Wednesday, March 12, 2014

Malapetaka terus menimpa. Apakah pilihan rakyat Malaysia?






Malapetaka terus menimpa. Apakah pilihan rakyat Malaysia?


Anwar: Yang rakyat Malaysia perjuangkan bukanlah tentang diri saya, tapi segala kebobrokan sistem yang ada. Sebelum ini,  tindakan mereka pernah memakan diri dan ia bakal berulang lagi.

(Anwar:  What Malaysians are fighting for isn’t just about me, but all that is wrong with the system. It backfired before and will backfire again)

Teks seorang teman pada jam 5:26 petang, 7 Mac 2014

PKH: Verdict: Anwar found guilty of sodomy!!! I am out of words.


2.0 Fitnah sebagai alat bantuan nyawa


Tidak ada kata-kata untuk menggambarkan duka nestapa yang melanda rakyat Malaysia; mereka  yang mengikuti perkembangan kerjaya politik Anwar Ibrahim, khususnya yang ambil peduli dan begitu tersentuh dengan kezaliman yang berulang-ulang terhadapnya.  Kezaliman nyata yang disempurnakan dengan bantuan pelbagai alat ― paling menonjol institusi mahkamah.  Ia mengulangi babak-babak silam yang pernah dipentaskan pada 14 April 1999.  Pada 7 Mac 2014 (Jumaat), sama seperti kira-kira 15 tahun yang lalu, sebuah kerajaan Umno sekali lagi mencari dan merekayasa fitnah untuk membunuh kerjaya musuh politik yang paling ditakutinya.  

Pada Jumaat 7 Mac 2014, seperti 15 tahun yang lalu, sebuah skrip dengan watak-watak berbeda dipentaskan semula untuk tontonan dunia.  Hari ini,  dunia dimaklumkan oleh segala medianya perihal usaha berterusan gerombolan mematikan SEORANG (cuma seorang) musuh politik yang tidak dapat ditewaskan dalam gelanggang politik secara jantan dan dalam bentuk lebih ‘bertamadun’.  Gerombolan liar yang tidak pernah jantan itu, berulang kali menyalakan fitnah untuk terus bernafas.  Pada 7 Mac 2014,  sekali lagi sebuah kerajaan melondehkan dirinya demi untuk meminta nyawa.  15 tahun lalu,  lelaki Kerala sang sutradara itu sekali lagi mementaskan fitnah.  Dan seluruh episod jorok lagi menjijikkan itu dilaporkan pelbagai media:


BBC News,  A leading British daily, The Independent, Another popular British daily, The Guardian, CNN, The Washington Post, Australia’s Sydney Morning Herald, The Saturday Age, also of Australia, The Times of India, The Indian television station NDTV, Al Jazeera, the Hong Kong Standard, the Singapore Straits Times and African Financial News”.


3.0 Sejarah itu diulangi sekali lagi

“Pada 7 Mac 2014 itu, apa yang telah kita saksikan ialah betapa dan begitu rendahnya institusi mahkmah itu telah tunduk menjadi alat ― alat politik Umno demi untuk mempertahankan hegemoni kuasanya yang semakin terancam.

Lebih dari itu, hukuman terhadap Anwar itu bermakna bahawa negara kita telah memasuki era baru penindasan dan penganiayaan, bermula dengan Anwar, diikuti pada 11 Mac 2014 iaitu tarikh keputusan hukuman kes hasutan terhadap pengerusi DAP Karpal Singh. Ini diikuti dengan mereka yang telahpun dituduh dan juga yang menanti pembicaraan.

Kecualilah rakyat jelata sedar dengan realiti politik yang melanda negara sekarang ini, lalu bangkit untuk melakukan sesuatu demi mempertahankan hak-hak perlembagaan mereka dari terus terhakis, negara kita bakal menghadapi masa depan yang gelap.”

Demikian, Kim Quek dalam Malaysia Chronicle, “Anwar conviction marks a NEW ERA OF REPRESSION in Malaysia”

Apa yang berlaku pada 7 Mac 2014 ialah ulangan Lewat Satu, pada 14 April 1999 dengan plot, skrip dan sutradara yang tidak banyak berbeza.  Sejarah telah memaparkan bagaimana fitnah Lewat Satu itu diiringi Reformasi 1998, sebuah gelombang yang membawa perubahan besar terhadap wajah dan citra politik negara; sesuatu yang belum pernah Malaysia saksikan selama ini.  Dengan segala kepincangan yang ada, khususnya SPR sebagai alatnya Umno, rakyat Malaysia terus mara dan membuat perubahan pada PRU 13 dan PRU13.    

Sesungguhnya semua itu sejarah.  Dan dalam sejarah kita, ada begitu banyak episod yang boleh diimbas semula,  misalnya episod sejarah peranan dan tindakan mahkamah, sejarah polis yang cepat bertindak terhadap musuh politik Umno, sejarah tindakan berpilih-pilih pelbagai institusi terhadap musuh politik Umno malah segala rupa bentuk sejarah bagaimana pelbagai institusi kerajaan digunakan untuk mengekalkan hegemoni Umno.  Paling mutakhir kita telah saksikan bagaimana Perkasa, kelompok kanan pelampau Melayu ― tanpa malu-malu, tanpa sedikit pun rasa segan dan silu, tanpa sebarang kebimbangan terus-terusan menyalakan api perkauman dan agama.  Ternyatalah ia terlalu kebal untuk dicuit.  Ya, bacalah apa saja artikel tentang Umno, kisah-kisah sejarah seperti ini pasti diulang-ulangi.  Untuk apa semua ini diulangi?  Apakah untuk menjadikan semacam senaman minda, satu bukti kukuh bahawa sesungguhnya otak kita-kita belum lagi koma?

Lalu, apakah pilihan-pilihan yang ada pada kita?  Apakah rakyat Malaysia perlu turun semula ke jalan raya sepertimana mereka turun dalam tahun Reformasi 1998 itu?  Apakah rakyat Malaysia ulangi apa yang telah mereka lalukan kira-kira 15 tahun yang lalu itu?  Kita tiru protes massal sepertimana arwah Ustaz Fadzil Noor lakukan via GERAK?  Atau apa?  Untuk semua ini berlaku, diperlukan pemimpin yang memiliki iltizam kepimpinan yang kukuh dan mantap.  Ramai yang percaya Pakatan Rakyat kekal bersatu sehinggakan menjadi satu upaya politik yang kukuh disebabkan oleh sosok Anwar Ibrahim.  Dialah watak utama yang memberikan tenaga dan kekuatan untuk menyatupadukan Pakatan Rakyat.  Dan watak itulah yang mahu dan mesti dimatikan.  Itu telah Umno mulakan pada 7 Mac 2014.  Umno mulakan sekarang kerana yakin bahawa mereka bakal memadamkan ingatan rakyat terhadap sebelum tiba PRU 14, kira-kira empat tahun lagi.  Agaknya mengikut kiraan Umno, empat kali BR1M pasti membuat otak manusia Malaysia, khususnya otak-otak Melayu, koma.   


4.0 Apakah pilihan yang ada?  Apakah pilihan orang-orang Melayu?

  




No comments: