Politik baru dan jurang kemiskinan maklumat
(Sesungguhnya,
DAP telah menang di Teluk Intan)
Para pengundi di
kawasan bandar dan di pinggir bandar (urban
dan semi-urban areas) TIDAK mudah dialih pandangan mereka apatah lagi dikelabui
oleh isu-isu yang mereka anggap kecil dan remeh seperti hal-hal peribadi calon
yang dituduh ‘cacat’ kerana TIDAK mengenang budi. Mereka juga menolak fitnah dan ‘politik dalam
kain’ yang dibawa oleh sesetengah parti politik. Mereka muak dengan watak-watak samseng dan
kelakuan mereka yang kelihatannya seolah-olah digalakkan oleh pihak-pihak
tertentu. Mereka menyampah dengan agensi-agensi awam yang dengan sengaja memandang
ke arah lain sehingga tidak nampak segala perbuatan para samseng yang gah
dibicarakan dalam media baru itu. Itu semua
sudah lebih cukup buat mereka. Bagi
mereka, pertimbangan-pertimbangan lain
yang sengaja dibesar-besarkan seperti bangsa, jantina, agama atau warna kulit sang
calon bukanlah faktor penentu dalam memilih calon pemimpin ke parlimen atau pun
ke DUN.
Ya, ada lagi persoalan
yang lebih mendesak yang diberikan perhatian oleh para pengundi bandar dan
pinggir bandar. Mereka bersikap demikian
kerana berupaya mengikuti perkembangan ‘sebenar’ melalui media yang TIDAK
dikawal oleh Kerajaan. Mereka lebih RISAU
dengan masalah-masalah rasuah yang menjadi-jadi, ketidaktelusan pemerintahan,
ketirisan, pemborosan oleh pihak pemerintah dan hal-hal lain yang lebih dan semakin
memudharatkan negara. Mereka juga terlalu bimbang dan risau dengan masalah
perkauman dan agama yang sengaja dimainkan oleh pihak-pihak yang seolah-olah dilindungi
dan mendapat perlindungan istimewa Kerajaan. Aktiviti Perkasa yang telah
dimaklumkan memperolehi dana Kerajaan (baca:cukai) ialah salah satu contoh yang
jelas.
Para pengundi
yang memiliki maklumat dan mereka yang kritis lebih bimbang dengan keadaan
rasuah yang parah dibandingkan dengan isu seperti dakwaan bahawa seseorang
calon itu alatnya pembangkang. Ertinya
yang bermaklumat dan yang kritis mampu melihat dan mencerna ISI daripada hanya sekadar
melihat KULIT (baca: substance over form).
2.0 Tidak perlukah
kemiskinan maklumat ditangani dengan strategik?
Kelihatannya isu-isu
yang dihadam dan menjadi kerisauan besar para pengundi bandar dan pinggir
bandar ini TIDAK pernah terlintas dalam pemikiran para pengundi di luar bandar? Dan kelihatanya bagi para pengundi di luar
bandar, kitaran isu-isu yang dicanang
secara spontan, berulang-ulang dan agresif pula oleh media kerajaan adalah isu
penting kerana itulah yang diberitahu oleh pihak Kerajaan. Bagi mereka yang tidak bermaklumat dan sentiasa
takut kerana sentiasa ditakut-takutkan oleh media Kerajaan dan para pemimpin Kerajaan
ini, kata-kata media Kerajaan itu BENAR dan BENAR belaka.
Jika kita
setuju dengan hujah di atas, tidak perlukah
kemiskinan maklumat seperti ini ditangani dengan lebih strategik?
Apakah kaedah
sedia ada iaitu berceramah itu kaedah yang TERBAIK dan satu-satunya cara untuk menyebarkan
maklumat dan mendapat sokongan? Tidak
adakah cara-cara lain?
Isu-isu apakah
yang menarik perhatian pengundi yang tidak membaca media alternatif? Apakah mereka di Sungai Bugis, Teluk Intan
misalnya peduli dengan itu GST, TPPA, panda yang dua ekor itu, Tragedi MH370 dan tindakan (dan ketiadaan tindakan) kerajaan
dalam menangani krisis itu?
Atau isu Dyana
itu Melayu yang tidak mengenang budi dan diperalatkan pula oleh Cina-DAP itu
yang lebih penting? Bagaimanakah aspek tanggapan
songsang ini dapat ditangani dengan berkesan?
Bukankah tindakan DAP meletakkan Dyana itu adalah satu kemenangan besar
untuk politik baru dan masa depan Malaysia yang lebih baik? Kenapakah mereka
tidak dapat melihat kebijakan dan kebijaksanaan ini?
Apakah tidak mungkin
disasarkan mereka yang TIDAK bermaklumat ini dengan pelbagai risalah, brosur
berkala atau pun Harakah, Suara Keadilan dan Roket yang diderma oleh para
pencinta perubahan? Apakah mereka ― para
penduduk di luar bandar ini ― tidak perlu dikemaskini tanggapan hidupnya
tentang sebuah Malaysia yang baru ― misalnya Malaysia tanpa NGO-NGO yang
diternak khusus untuk mencanang Umno dan kerja-kerjanya tetapi NGO-NGO yang
menyeru pembinaan Malaysia yang lebih adil, progresif dan aman?
3.0 Seperti yang kukatakan dalam entri terdahulu, “lagu
mana pun” DAP telah menang!
Dalam PRK
Teluk Intan pada 31 Mei 2014 baru lalu yang dimenangi calon BN, Dyana Sofya
misalnya antara lain dikatakan tidak mengenang budi kerana telah melupakan akar
Melayunya dan institusi yang telah membantunya menjadi bijak pandai dan
berpendidikan tinggi. Paling popular dia
dituduh oleh para penyokong sesetengah pihak seperti Umno dan kuncu-kuncunya sebagai
alatnya DAP.
Apakah para Melayu
Sungai Bugis, Teluk Intan akan percaya lagi hujah-hujah seperti ini sekiranya
Dyana kembali semula dalam PRU14 nanti?
Bukankah semua
ini (antara lain) bergantung kepada pelbagai usaha Pakatan Rakyat dan NGO-NGO
yang mesra dengannya dalam merapatkan jurang dan kemiskinan maklumat ini?
Wallahuaklm.
No comments:
Post a Comment