Nota dari rumah sejarah
13 Januari 2014 (SATU)
Rumah tepi
sawah, sarang ulat menghias gaun
Nikmatilah
kehidupan sekarang ini sepuas-puasnya, begitulah pesannya berulang-ulang kali
setiap kali dia menceritakan kegembiraannya menjadi seorang kanak-kanak dan menjadi
gadis belasan tahun. Katanya lagi, kelak tak akan datang nikmat itu setelah Puteri
berumah tangga; bersuami dan beranak pinak.
Waktu indah itu walaupun ingin sekali diulangi, takkan datang lagi. Musim kanak-kanak dan remaja itu telah pulang
buat selama-lamanya ke rumah sejarah.
Kerana kehidupan
yang amat sederhana; ayahnya buruh
Bandaran dan ibu pula suri rumah sepenuh masa merangkap pesawah separuh masa,
makanya duit yang dibawa pulang oleh ayah setiap penghujung bulan tidaklah
seberapa. Untung juga hasil tanaman padi setahun sekali cukup untuk membuat
mereka tidak kelaparan walaupun berkali-kali dalam tempoh sebulan, mereka anak
beranak itu terpaksa juga membaham ikan masin. Untuk meringankan beban menyuap lima biji
mulut sekeluarga itu, saban tahun emak
dan ayahnya bersawah; sawah seluas satu penjuru di pinggir rumah. Walaupun rumah tepi sawah, ayah dan ibu tak
pernah pula berlangsir biru.
Namun segala
kemiskinan itu tidak pernah dicerca, diumpati atau didendami baik dulu maupun
sekarang dan yang bersisa adalah rumah kenangan yang sarat isinya. Ini salah satu dari sekian banyak lembaran
tahun-tahun 60an semasa Dee di sekolah menengah: Seperti biasa Dee datang tanpa sarapan pagi. Seperti biasa dia ke sekolah dengan seragam
skirt-sedikit-di bawah-aras-lutut, skirt lama yang uzur tapi masih cukup bersih
untuk ditukar baru. Tukar baru? Manalah duitnya untuk mendapatkan pakaian
seragam sekolah baru? Dee sedar, dek
terlalu uzur skirt-di bawah-aras-lutut itu perlu ditampung mana yang koyak. Untuk itu emak telah menghiasinya dengan
tenunan sarang ulat.
“Ustaz, minta
sekupang, kami belum makan lagi...” begitulah kira-kira susunatur ayat-mencegat-
Ustaz dilafazkan oleh Normala temannya, sebaik saja Ustaz muda yang cerah
kulitnya ― sedemikian ‘cerah’ sehinggakan pabila Ustaz muda ini tersipu-sipu, yang
merah padam itu tak ubah seperti udang dibakar ― melintasi kelas mereka. Sepanjang ingatannya, mereka tak pernah dikecewakan. Dan sepanjang ingatan Dee, yang merah padam
itu sukar dilupakan. Namun yang merah padam itu telah dibawa pulang Ilahi lebih
awal, beberapa bulan sebelum mereka mengambil SPM dalam tahun 1969.
Ustaz B, semuga Ustaz dicucuri rahmatNya. Ustaz, aku tahu Ustaz terhibur setiap kali mengerling
... sarang ulat di pinggir gaunku.
“Mama
nangis?” Puteri menghulur sehelai tisu kepada
Mamanya, sambil duduk berjejeran di atas sofa, lalu memeluknya erat-erat ―
bertalu-talu mencium pipinya seraya berbisik, “Apakah yang mengusikmu?”
No comments:
Post a Comment