Tuesday, February 18, 2014

Lemahnya Melayu dan institusinya? Bhg 2




Lemahnya Melayu dan institusinya?
Bahagian 2: It works, kata Mat Salleh


Sebelum kita bercakap tentang mencari jalan atau ikhitiar memadamkan api perkauman yang sedang marak membakar sekarang ini, marilah kita lihat sekelumit bagaimana orang-orang Melayu (yang katanya penganut tegar Islam itu) temui para pemimpin mereka.  Cerita bagaimana orang-orang Melayu diproses sebelum dan dalam musim-musim pemilihan pemimpin Melayu.  Ya, bagaimana dan kenapa orang-orang Melayu memilih pemimpin mereka.


3.0

Musim-musim pemilihan, khususnya musim pemilihan barisan pemimpin Parti Yang Memerintah dan musim pemilihan wakil-wakil rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) menjadi musim yang amat penting buat segala macam pahlawan Melayu dan Islam tampil ke depan umum untuk menunjukkan keberanian, sikap dan pendirian terbuka masing-masing.  Sikap,  pendirian dan keberanian terbuka mereka yang lantang-berani-lagi-perkasa bahawa nasib orang-orang Melayu masih lagi dhaif dan masa depan Islam juga cukup terancam,  mestilah dijuarainya ke tahap maksima.  Mereka yang mahu mendapat undi orang-orang Melayu yang dalam ketakutan setelah ditakut-takutkan, mestilah dilihat sebagai juara-juara Melayu dan Islam yang berani lagi tegas. 

Lucu?  Jangan ketawa ― walaupun mungkin lucu, sehingga ini walaupun rakyat Malaysia termasuk orang-orang Melayunya katanya sudahpun merdeka sejak lebih setengah abad lalu, namun rumus ‘juara Melayu dan juara Islam’ ini tetap dan terus menjadi.  Untuk para calon pemimpin ‘kelas juara Melayu dan juara Islam’ ini,  apa yang perlu dihamburkan ialah hujah-hujah tentang bangsa Melayu dan agama Islam kian terancam.  Hujah-hujah Melayu dan Islam terancam itu mestilah ditembak ke otak-otak orang-orang Melayu dan orang-orang Islam tanpa henti-henti,  seperti mesin gun memuntahkan peluru.  Tembakan-tembakan hujah ini seolah-olah mematikan sel-sel otak sesetengah orang-orang Melayu untuk merenung, merenung dan merenung lagi siri-siri hujah Melayu dan Islam terancam itu dan hakikat yang membelit kehidupan mereka.  Orang-orang Melayu bebal yang saban waktu pada musim-musim pemilihan ini,  ditembaki hujah-hujah Melayu dan Islam sudah terancam koma akal dan sel-sel fikiranya.  

Makanya orang-orang Melayu seolah-olah mengambil jalan yang paling mudah kerana terlalu gementar katakutan.  Apakah tidak ada elemen-elemen lain yang digunakan sepenuhnya dalam musim-musim pemilihan?  Ada, memang ada lagi elemen-elemen lain yang berkesan dan sentiasa saja digunakan.  Bukankah orang-orang yang miskin, ramai anak dan oleh kerana itu sangat lapar tidak akan berhenti sejenak untuk berfikir dan merenung?  Orang-orang Melayu yang lapar, ramai anak dan ketakutan mendakap siapa saja,  waima HANTU, sekiranya dan sesungguhnya hantulah yang  datang menolong. Orang-orang yang lapar menerkam untuk memeluk BR1M.  Bukankah ramai pemerhati percaya bahawa BR1M tempoh hari menjadi.  It works, kata Mat Salleh. 

Orang-orang Melayu yang dalam ketakutan memilih pemimpin yang paling lihai dalam ilmu menakut-nakutkan para pengundinya, lihai dalam membiarkan mereka dalam keadaaan miskin yang berterusan, lapar yang berpanjangan TAPI TIDAK PERNAH lupa untuk menghulurkan sedikit upah pada musim-musim pemilihan.  Bukankan Melayu-Melayu ini yang menjadi modal jitu untuk kekalkan kuasa yang ada?  Bunyinya sadis, it works, kata Mat Salleh.



No comments: