Tuesday, February 18, 2014

Uda Dan Dara di kampung asalnya



Dinsman (Hrkh 420, 14/214)
Pentas Uda Dan Dara di kampung asalnya

Dalam beberapa perbincangan mengenai aktiviti yang akan dibuat oleh Yayasan Usman Awang yang kini dalam proses penubuhannya, Tan Kai Hee beberapa kali menimbulkan idea kemungkinan untuk mementaskan semula karya teater Usman A wang yang terbaik itu – Muzika Uda Dan Dara.

Lantas sewaktu memikirkan pengisian acara sambutan ulangtahun kelahiran Usman yang dicadang akan dibuat di kampung kelahirannya Kuala Sedili, Johor, pada pertengahan tahun ini, saya pun terfikirkan kemungkinan itu. Setidak-tidaknya pun sebagai langkah persediaan ke arah pementasan tersebut. Maksudnya bukan sebagai pementasan perdana yang dibuat sempurna dengan segala kemudahan moden, tetapi suatu pementasan sederhana yang disesuaikan dengan persekitaran kampung.

Tan Kai Hee pun tertarik dengan idea tersebut. Dan ketika berbincang dengan teman-teman Paksi (Seniman Paksi Rakyat), Nor Amani yang berpengalaman sebagai sinografer dalam beberapa pementasan itu langsung teruja dengan idea itu dan spontan membayangkan laman sebuah rumah tradisional sebagai setingnya.

Maka dalam kunjungan kami (Kassim, Nasser dan saya) ke Kuala Sedili, Sabtu minggu lalu, itulah antara yang menjadi tumpuan mata kami – rumah tradisional yang ada laman agak lapang di depannya, sebagai lokasi untuk pementasan Uda Dan Dara.

Namun Kuala Sedili yang kami temui Sabtu itu bukanlah Kuala Sedili seperti yang sekian lama terakam di dalam minda kami – bahawa ia sebuah perkampungan nelayan tradisional dengan rumah-rumah Melayu berdinding kayu dan bertiang dengan ruang kosong di bahagian bawahnya, walaupun atapnya tidaklah lagi atap rumbia.

Tidak ada lagi rumah Melayu yang seperti itu dapat kami temui di kiri-kanan jalan utama Kuala Sedili, kecuali sebuah. Yang ada ialah rumah-rumah batu seperti yang terdapat di pinggir-pinggir kota di mana-mana saja di negara kita. Dan tidak nampak pun tanda-tanda menunjukkan yang penghuninya adalah para nelayan yang setiap hari turun ke laut menangkap ikan, (kecuali di Sedili Besar).

Tapi itu cerita lain. Saya bukan nak cerita itu. Saya nak cerita Uda Dan Dara yang sedang simpang siur dalam kepala saya mencari kesesuaian untuk dipentaskan dalam masyarakat kampung, khasnya kampung asal penulis drama itu sendiri.

Ia sebuah kisah cinta yang romantis. Antara Uda si teruna miskin dengan Dara anak gadis keluarga orang berada. Apabila pinangannya ditolak oleh ibu si Dara, Uda bertekad untuk mengumpul ringgit di kota, kerana ringgitlah yang menjadi penghalang cintanya. Tetapi di situ Uda tersilap. Bukan sahaja ringgit yang menghalang hasratnya mengisterikan Dara. Ada faktor lain lagi yang lebih kuat dan berkuasa daripada ringgit.

Ketika Uda pulang membawa ringgit untuk diserahkan kepada ibu Dara, dan hati ibu itu pun mulai lunak untuk menerima Uda menjadi menantunya, Alang Bakhil lebih cepat memintas dengan kuasa dan pengaruhnya. Uda dibunuh oleh orang-orang Alang Bakhil.

Tamatlah riwayat cinta yang romantis itu di situ, tetapi drama Uda Dan Dara tidak tamat di situ. Drama seterusnya ialah perjuangan Malim dan kawan-kawannya (kawan Uda), memerangi ‘peraturan’ yang selama ini menindas dan membelenggu mereka.

Hebatnya teater ini ialah pada keindahan bahasa Melayu yang diadun Usman menjadi dialog dan lirik lagu di dalamnya. Memang. Kalau ada orang hendak melihat bagaimanakah indahnya bahasa Melayu – bacalah drama ini. Barangkali inilah puncaknya keindahan bahasa Melayu. Saya tidak pernah menemuinya dalam karya-karya lain, termasuk karya-karya Usman Awang sendiri. Tidak ada yang lebih indah bahasanya daripada dialog-dialog dan lirik-lirik lagu dalam drama Uda Dan Dara.

Ini faktor pertama mengapa saya bercadang mementaskannya lagi, menyambut hasrat Tan Kai Hee itu. Faktor keduanya ialah kerana hendak menjayakan agenda sambutan ulangtahun Usman Awang di kampungnya. Untuk memberi pengisian yang bermakna kepada sambutan itu. Bahawa inilah antara hasil seni yang penting di negara ini, pernah dilahirkan oleh seorang putera kampung tersebut sendiri.

Saya pun belum jelas lagi sebenarnya bagaimanakah yang saya maksudkan “pementasan sederhana yang disesuaikan dengan persekitaran kampung” itu. Apakah adegan tari-menari seperti yang selalu mengisi pementasan muzikal itu sesuai untuk persekitaran kampong, atau tidak sesuai?

Antara yang paling menonjol dalam teater ini ialah adegan silat oleh pemuda-pemuda kampung. Bahkan teater ini dibuka dengan adegan silat (latihan) dan ditutup juga dengan adegan silat (pertarungan sengit). Maka sudah tentulah penglibatan anak-anak muda di Kuala Sedili akan diperlukan untuk mengisi adegan ini. Dan mereka juga diperlukan menjalani latihan silat, mungkin agak lama, hingga dapat menunjukkan kemahiran bersilat dan memperlihatkan keindahan silat Melayu itu sendiri.

Dan saya juga ingin melihat bagaimanakah kesannya sebuah pementasan teater seperti Uda Dan Dara ini, terhadap masyarakat kampung. Positif, ataupun negatif? Dan bagaimanakah pula penilaian terhadapnya dilihat dari perpektif nilai dan hukum agama?

Atau apakah nilai yang paling menonjol sekali apabila teater ini dipersembahkan dalam masyarakat Melayu-Islam di luar bandar? Kalaulah kesannya adalah positif, barangkali ia elok dipentaskan pula di tempat-tempat lain lagi selepas itu.

Namun walau apapun, ini semua adalah fikiran-fikiran awal sebelum dimuktamadkan samada pementasan ini jadi dibuat ataupun tidak. Maka eloklah jangan kita perpanjangkan lagi bicara ini. Cukuplah dulu sampai di sini.

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)




No comments: