka sendiri membiarkan diri mereka bergelumang bersama-sama dengan puak-puak
yang zalim itu (zalim dalam pengertian al-Quran), mereka pun tidak akan nampak
lagi perihal rakyat yang hidup dalam segala kesusahan; kerana hidup mereka
sendiri sudah diliputi oleh kemewahan dan pembaziran.
Maka dalam keadaan begitulah
si mufti kita itu berfatwa. (Saya sudah lama tidak percaya lagi mereka itu
layak bertugas sebagai mufti. Saya pernah menulis “Kelucahan melampau, 14 mufti
yang bungkem” – Mac 2011). Mereka membisu sebisu-bisunya pada ketika pihak
berkuasa sedang menabur fitnah berselindungkan agama, dan mereka hanya bersuara
apabila diperlukan untuk mempertahankan kuasa pihak-pihak yang berkuasa.
Fatwa dibuat terhadap satu
peristiwa tanpa perlu terlebih dahulu memahami bagaimana dan kenapa peristiwa
itu terjadi. Orang kata himpunan itu “guling kerajaan”, dia pun terus ambil
dakwaan itu sebagai asas untuk mewajarkan hukum. Di manakah dia belajar ‘kaedah’
menghukum yang seperti itu? (Padahal pihak yang mendakwa itupun belum lagi
mengesahkan benarnya dakwaan mereka itu).
Saya juga teringat pada Julai
2012, saya tulis mengenai seorang Tok Syeikh Arab yang dibawa ke sini dan
tiba-tiba mengeluarkan fatwa haram jatuhkan kerajaan yang sedia ada, kerana ia
sebuah kerajaan Islam. Tajuk tulisan itu “Tahukah sheikh itu apa yang
dicakapnya”.
Amboi, mudah sangat mereka membuat
fatwa. Mentang-mentanglah mereka dikenali sebagai orang alim agama. Berfatwa
seperti orang lain semua tak tahu apa-apa dan mesti mendengar saja apapun yang
mereka fatwakan. Ini dah nak jadi macam zaman para paderi Kristian sedang
berkuasa dulu. Mereka menggunakan kuasa secara sewenang-wenangnya hingga rakyat
bangun melawan dan mencabut kuasa agama mereka itu.
Apakah hal seperti itu yang
sedang terjadi dalam masyarakat kita hari ini? Agama dipergunakan sepenuhnya
untuk mempertahankan kuasa pihak-pihak yang sedang berkuasa, dan orang ramai
akan hilang kepercayaan dan hilang hormat kepada tokoh-tokoh agama.
Lihatlah bagaimana mufti itu
menggunakan ayat al-Quran untuk mempertahankan kedudukannya, apabila orang
ramai marahkan dia dan menuntut supaya dia letak jawatan. Dia berselindung di
balik ayat al-Quran. Bukan dia yang pandai-pandai menghukum, katanya. Al-Quran
yang kata begitu. Maka disebutnya ayat 9 surat al-Hujarat itu, yang bermaksud:
“Dan jika dua puak daripada
orang-orang yang beriman berperang maka damaikanlah di antara keduanya. Jika
salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu
sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah. Jika dia kembali patuh maka
damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku
adillah kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”
Dia menganggap ayat itu mengesahkan
fatwanya supaya orang ramai yang berhimpun di sekitar Dataran Merdeka malam 31
Disember itu sebagai ‘bughah’ yang patut diperangi. Dan dia begitu berbangga
kerana berpegang kepada ayat al-Quran tersebut. Katanya: Macam-macam orang kata
kepada saya, tetapi saya tak kisah kerana saya bercakap berlandaskan al-Quran,
bukan saya pandai-pandai cakap.
Dan diulang-ulangnya kenyataan
itu beberapa kali: Saya guna ayat al-Quran, katanya. Bukan saya saja-saja
cakap. Orang nak kata apa, katalah. (Nampak sangat keangkuhan seorang mufti
yang telah terlampau lama dipergunakan khidmatnya itu).
Yang saya nak timbulkan di
sini ialah – hal bagaimana mereka menggunakan ayat al-Quran untuk berselindung
itu. Semua orang boleh baca ayat tersebut, boleh baca terjemahannya dan boleh
baca tafsirannya dalam kitab-kitab. Saya pun belajar bahasa Arab dan faham ayat
tersebut, dan saya tak bersetuju sama sekali dengan tafsiran mufti itu.
Walaupun dia mufti, tak semestinya tafsiran dia betul sahih dan tak boleh
diperdebat.
Inilah soalnya – apabila
orang-orang agama menggunakan ayat al-Quran untuk melindungi diri agar orang
tidak mempersoalkan benar atau salahnya perbuatan mereka! Dan wacana ini tidak
khusus untuk mufti itu sahaja. Wacana ini untuk golongan alim-ulamak kita – Jangan
pergunakan al-Quran untuk berselindung mewajarkan kepentingan diri!
(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms
019-7172408)
No comments:
Post a Comment