Sunday, May 18, 2014

Sebuah rumah di Bukit Meriam







Sebuah rumah di Bukit Meriam
(Teks kukirim kepada Shakespeare)


Semasa berkumpul, berpergian atau menziarahinya dulu, tidak pula terlintas untuk mengajaknya ke rumah yang bersejarah itu.  Bagi saya rumah itu ‘bersejarah’ kerana selain di Sungai Taka, Selama Kedah atau pun Taman Bersatu,  Kulim, Kedah dan pelbagai tempat-tempat lain di alam ini, rumahnya di Bukit Meriam pernah menjadi salah satu tempat dia berkarya.  Saya tidak tau apakah “Garis Lintang Anak Haram” itu lahir di Bukit Meriam atau pun di Sungai Taka.  Rasanya ada teman lamanya yang lebih arif dalam hal ini.

Entah kenapa dan bagaimana ― mungkin juga sementara masih di Sungai Petani,  Kedah menziarahi sana saudara dan teman-teman lama, maka kemarin iaitu 17 Mei 2014 teringat pula untuk langsung saja ke Bukit Meriam.  Dan sesungguhnya Bukit Meriam dan bulan puasa adalah dua titik dalam kehidupan yang sentiasa mengingatkan saya kepadanya.  Inilah sebuah rumah yang ingin saya rekodkan ke dalam blog dan facebook. 

Kata anak saudaranya, Jo, “ Di rumah inilah arwah menulis.  Di bilik bertingkap Naco itu mesin taipnya berbunyi...”


2.0  Apakah yang bakal terjadi kepada sebuah rumah yang pernah melahirkan manusia besar?


“Rumahnya memang dhaif.  Tak ada siapa lagi yang mengurusnya. Saya pernah perbaikinya.”  tambah Jo lagi.


Jika ada sesiapa peminat sastera tanah air dan dunia sekitarnya kebetulan melewati Bukit Meriam, silalah singgah di sebuah warung di pinggir jalan di seberang Masjid Bukit Meriam.  Jika ketika itu nasib tuan kebetulan beruntung, anda mungkin dapat bertemu pemiliknya Johar, anak saudara almarhum Azizi Abdullah. Dan dari warung itu,  silalah renungi sebuah rumah bersejarah yang pernah menjadi tempat seorang penulis tanah air kita berteduh dan berkarya.  Renungi dan amatinya baik-baik, sebelum ia runtuh dan sirna dari muka bumi ini.


(Ps: Teks ini kukirimkan jua kepada Shakespeare.  Dia terbahak-bahak. )





No comments: