Tuesday, January 14, 2014

Yang lapar dan yang kangkung






Perut (yang lapar)
harga kangkung (yang TURUN)


Perut boleh terbiar kosong atau pun dikosongkan dengan sengaja.  Perut kekadang menjadi kosong kerana si empunya itu perut terlalu sibuk sehinggakan tidak ada masa untuk mengisinya walaupun seluruh isi perutnya pada menjerit-jerit minta diisi.  Apabila sampai waktunya,  perut yang sengaja dikosongkan sepatutnya diisi tapi oleh sang empunya perut masih jua dengan sengaja membiarkannya kosong.  Ini perbuatan buta perut yang memudharatkan kesihatan dan si pengamalnya mungkin saja diserang penyakit seperti gastrik dan ‘masuk angin’.  Yang jelas perut yang kosong dan lapar akhirnya pasti bangun memprotes dan melawan.
  
Lain pula ceritanya dengan perut yang dengan sengaja dikosongkan kerana tujuan beribadat atau untuk tujuan menjaga kecantikan tubuh atau pun sebagai kaedah@langkah untuk menjaga kesihatan.  Mengikut syarahnya agamawan,  perut yang sengaja dikosongkan akan mencelikkan hati-nurani dan dengan itu bakal meningkatkan lagi tahap keehsanan diri para pengamalnya.  Makanya demi untuk mencelik dan menggilap hati nurani supaya meningakat status dan maqamnya, manusia beriman diarah supaya dalam tempoh-tempoh tertentu mengosongkan perutnya dengan sengaja.  Biasanya (dan katanya) orang-orang yang sengaja berlapar kerana beribadat tidak akan marah-marah.  Biasanya (dan sewajarnya?) mereka yang sering dengan sengaja berlapar tidak akan rakus, baik hati perutnya dan sangat peka dengan penderitaan orang-orang yang lapar dan dahaga.  Bukankah itu menjadi salah satu tujuan utama kenapa manusia yang Muslim itu diarah supaya sengaja berlapar sepanjang satu bulan yang tertentu?     

Malangnya dan begitu menyedihkan sekali terdapat sebilangan perut yang sentiasa saja kosong kerana tidak ada makanan untuk disantap.  Dan semua orang tahu dan tidak perlu diajar bahawa jika perut tidak berisi, si pemilik perut menjadi lapar.  Sekiranya perut-perut kosong@lapar ini dibiarkan kosong untuk jangka masa yang terlalu lama, sang pemilik akhirnya kebuluran.  Ketika itu masalah yang bakal dihadapi oleh Sang Penguasa semakin payah dan rumit kerana mereka yang bulur tidak lagi menggunakan akal dan fikiran.  Mereka terlalu lapar untuk melihat di luar dan ke luar zon perut.  Dan sekiranya bilangan rakyat Malaysia yang bulur kian meningkat, maka semakin ramailah rakyat Malaysia yang tidak berupaya melihat perkara yang jauh-jauh kecuali perutnya.  Ketika itu mereka tidak lagi doyan berfikir kerana keterlaluan laparnya.  Oleh sebab itu Sang Penguasa yang kurang bijak tidak akan berloyar buruk di depan mereka yang sedang lapar apatah lagi mereka yang bulur mencari sesuap untuk mengisi perutnya yang lapar.

Sekali lagi, kita ulangi. Andaikata bilangan mereka yang tersangat lapar@bulur itu semakin meningkat,  maka semakin ramailah manusia yang lapar berkeliaran.  Mereka yang lapar ini akan lupa tentang pelbagai masalah hidup kecuali bagaimana mahu mengisikan perut-perut yang sangat lapar@bulur itu.  Mantik logiknya mudah; saking laparnya maka tidak ada sebarang isu yang boleh mempengaruhi mereka kerana orang-orang lapar hanya ingat dan fikirkan perut mereka yang menggigit kerana kelaparan yang amat sangat.  Sekiranya kita mencapai tahap tersangat lapar@bulur yang sedemikian besar dan meluas, tak ada lagi isu yang mampu  mengalihkan pandangan mereka.  Dan pabila kita telah sampai ke tahap itu, cerita-cerita tentang harga kangkung yang telahpun turun tapi tidak dihebohkan oleh media tidak lagi memberikan sebarang makna kepada Sang Penguasa. 

Apakah mungkin ― untuk tujuan perubahan ― kita perlukan lebih ramai lagi orang-orang tersangat lapar@bulur?  Sebabnya, pabila sampai ke titik lapar dan bulur yang seumpama itu, tidak ada gunanya lagi Sang Penguasa itu bersusah payah untuk menyakinkan kroni-kroninya, para kerabat, adik beradik atau sanak saudara terdekatnya bahawa mereka TIDAK boleh lagi berhujah, berdebat dan bermakmal-makmalan tentang keuntungan TOL, IPP (sekadar contoh) yang berkurangan atau pun modal pelaburan semasa pilihan raya belum lagi dikutip semula seluruhnya kerana pada saat dan ketika itu, orang-orang miskin dan melarat sudah terlalu buta untuk melihat rasionale, hujah, pujukan atau hasutan tentang Allah yang tidak boleh dikongsi atau  pun perihal agamanya yang rasmi itu sedang terancam.  Yang jelas mereka yang lama kelaparan sudah terlalu lapar untuk dihasut.  Mungkinkah itulah saat dan titik perubahan buat kita semua, rakyat Malaysia?






No comments: