Monday, May 26, 2014

Hanya dengan lesen 'Melayu'?








Cukup dan mencukupikah lesen Melayu itu?
(Bila Melayu meninggalkan parti Melayu untuk berjuang bersama DAP yang Cina)


Di antara yang paling asas dalam perhubungan atau komunikasi ialah mesej dan umumnya,  ramai orang sedar:  Bahawa kata-kata dan tingkah laku pemimpin ― walaupun dalam bentuknya yang paling sederhana sekali pun ― adalah mesej yang diberikan dan selalunya diperhatikan khalayak.  Semakin besar dan tinggi darjat seseorang pemimpin itu, maka semakin besar pulalah kesan mesej yang telah disampaikan itu.  Sebagai contoh ramai yang masih ingat bahasa badan Mahathir semasa ‘dianya’ berkongsi pentas dengan timbalannya (ketika itu).  Sehari dua setelah peristiwa ‘yang mesti dipamerkan untuk tontonan khalayak’ itu berlalu,  timbalannya bukan saja dipecat malah diperlakukan dengan begitu aib sekali.  Sampai ke hari ini Mahathir dan puak-puaknya begitu takut dengan pengaruh bekas timbalannya itu.  Sejarah ini tidak mungkin dilupakan.  Rakyat telah mendengar mesej Mahathir ini. 


Sepertimana yang pernah ditulis dalam blog ini berulang-ulang kali, ‘berdiam diri’ juga adalah salah satu bentuk mesej yang didengar ― didengar dengan cukup lantang ― oleh seluruh rakyat.  Rakyat mendengar mesejnya, bercakap dan berbincang tentang pelbagai isi mesej ‘berdiam diri’ ini.  Dan seperti yang dinyatakan di atas, mesejnya akan menjadi jauh lebih lantang sekiranya ia disampaikan (atau TIDAK disampaikan) oleh seseorang pemimpin besar, misalnya oleh Perdana Menteri atau pun ketua parti politik yang besar. 


Maknanya apabila seseorang pemimpin besar itu berdiam diri,  janganlah sekali-kali dia beranggapan dan mengharap yang mesejnya itu bakal hilang begitu saja.  Percayalah mesejnya tidak akan hilang kerana rakyat, sebagai rakyat, sentiasa saja memerhati dan menilai.  Rakyat ― sebagai rakyat ― berharap setiap pemimpin, tidak akan ‘main agak-agak’ bahawa mesejnya (walaupun dalam bentuk bahasa badannya) itu tidak akan menjadi lantang, nyaring dan oleh kerana itu tidak diberikan perhatian oleh sesiapa pun.  Oleh itu adalah tidak wajar untuk seorang pemimpin yang besar jiwanya, yakin bahawa semuanya akan beres sekiranya dia memilih untuk ‘berdiam diri’.  


(Dalam konteks pengurusan disiplin organisasi seperti parti politik, pemilihan saf kepimpinan yang TIDAK telus juga diperhatikan oleh seluruh rakyat dan rakyat menjadi tenang dan lega apabila pemimpin besarnya memberikan amaran yang keras.  Rakyat akan menunggu apakah tindakan susulan kemudiannya itu setimpal dengan amaran keras yang telah dinyatakan secara terbuka itu.  Mereka mahu yang ‘bikin juga serupa cakap’.)


2.0  Apabila orang-orang muda (sebuah parti besar)  mengamuk, dan ibu bapanya pandang ke arah lain...


Dan para pemimpin besar parti Melayu yang besar itu secara tersurat dan tersurat menyatakan bahawa itu adalah SATU perbuatan yang normal@’biasa-biasa saja’, mesej apakah yang telah pemimpin besar itu (NB: Nombor DUA, bukankah itu calang-calang kedudukannya?) kirimkan untuk perhatian SELURUH rakyat Malaysia?

Apabila yang bertanggungjawab menjaga keamanan juga seolah-olah ‘berdiam diri’ dan memandang ke arah lain apabila sebuah institusi yang mulia seperti DUN diserbu, mesej yang seperti apakah yang mahu penjaga keamanan ini sampaikan? 


Dan apabila semakin ramai orang Melayu meninggalkan parti (yang katanya tertubuh demi untuk menjaga Melayu) untuk menyertai dan berjuang bersama DAP yang Cina, apakah benar segala Melayu itu telah menjadi Pak Kaduk yang menjual ayam sabungnya semata-mata untuk bersorak?


Apakah benar lesen (parti) Melayu itu sudah cukup dan mencukupi untuk mengurus sesebuah negara seperti negara kita?

Wallahuaklam.





No comments: