Monday, January 13, 2014

KEGAGALAN URUSTADBIR EKONOMI PUNCA KOS SARA HIDUP NAIK







Kenyataan media TERAS
13 hb Januari 2014

KEGAGALAN URUSTADBIR EKONOMI PUNCA KOS SARA HIDUP NAIK

Teras Pengupyaan Melayu ( Teras ) berpendapat mengawal kos sara hidup untuk memastikan rakyat terbanyak terutama golongan berpendapatan rendah  tidak terbeban adalah tanggungjawab kerajaan.

Oleh itu kerajaan perlu mempunyai cukup keupayaan untuk meletakkan dasar dan peraturan yang memastikan kos sara hidup dapat dikawal.

Untuk kerajaan mengatakan ia tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga barang dan menyalahkan cuaca adalah tidak tepat.

Jika alasan cuaca menyebabkan bekalan berkurangan dan akibatnya harga barang naik , kenaikan tarif elektrik tidak relevan dengan cuaca.

Mekanisme pasaran bergerak juga berdasarkan ketetapan kerajaan menaikkan kos bahan mentah seperti minyak.

Ada harga barang naik kerana bekalan , tetapi kebanyakan harga barang naik disebabkan kesan berantai dari kenaikan kos utama iaitu minyak dan tenaga elektrik.

Untuk Perdana Menteri hanya memberi contoh bahan makanan seperti sawi dan kangkung naik harga adalah kerana cuaca tidak menjelaskan faktor kenaikan kos sara hidup yang melonjak dalam pelbagai aspek seperti khidmat pengangkutan awam , kos rawatan kesihatan , kos pendidikan , kos prasarana asas.

Jika sekalipun cuaca menjadi faktor , akan tetapi impak perubahan cuaca menjadi lebih parah apabila pihak berkuasa sendiri tidak melihat pengurusan dan penjagaan alam sekitar menambah buruk keadaan sumber laut.

Sumber laut yang semakin mengurang ialah apabila  hutan bakau yang menjadi pusat pembiakkan hidupan lautan musnah  , sementara pencerobohan kawasan nelayan pantai maseh berleluasa.

Kerajaan harus ambilkira betapa kos input pertanian seperti benih , baja , racun , jentera juga meningkat kerana tidak dikawal oleh dasar pertanian yang berkesan dari pihak kerajaan sendiri.

Kos sara hidup yang meningkat juga tidak boleh dilepaskan dari isu kerajaan gagal mengawal punca kenaikan iaitu apabila sumber utama negara  iaitu minyak dinaikkan .

Manakala subsidi minyak yang diselamatkan tidak pula disalurkan kepada pembangunan untuk rakyat sebagaimana sepatutnya.

Juga alasan bahawa ekonomi dunia mempengaruhi harga barang sepatutnya dapat diduga kerana ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada tren pasaran dunia.

Hal ini sepatutnya dapat diminimakan jika dasar ekonomi negara dapat diperbetulkan supaya tidak terlalu bergantung kepada aliran pasaran dunia.

Kami berpendapat kenaikan kos sara hidup sangat banyak adalah berpunca dari  dasar urustadbir kerajaan . Ia bukan sahaja melibatkan kegagalan kawalan  perbelanjaan pengurusan  kerajaan akan tetapi juga kegagalan mengawal supaya ketirisan dan pembazirian tidak berlaku.

Harga barang yang naik juga sangat bergantung kepada dasar kerajaan yang terlalu cenderung untuk menjadi negara pengeskport barangan pembuatan dan mengimport barang makanan.



Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Teras





No comments: