Monday, May 19, 2014

Hudud: Sudut pandangan ISMA






Merenungi mesej risalah “Hudud peluang terbaik untuk sepakat” ISMA


Risalah itu kutemui pada satu petang di salah sebuah masjid utama di bandar kelahiranku Sungai Petani, iaitu Masjid Muzaffar Shah.  Warna risalah, menyala ibarat pinang yang masak itu, cukup menarik walaupun di dalam hati terdetik juga agakan mungkin saja ia hanyalah risalah tentang barang-barang dagangan yang kerap muncul di pelbagai masjid kita.  Pun begitu tatkala keluar dari masjid, dari susunan setebal kira-kira satu sentimeter itu, kucapai juga sekeping.  Agaknya rasa ingin tahu yang cukup tebal dipancing pula oleh warna risalah yang menyala,  membuatku mencapainya.

“Hudud peluang terbaik untuk sepakat”, kata ISMA, akronim untuk Ikatan Muslim Malaysia yang menaja slogan “Membangun Umat Beragenda”


2.0  Apa yang kutemui dalam risalah berwarna pinang masak itu?


Kelihatannya di antara isi-isi penting risalah ISMA:

1) Melihat “secara positif sokongan terbuka pimpinan tertinggi UMNO terhadap pelaksanaan hudud oleh Kerajaan Kelantan” dan berpendapat bahawa “sebarang persepakatan atas isu-isu kepentingan umat Islam adalah amat dialu-alukan” apatah lagi “di saat perpecahan umat Islam kepada dua blok kepartian yang merugikan.”

2) Menyeru agar “PAS tidak perlu mengalah dan akur terhadap suara-suara sumbang yang menolak mentah-mentah undang-undang hudud” dan “menyeru agar pihak-pihak tertentu dalam PAS yang memandang sinis sokongan UMNO, bahkan mengejek-ejek keputusan itu agar berhenti daripada bersikap seperti kebudak-budakan.“   

3) Menggesa para warga bukan Islam di negara ini agar “tidak bimbang dengan perkembangan mutakhir mengenai isu hudud ini dan tidak tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan menentang sebelum mendapatkan penjelasan dan penerangan secukupnya”  kerana pada pandangannya “pengalaman negara ini dalam menangani rencam masyarakat majmuk adalah suatu yang diiktiraf dunia maka seluruh rakyat Malaysia mestilah memelihara kedudukan itu dengan meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan yang telah mereka lantik melalui proses demokrasi.”  

Di samping seruan, peringatan dan gesaan di atas, ISMA juga:

4) Memperkukuhkan hujahnya dengan memetik ayat 49 Surah Al-Maidah.     

5) Bertanya “ Bolehkah hudud dilaksanakan di Malaysia?”,  lalu mengemukakan pandangannya bahawa:

“Kesalahan-kesalahan jenayah yang diperakukan oleh kedua mahkmah (sivil dan syari’ah) sebagai criminal law seperti membunuh orang lain, mencuri, merompak, merogol, dan mencederakan orang lain boleh dilaksanakan tanpa halangan perlembagaan”  dan “sidang Parlimen boleh memilih apa-apa hukuman kepada apa-apa kesalahan jenayah, termasuk hukuman mengikut Syari’ah.  Dengan cara ini pelaksanaannya meliputi orang Islam dan bukan Islam dan dilakukan di mahkamah sivil.”


3.0 PENUTUP risalah: Perlukan UMNO& PAS bergabung?


“ Tetapi hakikatnya perlaksanaannya ini tidak semudah disangka kerana hudud bukan sahaja merangkumi hukuman.  Bahkan aspek pembuktian, kesaksian, pengampunan (dalam kes qisas), pelaksanaan dan banyak lagi perlu diteliti dengan lebih lanjut.”

Dan dalam ayat tergantung perenggan kedua iaitu penutup risalahnya, ISMA merumuskan begini:

“Walaupun statistik pengabungan anggota parlimen UMNO dan PAS di Parlimen hampir mendapat majoriti mudah.  Itupun masih tidak cukup.  Inilah pentingnya kesepakatan dan dominasi kuasa politik Melayu demi kedaulatan Islam di Malaysia.”


4.0 Apakah yang kita dapat kita baca?
  

Tidak tahulah orang lain,  tapi intipati yang kubaca ialah:

“Inilah pentingnya kesepakatan dan dominasi kuasa politik Melayu demi kedaulatan Islam di Malaysia.”


Ya, bukankah semuanya tentang dominasi kuasa politik?  Kita tentu ingin tahu kuasa politik yang seperti apa ― untuk tujuan apa, buat siapa, kenapa dan bagaimana kuasa politik itu telah di(salah)gunakan tidak pula dinyatakan?  Pernahkan ISMA berhenti sejenak untuk bertanya untuk apa “kesepakatan dan dominasi kuasa politik Melayu” itu dipaterimati di negara ini?  

Sudah berapa lamakah Melayu itu berkuasa?  Sudah berapa lamakah yang namanya Islam itu dibawa ke dalam gelanggang oleh orang-orang politik? Apakah cerita kuasa politik Melayu dan kegagahan Islam itu baru muncul dalam persada politik kita?  Ya, semua ini baru saja muncul setelah UMNO bermasalah besar?

Bagiku ISMA itu tak lebih daripada seraknya jerit-pekik-terputus-putus Melayu Umno yang amat takut berdepan dengan mod kehilangan kuasa.  Untuk itu ISMA pun dilontarkan ke dalam gelanggang politik kita sebagai versi terbaru PERKASA, versi yang modified (baca: ‘diperlunakkan’).

Supaya boleh dipercayai segala suara ISMA ini dan yang lebih penting lagi supaya ISMA boleh tahan lebih lama, kita ingin sarankan agar ISMA membawa sesuatu yang lebih meyakinkan rakyat sehingga hati nurani rakyat menjadi sejuk kerananya.  Misalnya apakah tidak lebih ‘ngam’ dan lebih jejak ke bumi, sekiranya ISMA bercakap tentang pelbagai masalah yang sedang membelit-belit, menjerut-jerut kehidupan rakyat? Ya, bolehkah ISMA bercakap tentang nasib rakyat terbanyak; apa yang mereka deritai dan alami dalam meredah pahit getirnya kehidupan mereka?  Bagaimana misalnya mereka berhempas pulas mahu menyediakan nasi di atas meja setiap hari, selama tujuh hari, setiap bulan kerana sudah ada tujuh buah mulut yang sudah siap menanti, sedangkan pendapatan dan harga barang sudah begitu menggila...jadinya?  Kita yakin persoalan-persoalan seumpama ini jauh lebih baik untuk orang-orang Melayu walaupun ia mungkin tidak serasi nadanya kepada ISMA.  Ya, apa salahnya jika ISMA menjuarai nasib rakyat?  

Makanya sebagai permulaan,  apakah tidak mungkin ISMA membawa tema yang jauh lebih segar dan nyata impaknya, misalnya agihan rezeki untuk SELURUH manusia Malaysia?  Dan yang lebih penting,  ISMA melihat isu-isu ini dari luar konteks nyawa-nyawa ikan UMNO dan teori politik Melayunya.  Siapa tahu wacana tentang tajuk-tajuk yang seperti ini jauh lebih menarik daripada “kepentingan kesepakatan dan dominasi kuasa politik Melayu.” 

Sesungguhnya tema ‘Melayu dan Islam yang terancam’ itu ibarat akhbar Utusan, sudah tak terjamah dek selera baca walaupun diberikan secara percuma.  Bukankah sejak PRU12 yang lalu, persoalan agama dan isu-isu perkauman ini bukan lagi isu yang dipanaskan sekadarnya ala kadarnya, TETAPI malangnya isu-isu ini sudahpun dimainkan, dinyala-nyalakan dan dibakar hangus semahu-mahunya sehingga seluruh rakyat menjadi terlalu bimbang.  Mereka bingung, takut, bingung dan takut yang berterusan.  Mereka bertanya:

Apakah kita masih waras?  Masih waraskah kita semua?  Lalu kita mau apa dan yang bagaimana?




No comments: